Kedai Fesyen Online Poplook Sasar Pasaran Global Bagi Luaskan Pakaian Muslimah

Poplook, kedai fesyen online yang popular di kalangan wanita di Malaysia dan Singapura, menyasarkan untuk ke peringkat global dalam usaha meluaskan lagi pasaran produk mesra muslimahnya yang bermutu dan mampu milik.

Pereka fesyen utama bagi Poplook, Nik Amanina Liyana Nik Abd Aziz berkata ketika ini, selain Singapura, Poplook mempunyai pelanggan dari negara-negara seperti Kanada, Amerika Syarikat, United Kingdom dan Timur Tengah.

“Tahun lepas, kita lancarkan laman web antarabangsa Poplook yang mana urus niaga semua dalam dolar AS. Hasrat kami untuk pergi lebih global…kami mempunyai pelbagai pelanggan. Kami juga menyasarkan untuk mempunyai lebih banyak kedai dan rekaan yang menarik.

“…tetapi yang penting kita tetap berpegang kepada pendirian Poplook iaitu pakaian semua sederhana dan mesra muslimah, semuanya mesti mesra wuduk dan labuh,” katanya kepada Bernama semasa program Poplook Indahnya Raya Styling Event yang diadakan sempena pembukaan kedai kedua Poplook di Setia City Mall baru-baru ini.

Poplook yang sudah beroperasi sejak tahun 2007 dengan kedai pertama dibuka di The Curve, Damansara pada tahun lalu.

LEBIH 1,000 PRODUK BERMUTU TINGGI

Mengulas lanjut, Cik Nik Amanina Liyana berkata laman web Poplook, poplook.com mempunyai lebih 1,000 produk dengan reka bentuk berbeza, bermutu tinggi serta harga berpatutan.

Katanya selain pakaian wanita, Poplook turut mengeluarkan pakaian kanak-kanak, pakaian untuk wanita hamil, pakaian lelaki, tudung, beg tangan dan barang kemas.

“Peminat Poplook memang tahu setiap minggu kita akan keluar dengan rekaan baru yang harganya berpatutan, selain fabrik yang sangat kualiti dan memang sesuai untuk wanita di Malaysia dan luar negara,” tambah wanita yang mempunya perwatakan lembut dan mesra itu.

Beliau berkata untuk pemasaran produk, selain melakukannya online, Poplook mengadakan kerjasama dengan kedai fesyen online lain yang terkenal seperti FashionValet selain pernah mengadakan kerjasama dengan pereka fesyen terkenal Jovian Mandagie dan Melinda Looi.

“Menerusi kolaborasi dengan FashionValet, kita letak pakaian kita di kedai FashionValet di pusat membeli-belah Pavilion di Kuala Lumpur dan berdasarkan maklum balas, jualan Poplook lebih tinggi berbanding pereka yang lain. Orang ramai kini melihat barangan yang lebih ringkas dan berpatutan.

“Selain itu, kita juga banyak buat penajaan, kita menaja drama selain blogger and personaliti Instafamous. Inilah caranya kami memasarkan produk kami…kami tidak takut untuk menaja selagi ia boleh memberi manfaat kepada kita, ia adalah situasi menang-menang,” katanya.

4 TEMA FESYEN HARI RAYA TAHUN INI

Cik Nik Amanina Liyana dalam pada itu berkata, pada tahun ini Poplook mengeluarkan empat tema fesyen pakaian untuk Aidilfitri iaitu ”Borneo”, ”Heritage”, ”Dentelle” dan ”Antalya” yang juga merupakan kolaborasi dengan FashionValet.

“Kita tahu orang suka membeli-belah untuk hari raya, jadi tahun ini kita ambil peluang untuk hasilkan lebih banyak rekaan seperti tema Borneo yang merupakan insipirasi daripada batik dan kita ada Antalya yang diinspirasi dari Turki.

“Sepanjang bulan Ramadan ini juga, Poplook membuka ”pop-up store” di pusat membeli-belah Sogo dan The Gardens di Kuala Lumpur,” katanya.

Source: http://berita.mediacorp.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *