Dr Bibi Jan Dianugerah Bintang Bakti Masyarakat Atas Sumbangan Kemasyarakatan

Sumbangan Dr Bibi Jan Mohamed Ayyub selama tiga dekad dalam menyelaras usaha keluarga titipan diiktiraf dalam Anugerah Hari Kebangsaan tahun ini.

Dr Bibi Jan, 59 tahun, merupakan antara tujuh individu yang menerima Bintang Bakti Masyarakat (Lintang) – antara pengiktirafan tertinggi dalam anugerah sempena Hari Kebangsaan itu.

Beliau, seorang kaunselor dan pendidik, telah terlibat sebagai sukarelawan dalam Jawatankuasa Titipan di bawah Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) sejak 1987.

Dr Bibi Jan pernah menjadi pengerusi jawatankuasa itu pada 2003 dan dilantik semula sebagai pengerusi pada 2015 hingga sekarang.

Jawatankuasa yang terdiri daripada karyawan pelbagai bidang itu berperanan menilai kes titipan di Singapura dan memastikan keselamatan dan kebajikan anak dalam keluarga titipan.

Beliau juga pernah menerima Pingat Bakti Masyarakat pada 1987 dan Bintang Bakti Masyarakat pada 2006.

Seorang aktivis masyarakat, Dr Bibi Jan merupakan pengarah lembaga Angkatan Karyawan Islam (AMP) dan pernah bergiat dalam banyak pertubuhan lain seperti Yayasan Mendaki, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), dan Kesatuan Guru-Guru Melayu Singapura (KGMS) seawal 1980-an.

Beliau memiliki ijazah kedoktoran daripada Universiti Durham, United Kingdom; ijazah Sarjana Pendidikan daripada Universiti Nasional Singapura (NUS); dan ijazah Sarjana kedua dalam Bimbingan dan Kaunseling daripada Universiti James Cook yang berpangkalan di Australia.

 

Source: www.beritaharian.sg

 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *