Tag: Arab Saudi

  • Jual Air Zam Zam Di Malaysia Boleh Didenda, Anda Mungkin Dipenjara

    Jual Air Zam Zam Di Malaysia Boleh Didenda, Anda Mungkin Dipenjara

    Selaras dengan larangan Kerajaan Arab Saudi, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan terus mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap penjualan air zam zam.

    Ketua Pengarah KKM, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kerajaan Arab Saudi hanya membenarkan pengedaran air zam zam secara percuma kepada jemaah haji dan umrah serta pelawat untuk kegunaan persendirian dalam kuantiti yang terhad semasa berlepas dari Arab Saudi.

    Tegasnya, penjualan air zam zam tidak dibenarkan di Malaysia, menurut laporan Astro Awani.

    “Selaras dengan ini, KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan sedang mengambil dua tindakan penguatkuasaan terhadap penjualan air zam zam berdasarkan Seksyen 4(1)(f), Akta Makanan 1983.

    “Hasil penguatkuasaan yang telah dijalankan sejak tahun 2012 sehingga 31 Okt 2017 di seluruh negara, sejumlah air zam zam bernilai RM58,191.80 (S$19287) telah dirampas. KKM sedang meningkatkan tindakan penguatkuasaan ke atas penjualan air zam zam.

    “Di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985, mana-mana orang yang disabitkan kesalahan menjual air zam zam boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000.00 (S$3310) atau penjara tidak melebihi dua tahun,” katanya menerusi satu kenyataan media hari ini (9 Dis), seperti yang dipetik Astro Awani.

    Jelas beliau, air zam zam diperolehi dari bawah tanah dan dikategorikan sebagai air mineral semula jadi seperti termaktub di bawah Peraturan 360A, Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

    “Pengimportan air mineral semula jadi memerlukan lesen punca air serta kelulusan dan pengesahan daripada pihak berkuasa geologi dan hidrologi dari negara pengeksport,” tambahnya, lapor Astro Awani.

     

    Source: Astro Awani

  • Jemaah Haji Yang Terkandas Di KLIA Tetapi Dalam Keadaan Tenang

    Jemaah Haji Yang Terkandas Di KLIA Tetapi Dalam Keadaan Tenang

    Sekumpulan jemaah haji Singapura yang dalam perjalanan pulang dari Arab Saudi ke tanah air terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam setelah pesawat mereka dipercayai mengalami masalah teknikal.

    Namun begitu, syarikat penerbangan pesawat itu, Saudia Airlines, telah menguruskan penumpang yang terjejas dan menempatkan mereka di The Saujana Hotel Kuala Lumpur, memberikan para jemaah peluang berehat selepas menunaikan ibadah haji.

    Antara penumpang pesawat itu ialah Pengasas TM Fouzy Travels & Tours, Ustaz Tengku Mohd Fouzy Tengku Mahid Jumat, yang berkata terdapat sekitar 270 jemaah haji Singapura yang terjejas.

    “Alhamdulillah, pihak syarikat penerbangan menguruskan kami dengan baik. Mereka menempatkan kami di hotel ini. Jemaah semuanya gembira. Pemandangannya cantik, cuacanya baik.

    “Mereka ada beri maklumat terkini sekitar 12 tengah hari tadi dan menyuruh kita bersabar dan tunggu di hotel buat masa ini,” kata beliau.

    Pesawat itu telah berlepas dari Jeddah pada hari Jumaat dan tiba di KLIA semalam pada sekitar 1 petang. Pesawat itu sepatutnya berangkat ke Singapura sejam kemudian.

     

    Source: http://www.beritaharian.sg/

  • Sultan Kedah Gesa Bakal Jemaah Haji Berdisiplin; Jangan Jejaskan Imej Negara & Hubungan Dengan Arab Saudi

    Sultan Kedah Gesa Bakal Jemaah Haji Berdisiplin; Jangan Jejaskan Imej Negara & Hubungan Dengan Arab Saudi

    Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah meminta lebih 4,000 bakal jemaah haji dari negeri itu supaya menjaga nama baik negara sepanjang tempoh berada di Tanah Suci.

    Beliau berkata jemaah perlu menjaga adab dan mengelak sebarang perbalahan ketika berada di sana demi menjaga hubungan negara dengan Arab Saudi.

    “Jemaah haji negara diiktiraf sebagai jemaah yang berdisiplin dan sebab itu, patuhillah arahan pihak berkuasa di sana. Jangan terbabit dalam sebarang kegiatan haram ketika di sana.

    “Sekiranya berlaku, ia nanti menjejaskan imej negara dan hubungan dengan negara Arab Saudi,” ujarnya di majlis Mengucapkan Selamat Jalan Kepada Bakal Jemaah Haji Kedah malam semalam (16 Ogos).

    Seramai 4,564 jemaah haji dari Kedah dan Perlis akan menunaikan rukun Islam kelima itu pada musim haji kali ini.

    Sultan Kedah juga menasihatkan bakal jemaah haji supaya memberikan tumpuan sepenuhnya dalam mengerjakan ibadat tersebut.

    “Beta mengharapkan jemaah haji meningkatkan amal ibadat dan dapat melaksanakan rukun wajib haji serta menjaga akhlak yang baik untuk mendapatkan haji yang mabrur,” katanya sambil meminta mereka menjaga kesihatan kerana cuaca yang panas di Tanah Suci.

    Pada majlis itu, Raja Muda Kedah turut beramah mesra dengan 287 bakal jemaah haji yang akan berlepas terus ke Makkah pada 3.30 pagi tadi melalui Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim.

     

    Source: http://berita.mediacorp.sg

  • Gerhana Bulan Separa Kelihatan Di Makkah; Solat Khusuf Didirikan Di Masjidil Haram

    Gerhana Bulan Separa Kelihatan Di Makkah; Solat Khusuf Didirikan Di Masjidil Haram

    Fenomena gerhana bulan separa mula kelihatan di Tanah Suci pada 6.50 petang waktu tempatan Isnin (11.50 malam Isnin waktu Singapura).

    Jemaah yang berada di kawasan Masjidil Haram dan penduduk di sekitar kota suci Makkah dapat menyaksikan fenomena berkenaan dengan jelas selama kira-kira lima jam, dengan kemuncaknya pada 9.21 malam waktu Arab Saudi (2.21 pagi Selasa waktu Singapura).

    Fenomena yang djangka berlaku sekali lagi pada Julai 2019 itu, berakhir pada 11.30 malam (4.30 pagi waktu Singapura)

    Berikutan fenomena itu, solat sunat khusuf (gerhana bulan) diadakan di Masjidil Haram, dan diikuti bacaan khutbah kira-kira 15 minit yang disampaikan imam masjid itu.

    Menurut portal astronomi amatur Malaysia falakonline, gerhana bulan separa berlaku apabila sebahagian daripada cahaya matahari yang jatuh pada permukaan bulan, terlindung oleh jasad bumi.

    Secara amnya, gerhana ini berlaku apabila bumi berada antara matahari dan bulan.

    Walaupun ia nampak seperti sebaris, jika dilihat dari permukaan yang rata, bulan berada sedikit ke atas daripada garisan matahari dan bumi. Ini akan menyebabkan ia tidak akan dilindungi sepenuhnya oleh bayang-bayang bumi.

    Daripada sudut pandangan Islam, berikutan fenomena itu, semua umat Islam disarankan menunaikan  solat sunat khusuf di masjid atau surau berdekatan, bersedekah dan memperbanyakkan doa.

     

    Source: http://berita.mediacorp.sg

  • ‘Bas Pelancong’ Madinah Sedia Bawa Anda Ke 11 Tapak Bersejarah Bandar Itu

    ‘Bas Pelancong’ Madinah Sedia Bawa Anda Ke 11 Tapak Bersejarah Bandar Itu

    Pihak berkuasa Arab Saudi kini mengenalkan satu khidmat baru di bandar Madinah, bagi para jemaah yang ke bandar bersejarah itu. Dipanggil “Bas Pelancong”, perjalanannya bermula di Masjid Nabawi, membawa para pengunjung ke 11 tapak di Madinah.

    Ini termasuklah ke tempat-tempat dan tanda mercu bersejarah seperti Jannat al-Baqi, Gunung Uhud, Masjid Qiblatain, Jalan Sultan dan pusat-pusat beli-belah.

    Menurut Saudi Gazette, khidmat bas terbaru itu memulakan perjalanan pertamanya pada Selasa (6 Jun) dan dikendalikan sebuah syarikat pelancongan yang mewakili Penguasa Pembangunan Al-Madinah Al-Munawarah.

    Laman akhbar itu juga melaporkan, dengan menyasarkan para pengunjung dari seluruh pelusuk dunia, perjalanan itu menawarkan para pemandu yang dapat bertutur dalam lapan bahasa.

    Fahad Al-Bayti, pegawai hubungan awam penguasa itu, ditukil Saudi Gazette sebagai berkata perjalanan sulung itu, yang disaksikan pihak media dan para peniaga sedang dalam peringkat persediaan untuk pelancaran rasmi projek berkenaan di masa-masa akan datang.

    Bas dua tingkat itu juga mesra penumpang kurang upaya supaya orang berkeperluan khas juga dapat menikmati manfaat projek unik berkenaan, menurut laporan Saudi Gazette.

    Encik Al-Bayti menarik perhatian bahawa pertimbangan dilakukan dalam menetapkan harga tiket supaya ia mudah diakses orang ramai.

    Projek tersebut juga termasuk lima bas pada fasa pertama, sebelum ia ditambahkan kepada 15 bas selepas itu. Ia akan beroperasi selama 14 jam setiap hari.

     

    Source: http://berita.mediacorp.sg