Kata Menteri Hal Ehwal Agama Islam republik itu, Yaacob Ibrahim, orang Melayu Singapura ketinggalan dalam bidang pendidikan dan sering dikaitkan dengan jenayah dan pengganas. Mungkin pengharapan kaum Melayu di Singapura terhadap presiden baharu nanti tidaklah setinggi harapan mereka agar kaum Melayu diberi peluang memegang jawatan menteri kanan dalam Kabinet atau Perdana Menteri tetapi sekurang-kurangnya wujud ‘perubahan’ positif buat mereka. Selain Halimah, jawatan presiden itu juga bakal ditan­dingi oleh Pengerusi Bourbon Offshore Asia Pacific, Farid Khan, 62, dan Ketua Eksekutif Second Chance Properties, Salleh Marican, 67.

Kata Halimah, walaupun Presiden Si­­ngapura tidak mempunyai ku­asa eksekutif tetapi jika terpilih beliau mahu membantu dalam membentuk ma­syarakat menerusi inisiatif dan ucap­annya. “Saya tidak boleh membu­at dasar dan undang-undang tetapi saya mahu membina ma­syarakat yang progresif, menye­luruh, me­ngambil berat dan mempunyai rasa belas kasihan,” katanya. Kira-kira 74 peratus rakyat Singapura berketurunan Cina manakala kaum Melayu mewakili 13 peratus dan kaum India pula hanya sembilan peratus daripada sejumlah 5.6 juta penduduk.