Tag: Awie

  • Legenda-Legenda Rock Malaysia Luah Rasa Bengang Search Digelar Kumpulan Hantu

    Legenda-Legenda Rock Malaysia Luah Rasa Bengang Search Digelar Kumpulan Hantu

    PETALING JAYA: Penyanyi-penyanyi rock membidas seorang pakar motivasi dikenali sebagai Muhammad Lukman Al Hakim Muhammad kerana menyelar kumpulan Search sebagai “hantu” yang dijemput mengadakan persembahan pada Festival Belia Putrajaya pada 24 Mei lalu.

    Vokalis kumpulan Wings, Awie berkata, kenyataan pemuda itu seolah-olah datangnya daripada seseorang yang tidak berakal tanpa memikirkan kesan akibat perbuatannya itu.

    Malah kata Awie, Muhammad Lukman langsung tidak menghormati vokalis Search, Amy sebagai seorang yang lebih tua daripadanya ketika membuat kenyataan tersebut.

    “Pada saya ketika dia membuat kenyataan itu dia tidak sempat berfikir perkataan digunakan dan langsung tidak menghormati Amy sebagai orang yang lebih tua daripadanya.

    Awie menganggap kenyataan lelaki itu sebagai dangkal.

    “Amy sudah berusia 57 tahun dan adakah dia sedar pengalaman Amy mungkin lebih banyak daripadanya?

    “Jangan hanya kerana dia menggelar dirinya pakar motivasi dia berhak mengeluarkan kenyataan dangkal seperti itu sehingga terlupa tentang perkara baik dilakukan Search atau penyanyi rock lain,” ujarnya.

    Jelas Awie atau nama sebenarnya Mohd Azhar Othman, 47, biarpun kenyataan itu tidak ditujukan kepada penyanyi rock lain tetapi sebagai ‘orang lama’ dalam industri muzik dia mengakui turut terasa.

    “Amy saya sudah anggap sebagai abang dan saya lebih mengenali siapa beliau. Bak kata pepatah ‘cubit paha kiri, paha kanan terasa’ dan sudah tentu saya juga terasa. Saya bersetuju apabila Amy enggan melayan pemuda itu untuk berjumpanya,” ujar Awie.

    Kenyataan dikeluarkan Muhammad Lukman menerusi laman Facebooknya.

    Muhammad Lukman yang juga Ketua Pemuda Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) mengeluarkan kata-kata cemuhan terhadap Search menerusi status di laman Facebook miliknya baru-baru ini.

    Dalam status berkenaan, dia menulis: “Setelah bertahun-tahun negara sambut hari belia negara, belia-belia kita menjadi teruk kerana hantu-hantu macam ini yang menjadi pengisinya”.

    Ia turut disertakan dengan gambar kumpulan Search yang mengadakan persembahan menerusi program itu.

    Bagaimanapun, dia bertindak memadam status berkenaan selepas mendapat kritikan pedas daripada peminat dan mahu berjumpa dengan Amy untuk menohon maaf.

    Amy menujukan lirik lagu sebagai balasan kepada kenyataan lelaki berkenaan.

    Amy dalam satu kenyataan memberitahu belum bersedia untuk bertemu pemuda itu namun telah memuat naik bait lirik lagunya, Meniti Titian Usang untuk menegur tindakan Muhammad Lukman itu.

    Dalam pada itu, bekas penyanyi kumpulan Gersang, Man Bai pula memberitahu, Muhammad Lukman sebagai pakar motivasi sepatutnya lebih tahu bagaimana untuk menegur tanpa menggunakan perkataan kasar.

    Man Bai memberitahu Muhammad Lukman cuba mencari publisiti murahan.

    Kata Man Bai, dia faham tujuan individu tersebut yang ingin memotivasikan golongan belia namun tersalah langkah dan menjerat dirinya sendiri.

    “Saya boleh faham mengapa dia berkata demikian tetapi salahnya adalah penggunaan ayat digunakan adalah kasar.

    “Ada cara lain hendak motivasi dan nasihat golongan belia dan apa bezanya dia dengan ‘hantu’ yang didakwanya itu dengan ayat sedemikian?,” katanya.

    Tambahnya lagi, tindakan Muhammad Lukman  itu jelas mengambil kesempatan untuk mendapat perhatian umum dan ia berjaya.

    Man Bai berkata, Muhammad Lukman seharusnya berasa bertuah apabila Amy enggan berjumpa dengannya dan memilih mengambil tindakan berdiam diri berhubung isu berkenaan.

    Aweera turut berasa ‘panas’ dengan kenyataan tersebut.

    “Saya rasa dia pun sedar kenyataannya itu menjerat dirinya sendiri dan Amy boleh mengambil tindakan undang-undang terhadapnya tetapi beliau ambil pendekatan berdiam diri dan enggan bertemu lelaki itu,” katanya.

    Sementara itu, bagi penyanyi Aweera, 24,  biarpun dia adalah penyanyi rock generasi baharu namun dia tetap terkesan dengan kenyataan dibuat Muhammad Lukman terhadap Search.

    “Saya sendiri ‘panas’ kerana apa yang dikatakannya langsung tidak masuk akal tanpa mengetahui dan mengenali Search itu sendiri.

    “Alhamdulillah saya berpeluang mengenali Amy dan memandang tinggi kepada keperibadiannya yang sentiasa rendah diri dan tenang,” katanya.

    Selain menjadi penyanyi rock, Amy juga aktif dengan kerja-kerja amal dan mempunyai sekolah untuk pelajar tahfiz.

     

    Source: www.mstar.com.my

  • Rozana Patah Tulang Rusuk, Retak Tuang Hidung Akibat Dibelasah Awie

    Rozana Patah Tulang Rusuk, Retak Tuang Hidung Akibat Dibelasah Awie

    AMPANG: Isteri kepada vokalis kumpulan Wings, Awie iaitu Rozana Misbun memberitahu Mahkamah Majistret di sini pada Rabu, dua tulang rusuk kirinya patah manakala hidungnya retak akibat dipukul suaminya itu tahun lalu.

    Rozana, 37, berkata, Awie turut menumbuk mukanya bertubi-tubi selepas berlaku perselisihan faham di rumah sewa mereka di Ukay Perdana kira-kira pukul 1.30 petang, 2 Jun tahun lalu.

    Jelasnya lagi, kejadian itu berlaku selepas Awie menuduh dia mencuri wang milik Awie biarpun telah menjelaskan ia digunakan untuk perbelanjaan keluarga.

    “Ketika kejadian, berlaku perselisihan faham di antara kami di dalam bilik pembantu rumah kami selepas dia menuduh saya menggunakan wangnya tanpa kebenaran.

    “Saya menjelaskan wang berkenaan digunakan untuk perbelanjaan keluarga namun dia tidak percaya sebelum menumbuk wajah saya bertubi-tubi terutama pada bahagian hidung,” dedahnya.

    Rozana berkata demikian selepas menjawab soalan daripada Timbalan Pendakwa Raya, Goh Ai Reen pada hari kelima perbicaraan kes berkenaan.

    Perbicaraan tersebut didengar di hadapan Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman.

    Tambah Rozana, akibat ditumbuk bertubi-tubi oleh suaminya dia rebah ke lantai sebelum Awie menendang pada bahagian rusuk kirinya dan memijak badannya menggunakan kaki.

    “Saya cuba bangun tetapi dia terus menendang muka saya dan saya berasa sangat sakit,” ujarnya.

    Rozana Dipukul

    Awie yang berada dikandang tertuduh dilihat menggeleng-gelengkan kepalanya selepas mendengar kenyataan isterinya itu dan sesekali memandang ke arah media yang memenuhi galeri mahkamah untuk membuat liputan.

    Terdahulu, Rozana terpaksa memberikan keterangan dikandang saksi selepas mahkamah menolak permohonannya memberi keterangan menerusi sidang video dari luar mahkamah kerana berasa takut untuk memberi keterangan di hadapan Awie.

    Bagaimanapun mahkamah membenarkan Rozana selaku pengadu kes berkenaan untuk memberikan keterangannya dengan dilindungi tabir bagi mengelakkan dia memandang Awie yang duduk di kandang tertuduh.

    Meneruskan keterangannya, Rozana berkata, Awie kemudiannya menarik rambutnya sebelum mengheretnya ke ruang tamu sebelum mukanya ditendang sekali lagi sehingga berdarah.

    “Saya ketika itu duduk di sofa dan dia tendang muka saya sekali lagi dan darah mengalir keluar dari hidung.

    “Saya merayu kepadanya supaya menghentikan perbuatannya itu namun dia mengambil kayu ‘monopod’ dan menghayun ke bahagian kiri telinga saya dan batang berkenaan patah tiga.

    “Ketika itu baharulah dia berhenti memukul saya dan memberi sapu tangannya untuk mengelap darah yang keluar,” katanya.

    Bagaimanapun katanya, Awie menolaknya masuk ke dalam kereta yang dipandu oleh pemandu dikenali sebagai Khayrul Anwar dan memaksanya untuk pergi ke sebuah bank di Ampang bagi mengeluarkan wang dalam akaun atas namanya (Rozana).

    “Biarpun saya enggan pergi kerana berada dalam keadaan sakit dan berdarah saya tetap ditolak masuk ke kereta untuk ke bank bagi mengeluarkan wang berjumlah RM30,000 daripada akaun atas nama saya.

    “Kemudian kami ke bangunan Tabung Haji di Jalan Tun Razak untuk mengeluarkan wang di Amanah Saham Bumiputera (ASB) tetapi saya dipukul di hadapan kaunter disaksikan oleh orang ramai yang berada ditempat kejadian selepas saya tidak membawa buku ASB,” jelasnya.

    Sementara itu, Rozana berkata, Awie kemudian membawanya ke Pandan Indah di sini dipercayai pejabat peguam dan meletakkannya di dalam sebuah bilik ditemani pemandu selama sejam.

    Katanya, selepas itu Awie bersama seorang peguam dikenali sebagai Azwan muncul dalam bilik berkenaan sebelum memaksanya menandatangani beberapa dokumen.

    “Saya tidak tahu apa kandungan dokumen itu kerana tidak dapat membaca dengan jelas kerana rabun dan tidak memakai cermin mata.

    “Selepas itu dia menghantar saya pulang ke rumah dan dia kembali keluar dan saya tidur sambil menahan kesakitan,” katanya.

    Terangnya lagi, pada 5 Jun 2014 dia berjumpa doktor di Hospital Pandan Desa selepas tidak tahan dengan kesakitan dialami dan hasil ujian sinar X mendapati hidungnya retak dan dua tulang rusuk kirinya patah.

    Dia menjelaskan turut ditahan selama tiga hari di hospital berkenaan sebelum meminta kebenaran untuk pulang kerana bimbangkan anak-anaknya.

    “Selepas pulang ke rumah saya tidak tahan setiap hari diseksa secara mental oleh suami berhubung kejadian itu sehinggalah pada 15 Jun saya nekad keluar rumah dan kembali ke kediaman ibu bapa saya di Pantai Dalam (Kuala Lumpur).

    “Seterusnya saya membuat dua laporan polis di Balai Polis Ampang Jaya sebelum ke Hospital Ampang untuk membuat pemeriksaan berhubung kecederaan dialami,” ujarnya.

    Dalam perkembangan sama, Rozana dilihat memberikan jawapan konsisten apabila peguam bela Awie melakukan soal balas terhadapnya berhubung keterangan diberikan.

    Perbicaraan yang berlanjutan sehingga pukul 4.30 petang itu bagaimanapun ditangguhkan pada 3 Jun depan.

    Mengikut pertuduhan, Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 46, didakwa sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Rozana pada 2 Jun tahun lalu kira-kira pukul 1.30 petang di alamat No. 9 Jalan UB 5B, Taman Ukay Bestari, Ukay Perdana, Hulu Kelang di sini.

    Pendakwaan terhadapnya dilakukan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

     

    Source: http://www.mstar.com.my