Presiden Melayu Tahun Ini, Adalah Melayu Ke-9 Jadi Ketua Negara Singapura. Ini Hujahnya…

Singapura kini berada di ambang Pilihan Raya Presiden yang dikhususkan buat masyarakat Melayu. Bermakna, seorang Melayu akan menjadi Ketua Negara ini.

Dua bakal calon, Encik Salleh Marican dan Encik Farid Khan sudahpun meluahkan hasrat untuk bertanding bagi jawatan tertinggi negara. Speaker Parlimen Cik Halimah Yaacob juga baru-baru ini memberitahu beliau sedang menimbangkan untuk menjadi calon Presiden.

Jadi, apakah ini bermakna Presiden Melayu itu nanti adalah Ketua Negara kedua bagi Singapura selepas Presiden pertama, Presiden Yusof Ishak?

Jawapannya ialah: Tidak.

Singapura sebenarnya pernah menyaksikan sebilangan orang Melayu yang pernah menjadi Ketua Negara dalam sejarahnya. Ini hujah-hujahnya.

KETUA NEGARA PERTAMA SINGAPURA – SANG NILA UTAMA

Sistem pemerintahan Singapura sebelum merdeka merupakan sistem kerajaan, iaitu seorang Raja atau Sultan yang memerintah Singapura dengan kuasa mutlak.

Antara ketua atau pemimpin Singapura yang pertama, dan juga pengasas kerajaan Singapura ialah Sang Nila Utama, juga dikenali sebagai Sri Tri Buana. Tentu ramai yang pernah dengar atau membaca kisah Putera asal Palembang itu tiba di Singapura pada tahun 1299.

Menurut hikayat Sejarah Melayu, beliaulah yang menamakan pulau ini Singapura setelah ternampak seekor haiwan seperti singa semasa mendarat di pulau pasir putih ini. Beliau kemudian mendirikan kerajaannya di Bukit Larangan, yang sekarang dikenali sebagai Fort Canning.

4 KETUA NEGARA SELEPAS SRI TRI BUANA

Walaupun cerita pengasas Singapura itu tersebar luas dan dijadikan sebagai cerita rakyat, ramai orang yang mungkin tidak tahu bahawa selepas Sang Nila Utama atau Srti Tri Buana, sebenarnya ada lagi empat Raja yang memimpin kerajaan Singapura hingga 1498.

Mereka adalah keturunan Sang Nila Utama.

Raja-raja Singapura itu ialah (1) Sri Wikrama Wira, (2) Sri Rana Wikrama, (3) Sri Maharaja dan (4) Parameswara.

Sebahagian sarjana dari Britain percaya bahawa Parameswara kemudian memeluk Islam dan menggunakan nama Sultan Iskandar Shah. Makam raja Singapura terakhir itu kini dipercayai bersemadi di bukit Fort Canning.

Jadi, ini bermakna, Singapura sudah ada sekurang-kurangnya lima orang Raja dalam sejarahnya.

Kerajaan Singapura kekal sehingga ke tahun 1498 apabila Majapahit membuat serangan terhadap kerajaan Sultan Iskandar Shah, yang melarikan diri dari Singapura dan kemudian mendirikan Kerajaan Melaka.

SULTAN HUSSEIN SHAH YANG MEMERINTAH SINGAPURA

Mengikut catatan sejarah, selang ratusan tahun kemudian, Singapura pernah diperintah oleh Sultan Mahmud Shah. Sultan Mahmud ketika itu memerintah kesultanan Johor yang termasuk Pahang, kepulauan Riau dan Singapura.

Tengku Hussein pula merupakan anak pertama kepada Sultan Mahmud. Beliau bagaimanapun enggan mengambil alih pemerintahan bapanya, Sultan Mahmud.

Bagaimanapun pada masa kerajaan Britain dan Belanda saling berlumba-lumba untuk menubuhkan pangkalan di rantau ini, pegawai Inggeris iaitu Sir Stamford Raffles dan Farquhar berpendapat bahawa lebih baik jika Tengku Hussein dijadikan Sultan bagi Kerajaan Johor.

Dipendekkan cerita, Tengku Hussein menjadi ketua kerajaan di Singapura dan dimahsyurkan sebagai Sultan Hussien Shah.


Pusat kerajaan Melayu ini terletak di Istana Kampong Gelam, yang kini menjadi Taman Warisan Melayu.

Ini bermakna, selepas zaman Sultan Iskandar Shah, Singapura diperintah oleh sekurang-kurangnya dua orang Sultan Melayu atau ketua kerajaan – iaitu (1) Sultan Mahmud Shah dan (2) Sultan Hussein Shah.

PRESIDEN SINGAPURA PASCA-KEMERDEKAAN

Seorang lagi ketua negara Melayu muncul bagi Singapura muncul pada tahun lewat tahun 1950-an, apabila Encik Yusof Ishak dilantik sebagai Yang di-Pertuan Negara Singapura pada 3 December 1959.

Beliau merupakan seorang tokoh masyarakat yang menggerakkan akhbar Utusan Melayu, salah satu akhbar utama di rantau ini.

Pada 1965, Encik Yusof Ishak diangkat pula menjadi Presiden Singapura yang pertama apabila Singapura mencapai kemerdekaan – sehingga kini menjadi satu-satunya Presiden berbangsa Melayu bagi Singapura.

SEKURANG-KURANGNYA 8 KETUA NEGARA MELAYU DI SINGAPURA

Rumusannya, setelah mengambil kira hujah sejarah sejak zaman Sang Nila Utama, ternyata bahawa Singapura sebenarnya sudah mempunyai sekurang-kurangnya 8 Melayu yang pernah menjadi Ketua Negara selaku Sultan, Raja, Yang di-Pertuan Negara atau Presiden.

Jadi, Presiden Singapura yang terbaru menyusuli Pilihan Raya Presiden pada September tahun ini nanti, akan menjadi Ketua Negara Melayu ke-9 atau sekurang-kurangnya yang ke-9 bagi Singapura.

 

Source: http://berita.mediacorp.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *