Isu Ucap Selamat Perayaan Agama Lain

Negara Brunei Darussalam berpegang teguh kepada Mazhab Syafie dan juga berpendirian anti-wahabi. Pelita Brunei, penerbitan rasmi Kementerian Penerangan Kerajaan Negara Brunei Darussalam, ada mengeluarkan Irsyad atau Panduan mengenai “Hukum memberi ucapan tahniah sempena perayaan agama lain”. Pada Disember 2015, Sultan Brunei juga pernah bertitah melarang umat Islam di Brunei daripada merayakan perayaan agama lain dan juga mengucap tahniah atau selamat sempena perayaan Krismas, misalnya. Sebab-musabab yang diberikan Kerajaan Brunei Darussalam serupa dengan apa yang diberikan Mufti Menk. (Sila baca perincian yg terdapat pada pautan Pelita Brunei)

Di Malaysia, Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan panduan terperinci mengenai hukum ucap selamat perayaan agama lain. Dr MAZA (Mufti Perlis) dan Dr Zulkifli Al Bakri (Mufti Wilayah Persekutuan) masing-masing berpendapat ianya harus dilakukan oleh umat Islam. (Sila baca perincian pada pautan-pautan yang disertakan.)

Di Indonesia, MUI tidak pernah mengeluarkan fatwa melarang umat Islam dari mengucap selamat kepada penganut agama lain sewaktu perayaan mereka, tetapi melarang mereka daripada sama-sama merayakannya, serupa dengan pendirian Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia. (Sila baca perincian pautan-pautan yang disertakan.)

Di antara persoalan yang timbul adalah, apakah pihak-pihak yang melarang, seperti Kerajaan Brunei Darussalam dan Mufti Menk, boleh dianggap sebagai bersikap melampau?

Dr Zulkifli Al Bakri (Mufti Wilayah Persekutuan Malaysia) berikan kupasan terperinci terhadap isu ini dengan mengemukakan dalil-dalil terperinci dari kedua-dua pihak yang mengharuskan dan juga yang melarangnya. Setelah membentangkan dalil-dalil dari kedua-dua belah pihak, Dr Zulkifli membuat tarjih untuk mengharuskan seseorang Muslim untuk melakukannya.

Dalam perbezaan pendapat seperti ini dan juga dalam perkara-perkara lain, apakah pihak yang berlainan pandangan boleh dianggap sebagai berpendirian melampau atau ekstrim?

Secara peribadi, mengambil pendekatan wasatiyyah lebih selamat rasanya.

WaLlahua’lam bissowab.

 

 

Source: Mohd Khair

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *