Tulisan Yusuf Al Qaradawi Dikeluarkan Dari Kurikulum Pendidikan Menengah Dan Universiti Saudi Arabia

Menteri Pendidikan Arab Saudi mengarahkan semua buku-buku tulisan ulama ulung Yusuf al-Qaradawi dikeluarkan daripada kurikulum pendidikan menengah dan universiti.

Ini setelah ulama tegar Mesir itu dimasukkan ke dalam senarai pengganas bersama lagi 59 individu lain yang ada kaitan dengan Qatar, lapor Al Arabiya.

Menteri Pendidikan Arab Saudi Dr Ahmed bin Mohammed Al-Issa mengeluarkan arahan tersebut bagi memastikan tiada buku-buku dan bahan-bahan tulisan Encik Yusuf al-Qaradawi di perpustakaan universiti, kolej, sekolah dan jabatan-jabatan pendidikan.

Jika terdapat buku-buku tulisan ulama berkenaan, Dr Ahmed berkata, pihak berkuasa akan memastikan ia ditarik balik.

Penulisan Sheikh Yusuf al-Qaradawi juga tidak dibenarkan untuk diterbitkan di masa akan datang.

Ini kerana ia mungkin berbahaya terhadap pembentukan pemikiran para pelajar disebabkan sensitiviti dan pentingnya topik tersebut, lapor laman Al Arabiya.

Dr Ahmed sudahpun mengharamkan buku-buku semua pihak dan golongan intelek yang dikaitkan dengan fahaman berbahaya dan pelampau, malah memaklumkan kepada para ketua sekolah awam dan privet supaya jangan membenarkan mana-mana buku atau penerbitan dimasukkan ke dalam koleksi perpustakaan sekolah menerusi derma, persatuan atau ibu bapa, kecuali diluluskan oleh Agensi Ehwal Sekolah.

Pihak berkuasa pendidikan di negara itu juga sudah memutuskan untuk membentuk sebuah jawatankuasa dalam setiap jabatan kementerian bagi menjalankan lawatan ke sekolah-sekolah.

Ini bagi memastikan sekolah-sekolah bebas daripada buku-buku yang melanggar undang-undang.

Kementerian itu juga menekankan pentingnya pemilihan para pegawai untuk menguruskan sumber-sumber pembelajaran yang datang dari para karyawan yang boleh diyakini dan berpengalaman dengan fahaman moderat, lapor Al Arabiya.

Source: http://berita.mediacorp.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *