Artis yang berasal dari Singapura itu dilaporkan memukul isterinya yang masih di dalam pantang selepas berlaku pergelutan di sebuah pusat karaoke di Taman Shamelin, Cheras.

Difahamkan, Bella,23, telah membuat laporan polis di Balai Polis Cheras selepas mendakwa dia dipukul oleh Aliff, 26, sehingga menyebabkan kecederaan di bahagian muka dan lutut.

Sebelum kejadian, Bella yang ditemani ibunya telah pergi ke pusat hiburan tersebut selepas mendapat tahu suaminya berada di bilik karaoke bersama seorang wanita lain.

Jurucakap polis memberitahu, mangsa yang berasa tidak puas hati telah memarahi suaminya serta mengambil gambar menggunakan telefon bimbitnya sebagai bukti.

“Kemudian suami pengadu bertindak kasar terhadap pengadu. Mereka telah bergelut kerana suami ingin merampas telefon bimbit pengadu.

“Suami berjaya mengambil telefon bimbit pengadu dan memadam kesemua bukti yang berada di dalam telefon bimbit pengadu,” katanya.

Sejurus selepas memadamkan semua bukti itu, Aliff didakwa mencampak telefon bimbit tersebut ke muka isterinya yang mengakibatkan Bella mengalami luka di mulut dan di lutut.

Aliff telah ditahan awal pagi ini dan dibawa ke lokap Ibu pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd. Isa ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.