Anggota Media Farid Khan ‘Diberikan Nasihat’ Kerana ‘Kesalahan Facebook’

Anggota pasukan media Encik Farid Khan, yang dikatakan secara tidak sengaja memuatnaikkan petisyen di laman Facebook milik peribadi Encik Farid Khan, sudah diberikan kaunseling.

Petisyen itu meminta pemimpin de facto Myanmar Aung San Suu Kyi untuk dibicarakan tentang pelanggaran hak asasi manusia terhadap Rohingya.

Cik Suu Kyi berada di bawah tekanan negara-negara yang mempunyai penduduk Islam yang besar untuk menghentikan kekerasan terhadap minoriti Muslim Myanmar.

Laman All Singapore Stuff pada Selasa (5 September) memuatnaik sebuah artikel yang menyebut bahawa Encik Farid “memberi sokongannya kepada” petisyen tersebut. Artikel tersebut mengandungi sekeping gambar yang kelihatan seperti pautan bagi petisyen tersebut di laman Facebook milik peribadi Encik Farid.

“Kami sudah mengeluarkan kenyataan berkaitan dengan isu tersebut dan sudah menasihati kakitangan terbabit, ” kata Encik Borhan Saini, pengurus kempen Encik Farid.

“Kami juga meminta pasukan media kami untuk lebih berhati-hati. Kami menganggap isu sudah ditangani dengan secukupnya dan kini isu ini sudah ditutup.”

Dalam satu kenyataan di halaman Facebook rasminya, Encik Farid menolak laporan All Singapore Stuff sebagai “langsung tidak benar”. Beliau berkata pautan itu secara tidak sengaja disiarkan oleh seorang anggota pasukan medianya yang menguruskan laman Facebook peribadinya. “Ini berlaku akibat menggunakan alat layar sentuh,” katanya.

Encik Farid menambah bahawa beliau sudah menutup laman Facebooknya sendiri untuk mengelakkan peristiwa itu daripada berlaku.

Menganggap keputusan untuk menutup halaman itu sebagai “langkah berjaga-jaga”, Encik Borhan berkata beliau merancang untuk meminta All Singapore Stuff untuk menurunkan laporannya.

 

Source: http://berita.mediacorp.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *