McDonald’s Malaysia Buat Laporan Polis Atas Fitnah Menyalurkan Dana Kepada Israel

MCDONALD’S Malaysia membuat laporan polis terhadap lebih 20 individu dan organisasi kerana memfitnah rangkaian restoran makanan segera itu kononnya menyalurkan dana kepada Israel.

Pengarah Urusan dan Pemilik Saham Tempatan Gerbang Alaf Restaurants Sdn Bhd Azmir Jaafar berkata, laporan polis dibuat di Balai Polis Dang Wangi semalam.

Menurutnya, pihaknya menyerahkan siasatan kepada polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sebelum tindakan lanjut termasuk saman.

“Kami juga menubuhkan satu pasukan peguam penasihat luar untuk membantu kami khususnya menjaga kepentingan 12,000 pekerja di 265 cawangan McDonald’s Malaysia.

“Salah satu tohmahan dan fitnah terbesar adalah mengenai sumbangan McDonald’€™s Amerika Syarikat kepada Jewish United Fund (JUF) melalui program kebajikan pemberian sepadan yang tidak benar sama sekali.

“Malah di Malaysia, kami tidak terbabit dengan program berkenaan sebaliknya hanya membayar royalti kepada McDonald’s Corporation sebagaimana dilakukan syarikat,” katanya pada sidang media di Pejabat McDonald’s Malaysia di Kuala Lumpur, hari ini.

Rabu lalu, Presiden Donald Trump mengisytiharkan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Tel Aviv akan dipindahkan ke Baitulmaqdis, dalam langkah untuk mengiktiraf kota suci itu sebagai milik Israel.

Tindakan itu mencetuskan protes besar-besaran di seluruh dunia, termasuk di Malaysia yang disertai ribuan orang berkumpul di luar Kedutaan AS di Jalan Tun Razak, Jumaat lalu termasuklah memboikot McDonald’s.

Mengulas lanjut, Azmir berkata, JUF hanyalah salah satu daripada banyak badan di AS yang berhak untuk menerima sumbangan derma di bawah program pemberian sepadan namun ianya tidak terpakai di Malaysia.

“Ini kerana JUF beroperasi bagi tujuan kebajikan di bawah landasan undang-undang AS yang berkaitan iaitu Seksyen 501(c)(3) Undang-Undang Percukaian AS.

“Di McDonald’s Malaysia, kami di Gerbang Alaf Restaurants Sdn Bhd adalah syarikat milik tempatan yang dikendalikan individu Islam sebagai pemegang saham terbesar yang tidak menyumbang, menyokong atau terbabit dalam sebarang konflik politik mahupun agama di mana-mana negara sekalipun,” tegasnya.

Justeru katanya, rakyat Malaysia diharap lebih bijak dalam melakukan boikot dengan mendapatkan fakta yang benar dan tepat kerana dibimbangi menyebabkan berlakunya fitnah.

 

Source: hmetro

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *