Tag: Amerika Syarikat

  • Trump Sangka Jadi Presiden Lebih Mudah; Rindu Pulak “Kehidupan Dulu”

    Trump Sangka Jadi Presiden Lebih Mudah; Rindu Pulak “Kehidupan Dulu”

    Beliau rindu memandu, hidupnya dirasakan seperti dalam kepompong dan tidak menyangka betapa sukarnya tugas baru yang digalas.

    Presiden Donald trump semalam (27 Apr) mengimbas 100 hari pertama beliau sebagai pemimpin Amerika Syarikat sambil mengenang kembali kehidupannya sebelum itu.

    “Saya mencintai kehidupan saya sebelum ini,” Encik Trump memberitahu Reuters. “Kehidupan sekarang lebih banyak tanggungjawab berbanding sebelum ini. Saya sangka ia lebih mudah.”

    Hartawan yang berasal dari New York itu menggalas tanggungjawab sebagai Presiden buat pertama kalinya apabila beliau menjejakkan kaki ke Rumah Putih pada 20 Januari 2017, setelah menumpaskan pesaingnya mantan Setiausaha Negara Hillary Clinton.

    Lebih lima bulan sudah berlalu selepas kemenangannya dan hanya dua hari saja lagi sebelum genap 100 hari beliau menjadi presiden, namun pilihan raya itu masih segar dalam ingatan Encik Trump.

    Di tengah-tengah sesi wawancara tentang Presiden China Xi Jinping, Encik Trump berhenti seketika dan menunjukkan salinan dokumen yang menurutnya adalah perangkaan terbaru pilihan raya 2016.

    “Anda boleh ambil (dokumen itu), ia adalah peta yang menunjukkan perangkaan muktamad,” kata beliau dari Pejabat Bundarnya, sambil menyerahkan peta Amerika Syarikat yang menunjukkan wilayah yang dimenanginya, yang sudah ditanda warna merah. “Baguskan? Yang merah itu jelas sekali untuk kami.”

    Encik Trump memberikan satu salinan kepada tiga wartawan Reuters yang mewawancara beliau.

    Encik Trump, yang berkata beliau sudah biasa dengan “kehidupan lamanya” yang tiada privasi, tetap menyuarakan rasa terkejut dengan kehidupan sekarang yang juga tanpa sebarang privasi.

    Beliau menjelaskan dirinya masih cuba membiasakan diri dengan khidmat perlindungan peribadi sepanjang 24 jam dan sekatan-sekatan lain.

    “Anda seperti berada dalam kepompong sendiri kerana anda dilindungi setiap masa sehingga anda tidak boleh ke mana-mana,” kata beliau.

    Apabila beliau meninggalkan Rumah Putih, lazimnya beliau akan menaiki limosin atau SUV.

    Encik Trump berkata beliau rindu memandu sendiri.

    “Saya suka memandu,” kata beliau. “Saya tidak boleh memandu lagi.”

    Sekalipun begitu, masih banyak lagi perkara tentang Encik Trump yang tidak berubah.

    Beliau masih mendapatkan nasihat dan semangat dari rakan-rakan luar dan bekas rakan perniagaan.

    Encik Trump sering bertelagah dengan banyak pertubuhan media sejak kempen pilihan raya beliau malah memutuskan untuk tidak menghadiri Jamuan Malam Wartawan di Rumah Putih di Washington esok (29 Apr) kerana menurut beliau dirinya tidak diberi layanan adil oleh pihak media.

    “Saya pasti akan datang pada tahun depan,” kata Encik Trump apabila ditanya sama ada beliau akan menghadirinya pada masa akan datang.

    Jamuan itu dianjurkan oleh Persatuan Wartawan Rumah Putih, yang presidennya merupakan wartawan Reuters, Jeff Mason.

     

    Rilek1Corner

    Source: http://berita.mediacorp.sg

  • John Allen Puji Kaedah Cendekiawan Muslim Singapura Menentang Fahaman IS

    John Allen Puji Kaedah Cendekiawan Muslim Singapura Menentang Fahaman IS

    Jeneral pesara Amerika Syarikat, Encik John Allen, yang mengetuai utusan khas Perikatan Global bagi menentang ISIS, memuji golongan cendekiawan Muslim Singapura kerana mengambil langkah pencegahan dengan mendekati masyarakat menentang fahaman ISIS.

    “Terdapat penekanan yang tinggi dalam cara Singapura bekerjasama dengan masyarakatnya untuk mendekati segmen tertentu, terutama golongan muda, dengan mengambil langkah-langkah pencegahan dalam masyarakat bagi membasmi kepercayaan ISIS.

    “Tidak banyak negara secanggih Singapura dan saya dapati ia (cara mendekati masyarakat) sangat baik, dengan cara kerjasama para pemimpin,” katanya dalam sidang akhbar di Kedutaan Amerika Syarikat di sini semalam.

    Encik Allen berada di sini sehari sebagai siri lawatan di rantau ini untuk menjelaskan usaha yang dilakukan Perikatan Global bagi menentang ISIS.

    Sebelum ini beliau mengunjungi Kuala Lumpur dan Jordan dan hari ini beliau ke Australia bagi misi yang sama.

    Menurutnya, dalam lawatannya ke Singapura semalam, beliau antara lain sempat menemui dan berbincang dengan para pegawai Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dan Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) mengenai isu dan pergolakan ISIS.

    “Para cendekiawan dan pemimpin Muslim di sini telah menyusun dengan cara yang penting sebagai suatu tanggungjawab bagi menghuraikan masalah ini.

    “Itu merupakan satu mesej yang sungguh kuat,” ujarnya semasa menjawab soalan Berita Harian.

    Menurut Encik Allen lagi, para pemimpin Islam di sini telah membuat kajian mengenai radikalisme dan turut berkongsi memberi nasihat dan panduan kepada negara-negara lain dengan kajian yang dilakukan di sini.

    “Mereka juga membantu golongan yang menjadi radikal dengan sendiri agar pulang ke pangkal jalan,” tambahnya.

    Encik Allen berkata bahawa tidak seperti kumpulan Al-Qaeda, kumpulan ISIS lebih tersusun dan untuk menentangnya akan mengambil masa bukan harian atau mingguan tetapi bertahun atau mungkin berdekad.

    Namun menerusi laporan-laporan, beliau mendapati semakin ramai pejuang militan ISIS menjadi semakin hampa dan mahu pulang semula ke negara mereka.

    Encik Allen berkata, beliau memahami bahawa perjuangan ISIS bertentangan dengan kepercayaan Islam dan doktrin Al-Quran dan Hadis.

    “Ia bukan negara Islam tetapi mereka mendakwa demikian. Namun mereka yang bodoh dan terpengaruh menerusi Internet mahu mengaitkan diri dengan mereka (ISIS),” kata Encik Allen.

    Menurutnya, buat masa ini sebanyak 62 negara termasuk Singapura telah menyertai Perikatan Global bagi menentang ISIS.

     

    Source: http://beritaharian.sg