Buddhist Lodge Derma 25 Tan Beras Menjelang Ramadan

Semangat menghulurkan derma dan mengagihkan habuan kepada masyarakat Melayu/Islam Singapura bagi persiapan Ramadan sudah dimulakan sejak 2011 oleh badan agama Buddha, Singapore Buddhist Lodge.

Sejak enam tahun yang lalu, badan agama tersebut tidak putus-putus mendermakan beras berpuluh-puluh tan kepada beberapa buah masjid di sini.

Tahun ini tidak terkecuali. Badan agama tersebut mendermakan sebanyak 25 tan beras yang akan diagihkan kepada masjid-masjid bagi persediaan bubur menjelang bulan puasa nanti.

Jumlah itu juga lebih tinggi berbanding 23 tan yang diberikan pada tahun lalu.

DERMA BERAS SEBAGAI PERSEDIAAN JELANG RAMADAN

Acara pembahagian beras yang diadakan di Masjid Ba’alwi hari ini (17 Mei) turut dihadiri MUIS, yang akan mengagihkan beras tersebut kepada masjid-masjid di Singapura.

Encik Paiman Supangat, Pengerusi Eksekutif Masjid Al-Muttaqin, berkata bahawa secara purata antara 200 hingga 300 orang datang ke masjid setiap hari pada bulan Ramadan untuk berbuka puasa di masjid-masjid yang kecil.

Namun, bagi masjid yang lebih besar, bilangan mereka yang berbuka boleh mencecah hingga lebih antara 800 hingga 1,000 orang.

Bagi Masjid Ba’alwi, beras yang didermakan itu akan turut diberikan kepada keluarga miskin, di mana setiap keluarga akan diberikan 5 kilo beras.

SEMANGAT MEMBERI PERKUKUH HUBUNGAN SILANG AGAMA

(Gambar-gambar: BERITAMediacorp)

Habib Hasan al-Attas, imam Masjid Ba’alwi, berkata bahawa semangat memberi daripada badan agama lain kepada masyarakat Melayu/Islam adalah sesuatu yang membanggakan.

“Sebagai sebahagian daripada umat Islam Singapura dan organisasi-organisasi Islam yang lain, saya mengucapkan terima kasih kepada Buddhist Lodge kerana memberikan kami peluang untuk menerima sumbangan beras untuk diberikan kepada orang yang berpuasa dan mereka yang kurang berkemampuan.

“Pendermaan ini merupakan satu perkara saya berasa bangga kerana umat Islam di sini dihormati oleh kaum-kaum lain kerana mereka melihat umat Islam pada bulan puasa bekerja keras untuk memberi makan kepada orang-orang yang berbuka puasa, tidak kira mereka yang kaya mahupun yang kurang berkemampuan, dan juga tidak melihat kepada kaum yang berlainan. Semangat kekitaan inilah yang kita harus terus pegang, galakkan, dan kukuhkan,” katanya.

Cik Lee Chin Chin, seorang anggota Buddhist Lodge berkata, semangat memberi itu penting khususnya dalam konteks Singapura, di mana penduduknya datang daripada berlainan agama dan kaum.

Cik Lee juga percaya bahawa sebagai sebuah masyarakat majmuk, kita tidak harus membeza-bezakan agama antara satu sama lain.

Baginya: “Setiap masyarakat dapat melakukan yang terbaik, jika masyarakat secara menyuluruh melakukan yang terbaik.”

SEMANGAT MEMBERI KEPADA MASYARAKAT MELAYU/ISLAM BERMULA DARI AYAH

Tradisi dan usaha memberi kepada masyarakat daripada kaum dan agama yang berbeza itu dimulakan oleh mendiang Encik Lee Bock Guan, yang merupakan mantan pemimpin Buddhist Lodge, menurut Habib Hassan dan anak perempuannya, Cik Lee.

“Semangat ini bermula daripada usaha mendiang Encik Lee Bock Guan, yang merupakan mantan ketua Buddhist Lodge yang meninggal dunia beberapa tahun yang lalu. Tetapi kita bersyukur kerana puterinya dan persatuan ini tetap menegakkan apa yang beliau telah asaskan. Beliau cukup prihatin terhadap masyarakat Melayu/Islam di Singapura,” kata Habib Hassan.

“Bapa sangat terlibat dalam perkara- perkara silang agama dan keharmonian antara kaum. Beliau melihat betapa pentingnya masyarakat hidup bersama, terutamanya di Singapura, di mana masyarakatnya terdiri daripada pelbagai kaum dan agama,” kata Cik Lee.

 

Source: http://berita.mediacorp.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *