Suspek Pecah Masuk 10 Masjid Dicekup

Seorang penganggur ditahan kerana disyaki terbabit dalam sekurang-kurangnya 10 kes pecah masjid yang berlaku dalam tempoh Januari hingga Ogos, di daerah Pontian. Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Zakaria Abdul Rahman berkata,  suspek berusia 21 tahun itu ditahan di rumahnya di Jalan Parit Mesjid pada 23 Ogos lalu hasil maklumat risikan dan cap jari yang diperoleh di tempat kejadian.

“Bukan setakat tabung masjid, tetapi peralatan pembesar suara, komputer dan mesin cetak turut disapu licin asalkan dapat wang. Tambahan pula ada yang sanggup membeli. Tidak kurang daripada 15 kes kecurian yang berlaku di masjid dilaporkan dalam tempoh lapan bulan ini. Justeru, satu pasukan khas telah dibentuk bagi menyelesaikan kes-kes tersebut. Hasilnya, polis berjaya menahan suspek yang mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kecurian sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata, susulan tangkapan itu, dua suspek dipercayai merupakan pembeli barangan curi tersebut berjaya ditangkap di rumahnya di bandar Pontian. “Suspek berusia 28 dan 34 tahun menjalankan kegiatan membaik pulih peralatan elektrik yang dibeli daripada suspek di rumahnya. Barang yang dibaik pulih akan dijual semula sebagai barang terpakai dengan harga yang jauh lebih murah,” katanya. Menurutnya, beberapa peralatan komputer dan sistem pembesar suara berjaya dirampas daripada dua suspek yang ditangkap, dua hari lalu.

“Kesemua suspek ditahan reman sehingga 30 Ogos ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan bagi kesalahan mencuri yang boleh disabitkan hukuman penjara sehingga 14 tahun jika sabit kesalahan,” katanya. Dalam pada itu, Zakaria turut meminta jawatankuasa masjid tidak membiarkan wang kutipan derma disimpan terlalu lama di dalam tabung masjid. “Jangan beri peluang kepada pencuri. Jadi langkah keselamatan perlu diambil berat oleh setiap jawatankuasa masjid. Ini kerana sasaran pencuri lagi tabung masjid sahaja tetapi apa sahaja yang berharga di dalam masjid termasuk komputer turut dicuri. Pemasangan kamera litar tertutup di masjid juga berguna dan membantu,” katanya.

 

Source: Sinar Harian

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *