Yayasan Khalifa Bin Zayed Al-Nahyan Anjur Iftar Bagi 200 Keluarga Memerlukan

Sebanyak 200 keluarga memerlukan dari Kelompok Masjid Barat Laut menerima habuan Ramadan dan Hari Raya oleh wakil Yayasan Khalifa Bin Zayed Al-Nahyan.

Timbalan Ketua Misi di Kedutaan Amiriah Arab Bersatu (UAE) di Singapura, Mohamed Salim Al -Falahi turut menaja majlis iftar yang diadakan di Majid Yusof Ishak semalam (13 Jun).

Setiap keluarga menerima hamper bernilai $200, mengandungi barangan makanan untuk bulan Ramadan dan Hari Raya dari yayasan tersebut.

Iftar istimewa ini adalah salah satu inisiatif yang disokong oleh yayasan itu untuk memperluas rangkaian hubungannya dengan institusi-institusi lain yang juga berkongsi matlamat yang sama, iaitu membantu dan membawa keceriaan kepada yang memerlukan serta memperkaya kehidupan mereka baik tempatan mahupun di luar negara.

Menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh Kedutaan UAE, Encik Mohamed Salim berkata: “Majlis iftar ini membuka peluang bagi diri saya dan juga rakan-rakan sekerja saya untuk mengenali dengan lebih dekat lagi bagaimana masyakarat Muslim di Singapura meraikan Ramadan dan bagaimana masjid-masjid memainkan pelbagai peranan untuk berkhidmat dan memenuhi keperluan masyarakat dari segi sosial dan agama.”

Turut hadir di majlis tersebut adalah Pengerusi Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF), Po’ad Mattar, Ketua Eksekutif MUIS Abdul Razak Maricar serta para pegawai dan wakil kelompok masjid dan RLAF.

Yayasan Khalifa Bin Zayed Al Nahyan ditubuhkan pada bulan Julai 2007 oleh Presiden UAE, Sheikh Khalifa Bin Zayed Al Nahyan.

Visi yayasan itu adalah untuk “Merintis Inisiatif Kebajikan” dan strategi-strateginya ditumpukan kepada kesihatan dan pendidikan di peringkat domestik, serantau dan global.

Pelbagai bantuan yang dihulurkan oleh yayasan itu di seluruh dunia sejauh ini, melebihi 87 negara sejak ditubuhkan.

Sheikh Khalifa Bin Zayed Al Nahyan mengisytiharkan tahun 2017 sebagai Tahun Pemberian didorong oleh nilai-nilai memberikan layanan yang baik dan sifat bermurah hati.

 

 

Source: http://berita.mediacorp.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *