Gerhana Bulan Separa Kelihatan Di Makkah; Solat Khusuf Didirikan Di Masjidil Haram

Fenomena gerhana bulan separa mula kelihatan di Tanah Suci pada 6.50 petang waktu tempatan Isnin (11.50 malam Isnin waktu Singapura).

Jemaah yang berada di kawasan Masjidil Haram dan penduduk di sekitar kota suci Makkah dapat menyaksikan fenomena berkenaan dengan jelas selama kira-kira lima jam, dengan kemuncaknya pada 9.21 malam waktu Arab Saudi (2.21 pagi Selasa waktu Singapura).

Fenomena yang djangka berlaku sekali lagi pada Julai 2019 itu, berakhir pada 11.30 malam (4.30 pagi waktu Singapura)

Berikutan fenomena itu, solat sunat khusuf (gerhana bulan) diadakan di Masjidil Haram, dan diikuti bacaan khutbah kira-kira 15 minit yang disampaikan imam masjid itu.

Menurut portal astronomi amatur Malaysia falakonline, gerhana bulan separa berlaku apabila sebahagian daripada cahaya matahari yang jatuh pada permukaan bulan, terlindung oleh jasad bumi.

Secara amnya, gerhana ini berlaku apabila bumi berada antara matahari dan bulan.

Walaupun ia nampak seperti sebaris, jika dilihat dari permukaan yang rata, bulan berada sedikit ke atas daripada garisan matahari dan bumi. Ini akan menyebabkan ia tidak akan dilindungi sepenuhnya oleh bayang-bayang bumi.

Daripada sudut pandangan Islam, berikutan fenomena itu, semua umat Islam disarankan menunaikan  solat sunat khusuf di masjid atau surau berdekatan, bersedekah dan memperbanyakkan doa.

 

Source: http://berita.mediacorp.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *