Tag: ABIM

  • Pink Dot Penang 2014 Dikecam ABIM

    pinkdotpenag2014

    Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) membantah penganjuran acara “Pink Dot Penang 2014” di George Town, Pulau Pinang yang didakwanya bertujuan meraikan kumpulan Lesbian, Gay, Bisexual, Transgender (LGBT).

    Poster acara tersebut telah dimuat naik di Internet, dan ia akan berlangsung di 1926 Heritage Hotel pada Mac 29.

    ABIM berpandangan bahawa acara sebegitu amat bercanggah dengan nilai-nilai pelbagai agama dan adat budaya di Malaysia, kata Setiausaha Agungnya Muhammad Faisal Abdul Aziz.

    1800243_10203468592975004_28522499_n 1620364_10203468587134858_1225733235_n
    Katanya, berdasarkan rujukan terhadap laman Pink Dot Singapore, pada tahun 2013, acara seumpama itu telah diadakan secara besar-besaran “dengan tujuan menyeru persamaan hak bagi komuniti LGBT agar hubungan sesama jenis tidak dianggap suatu yang negatif”.

    “ABIM memandang berat penganjuran acara sebegini sebagai satu usaha yang biadab dan jelas tidak menghormati sentimen majoriti masyarakat Malaysia yang rata-ratanya berpegang teguh dengan ajaran agama.

    “Acara sebegini seolah-olah ingin membawa anasir kebebasan percintaan songsang yang telah kedengaran di merata pelosok dunia termasuk di negara-negara maju seperti UK, Perancis dan lain-lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    “Namun ABIM juga menilai acara tersebut sebagai reaksi dari sikap dan persepsi buruk masyarakat yang amat keterlaluan hingga mengakibatkan hilang pertimbangan keadilan dalam keadaan tertentu ketika menghukum mereka sebagai seorang warganegara hanya atas dasar mereka cenderung dengan kelompok LGBT,” tambanya.

    Bagaimanapun, katanya, ABIM melihat memadai untuk kelompok ini didekati dan diberikan bimbingan tidak sehingga diberikan pengiktirafan meluas menerusi acara seperti yang dirancang.

    Sehubungan itu, katanya, ABIM akan menghantar surat bantahan kepada kerajaan negeri Pulau Pinang, Jabatan Agama Islam Pulau Pinang, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta Pejabat Menteri serta Pejabat Ketua Pembangkang.

    Selain itu, katanya, ABIM juga akan membuat laporan polis menuntut siasatan dilakukan kerana ia bercanggah dengan semangat yang terkandung dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang secara terang-terangan mengiktiraf Islam dan agama-agama lain sebagai teras kepada nilai kenegaraan.

    Malaysia tidak mempunyai undang-undang terhadap homoseksual, tetapi liwat adalah satu jenayah di bawah Kanun Keseksaan yang boleh disabitkan hukuman penjara sehingga 20 tahun.

    Pada tahun 2011, acara yang sama ‘Seksualiti Merdeka ‘ di Kuala Lumpur telah diharamkan, di mana kira-kira 30 anggota polis menyerbu majlis itu semasa ia sedang berjalan.

    Source: Malaysiakini, ABIM

  • Polemik LGBTQ di Singapura: Kenyataan Rasmi ABIM

    Angkatan Belia Islam Malaysia/Muslim Youth Movement of Malaysia (ABIM)
    Angkatan Belia Islam Malaysia/Muslim Youth Movement of Malaysia (ABIM)

    Atas semangat persaudaraan Islam dan muhibbah komuniti ASEAN, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) merasa terpanggil untuk menyatakan keprihatinan terhadap usaha-usaha komuniti Lesbian Gay Bisexual Transgender (LGBT) di Singapura menyebarkan dakyah negatif terhadap Dr. Syed Muhd Khairuddin , seorang Pensyarah Jabatan Pengajian Melayu di National University Singapore (NUS), Singapura.

    Dalam perkembangan tersebut, sekumpulan pendukung LGBT telah mempertikaikan kenyataan di laman peribadi Facebook beliau yang berupa peringatan kepada umat Islam di Singapura agar menjauhi dan menolak amalan LGBT.

    Pertikaian tersebut telah berlanjutan apabila kelompok tersebut mendesak beliau agar memohon maaf secara terbuka atas kenyataan tersebut, yang dirasakan menyinggung pengamal dan pendukung LGBT. Tidak cukup dengan itu, mereka telah mengutus surat bantahan kepada pentadbiran universiti dan melancarkan petisyen atas talian bagi mendesak tindakan tataterbib dikenakan ke atas beliau.

    Rentetan itu, timbul tindak balas daripada komuniti Muslim dan pertubuhan Islam di Singapura yang memberikan respon mempertahankan kenyataan dan pendirian Dr Syed Muhd Khairuddin. Komuniti masyarakat Islam mempertahankan beliau yang bertindak sebagai penyampai mesej yang benar; bahawa Islam melarang amalan LGBT.

    Dalam konteks ini, ABIM ingin menegaskan bahawa pandangan Islam terhadap LGBT adalah jelas dan muktamad dalam Islam, baik dari segi moral ataupun perundangan Islam.

    Prinsip dan pendirian agama Islam berasaskan kepada sumber Al-Qur’an, Hadis, Ijma’ dan sumber-sumber lain yang jelas tanpa ragu menolak sama sekali amalan LGBT di kalangan umat Islam. Hakikat ini diketahui serta diperakui bukan sahaja di kalangan umat Islam, bahkan di kalangan masyarakat umum.

    Sesungguhnya pendirian yang dikemukakan oleh Dr. Syed Muhd Khairudin selari dengan pandangan sarjana yang berotoriti dalam Islam, antara lain seperti yang diungkapkan dengan tepat oleh mantan Presiden Islamic Society of North America, Muzammil Siddiqi (2003):-

    “Homosexuality is sinful and shameful. … But nowadays this act has become a phenomenon. There are agencies and lobby groups that are working hard to propagate it and to make it an acceptable and legitimate lifestyle. For this reason it is important that we should speak against it. We should warn our youth and children from this devilish lifestyle. We should make it very clear that it is Haram, absolutely forbidden and that it kindles the wrath and anger of Allah…”

    Percubaan mempertikaikannya oleh kelompok tertentu– termasuk dari dari kalangan Muslim sendiri – dari awal pelaksanaan Islam hingga ke hari ini ternyata tidak dapat diterima oleh umat Islam, di negara mana pun mereka berada. Hal ini dizahirkan dengan jelas oleh negara-negara Islam OIC menerusi persidangan-persidangan hak asasi sejagat.

    Bahkan di kalangan umat Islam yang merupakan golongan minoriti di negara-negara lain, termasuk di Barat juga jelas menunjukkan bahawa hampir kesemuanya menolak amalan LGBT. Meskipun wujud beberapa pertubuhan dan invidividu yang mengangkat pengamalan atau perjuangan LGBT atas nama ‘Islam’ atau ‘Muslim’, ia tidak pernah sama sekali menggugat pendirian Islam yang terbina kukuh atas sumber hukumnya.

    Penolakan terhadap amalam songsang LBGT bukan hanya terbatas kepada agama Islam sahaja. Waima ia turut disuarakan dengan jelas di kalangan majoriti penganu agama-agama besar yang lainnya. Adalah merupakan hal yang sedia dimaklumi bahawa agama-agama besar di dunia menjunjung tinggi institusi keluarga dan perkahwinan Justeru hanya perkahwinan diantara lelaki dan wanita dengan tujuan murni demi kelangsungan zuriat manusia yang harus dipertahankan oleh para penganut agama dari sebarang usaha meruntuhkannya melalui ‘hubungan dan perkahwinan sejenis’ melalui pintu LGBT.

    Sebagai komuniti penganut agama-agama besar yang penting di dunia, keengganan masyarakat dan pemimpin rantau Asia Tenggara untuk mengiktiraf amalan LGBT sebagai ‘nilai universal’ jelas terbukti. Sebagai contoh, ketua-ketua negara ASEAN (Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara) sepakat menolak advokasi pelobi LGBT untuk memasukkan klausa berkaitan LGBT dalam Deklarasi ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia yang diumumkan pada 19 November 2013.

    Seperti Malaysia, Singapura sebagai sebuah negara maju dan terkehadapan dalam konteks persaingan dunia global turut mempertahankan undang-undang yang mengiktirafkan amalan liwat sebagai satu jenayah yang dihukum di bawah Kanun Keseksaan negara tersebut.

    Justeru atas justifikasi dan semangat agama dan muhibbah ASEAN inilah maka ABIM menyatakan sokongannya terhadap usaha-usaha individu seperti Dr Syed Khairudin dan pertubuhan Islam Singapura yang berusaha menyampaikan pendirian Islam yang jelas terhadap isu LGBT. Atas dasar ini juga, kita menyeru agar pihak yang menyokong LGBT di Singapura wajar untuk menghormati pendirian serta pandangan yang dikemukakan oleh Dr Syed Khairuddin berdasarkan kepada kerangka intelektual yang objektif serta ilmiah.

    ABIM sama sekali tidak berhasrat untuk campur tangan tentang hal ehwal masyarakat Muslim Singapura. Kenyataan ini diketengahkan sebagai satu penjelasan mengenai pendirian ABIM terhadap isu umat Islam sejagat

    ABIM turut yakin bahawa sebagai penganut agama Islam yang berpendidikan tinggi dan berwawasan luas, Prof.Dr Syed Khairudin dan pemimpin agama Islam di Singapura akan mengambil yang pendekatan sederhana dan berhikmah dalam menyelesaikan isu ini.

    Walaupun pendirian Islam cukup jelas dalam isu LGBT ini, Islam turut mengajar bahawa nilai akhlak dan moral yang tinggi menuntut mesej tersebut disampaikan dengan pendekatan yang terbaik. ABIM menolak sebarang pendekatan konfrontasi berunsur kekerasan di mana-mana peringkat, oleh sesiapapun terhadap komuniti tersebut.

    Tanpa sebarang provokasi dan dakyah yang tidak bertanggungjawab dari pihak yang mempertikaikan beliau, ABIM yakin inilah nilai murni dan akhlak Islamiyyah yang telah dan akan terus diamalkan oleh beliau dan pemimpin msyarakat Islam di Singapura.

    Atas dasar ini, ABIM turut menyeru semua pertubuhan-pertubuhan Islam di Malaysia untuk memberikan sokongan dan dukungan yang penuh terhadap Dr.Syed Khairuddin dan pertubuhan Islam di Singapura, untuk terus memperjuangan pendirian umat Islam terhadap LGBT sebagaimana yang diketengahkan oleh masyarakat Islam di Malaysia.
    SyedKhairuddinAljunied_LGBT

    Mohamad Raimi Ab.Rahim, Naib Presiden
    Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

    Source: ABIM

    Read the ENTIRE chronology of saga in category ‘AGAMA’: