Sultan Kedah Gesa Bakal Jemaah Haji Berdisiplin; Jangan Jejaskan Imej Negara & Hubungan Dengan Arab Saudi

Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah meminta lebih 4,000 bakal jemaah haji dari negeri itu supaya menjaga nama baik negara sepanjang tempoh berada di Tanah Suci.

Beliau berkata jemaah perlu menjaga adab dan mengelak sebarang perbalahan ketika berada di sana demi menjaga hubungan negara dengan Arab Saudi.

“Jemaah haji negara diiktiraf sebagai jemaah yang berdisiplin dan sebab itu, patuhillah arahan pihak berkuasa di sana. Jangan terbabit dalam sebarang kegiatan haram ketika di sana.

“Sekiranya berlaku, ia nanti menjejaskan imej negara dan hubungan dengan negara Arab Saudi,” ujarnya di majlis Mengucapkan Selamat Jalan Kepada Bakal Jemaah Haji Kedah malam semalam (16 Ogos).

Seramai 4,564 jemaah haji dari Kedah dan Perlis akan menunaikan rukun Islam kelima itu pada musim haji kali ini.

Sultan Kedah juga menasihatkan bakal jemaah haji supaya memberikan tumpuan sepenuhnya dalam mengerjakan ibadat tersebut.

“Beta mengharapkan jemaah haji meningkatkan amal ibadat dan dapat melaksanakan rukun wajib haji serta menjaga akhlak yang baik untuk mendapatkan haji yang mabrur,” katanya sambil meminta mereka menjaga kesihatan kerana cuaca yang panas di Tanah Suci.

Pada majlis itu, Raja Muda Kedah turut beramah mesra dengan 287 bakal jemaah haji yang akan berlepas terus ke Makkah pada 3.30 pagi tadi melalui Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim.

 

Source: http://berita.mediacorp.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *