PM Lee Hsien Loong Memohon Maaf Kepada Rakyat Singapura

Perdana Menteri Lee Hsien Loong meminta maaf kepada rakyat Singapura di atas pertikaian keluarga antara beliau dengan adik beradiknya, Dr. Lee Wei Ling dan Lee Hsien Yang, dan melahirkan rasa sangat kesal bahawa peristiwa itu menjejas reputasi Singapura dan keyakinan rakyat terhadap Pemerintah. PM Lee juga menyatakan, beliau mahu meyakinkan rakyat Singapura bahawa perkara ini tidak akan mengganggu beliau dan rakan-rakan Kabinetnya daripada tanggungjawab memerintah Singapura. Ini juga tambah beliau tidak akan mengganggu beliau dan Pemerintah dalam menghuraikan isu-isu nasional yang lebih penting, termasuk cabaran-cabaran ekonomi dan keselamatan yang sedang dihadapi Singapura.

Semasa menyampaikan permohonan maaf kepada rakyat Singapura, PM Lee akur bahawa rakyat Singapura terganggu dan bingung dengan berita pertikaian antara beliau dengan adik beradiknya sejak seminggu lalu. PM Lee seterusnya menyatakan, beliau sudah melakukan segala yang terdaya untuk mengelakkan peristiwa tersebut. PM Lee menjelaskan, beliau cuba menghuraikan perasaan kurang senang mereka secara privet. Ini termasuklah menawarkan untuk memindahkan 38 Oxley Road kepada adiknya, Dr Lee Wei Ling, dengan harga nominal $1.

PM Lee menyatakan, beliau berharap langkah-langkah tersebut akan memuaskan adik beradiknya itu dan seharusnya tiada lagi percakaran lanjut kerana beliau tidak lagi memiliki rumah tersebut, serta tidak mengambil bahagian dalam sebarang keputusan Pemerintah mengenai rumah tersebut. Perdana Menteri selanjutnya menyatakan, beliau mahu melupakan peristiwa ini. Namun tuduhan-tuduhan tersebut, yang disifatkannya sebagai tidak berasas terhadap Pemerintah, “tidak boleh dibiarkan tidak terjawab”. Sebagai kakitangan awam, tulisnya lagi, beliau dan para Menterinya akan terus melindungi integriti institusi-institusinya dan menegakkan piawai yang tinggi – iaitu membezakan antara ehwal privet daripada tugas-tugas awam.

 

Source: Berita Mediacorp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *