Pasangan Suami Isteri Antara Tujuh Yang Didakwa Di Malaysia

KUALA LUMPUR: Sepasang suami isteri adalah antara tujuh warga Malaysia yang dikaitkan dengan militan Negara Islam (IS) di Syria, yang dihadapkan ke mahkamah atas dakwaan mencari dana dan memberikan sokongan kepada kumpulan itu.

Mereka didakwa terbabit dalam kegiatan dan usaha mengumpul dana serta berniat menyertai kumpulan militan IS di Syria.

Pasangan suami isteri itu – Amir Azlan Zainuddin, 48 tahun, dan isteri, Nazhatulshima Sahak, 44 tahun – dituduh di Mahkamah Majistret Shah Alam kelmarin bersama pembantu kedai makanan, Muhammad Fadhil Ibrahim serta Muhammad Na’eem Apandi, kedua-duanya berusia 24 tahun, cuba memberi sokongan kepada kumpulan IS.

Nazhatulshima, pengusaha taska, didakwa bersama Muhammad Fadhil cuba memberi sokongan kepada pengganas IS dengan cara membeli tiket penerbangan pesawat Emirates bagi perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Istanbul, Turkey.

Mereka didakwa mahu memasuki Syria melalui Istanbul.

Sementara itu, pekerja kedai kek, Mohammad Na’im Abd Rashid, 26 tahun, didakwa di Mahkamah Sesyen Sepang atas tuduhan memberi sokongan dengan berada di Syria.

Mohammad Na’im didakwa memberi sokongan dengan memasuki Syria melalui Istanbul menggunakan penerbangan antarabangsa Qatar Airways.

Mohammad Na’im, dari Nibong Tebal, Pulau Pinang, ditahan oleh anggota Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Bukit Aman sejurus sebelum meninggalkan Malaysia.

Tertuduh, yang telah berkahwin, pernah berada di Syria untuk tempoh tertentu dan ditahan ketika cuba berlepas ke negara tersebut kali kedua.

Seorang perunding kewangan, Rohaimi Abd Rahim, 37 tahun, pula didakwa di Mahkamah Majistret atas pertuduhan mencari dana bagi manfaat kumpulan militan IS melalui blog Revolusi Islam.com sejak Mac lepas.

Rohaimi didakwa melakukan perbuatan itu di No. 5B, Jalan Raja Ali, Kampung Baru di sini antara 29 Mac hingga 13 Oktober lepas.

Seorang lagi tertuduh, penjual kereta, Muhamad Fauzi Misrak, 34 tahun, didakwa bersubahat bersama Rohaimi atas tuduhan sama dengan membenarkan akaun Maybank miliknya digunakan dalam blog Revolusi Islam sebagai medium mencari dana bagi manfaat IS pada masa dan tempat sama.

Tiada pengakuan direkodkan daripada ketujuh-tujuh tertuduh.

Kesemua mereka juga tidak dibenarkan diikat jamin kerana ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 yang melarang jaminan diberikan. – BHM, Utusan Malaysia.

 

Source: http://beritaharian.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *