Tag: Batu Pahat

  • Wanita Cemerlang 18A Ditahan Polis Sebab ‘Cium’ Pipi Sultan Johor

    Wanita Cemerlang 18A Ditahan Polis Sebab ‘Cium’ Pipi Sultan Johor

    Padah cuba cium pipi Sultan Johor ketika program Kembara Mahkota Johor 2017, seorang gadis yang pernah cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terpaksa ditahan pihak polis. Insiden yang tidak dijangka itu berlaku ketika Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sedang bersalaman dengan orang ramai di hadapan Restoran Marrybrown, Jalan Medan Putra, Taman Medan Putra, Air Hitam dekat sini kelmarin. Kejadian bermula apabila suspek iaitu Nadiah Amirah Jamil dari Sungai Tongkang Tambak, Rengit, di sini memeluk bahu kanan sebelum mencium pipi kanan baginda pukul 8.45 pagi Isnin lalu.

    Ini menyebabkan tiga anggota polis kemudian bertindak menahan gadis berusia 28 tahun itu namun dia enggan memberikan kerjasama dan berlaku sedikit pergelutan mengakibatkan kecederaan kecil di bahagian bibir suspek. Wanita itu turut buat bising malah mewujudkan suasana tegang dengan menjerit-jerit semasa majlis berlangsung. Kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 186/509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil. Berdasarkan daripada siasatan awal pihak polis, Nadiah tidak mempunyai sebarang senjata berbahaya bahkan semakan ke atas latar belakang dirinya juga mendapati dia tidak pernah memiliki sebarang rekod jenayah lampau.

    Bagaimanapun siasatan lanjut mendapati bahawa dia pernah mengalami gangguan emosi sejak tahun 2007 kerana gagal mendapat keputusan 19A dalam peperiksaan SPM lalu, sebaliknya hanya mampu memperoleh 18A 1B. Suspek juga pernah mendapat rawatan di Pusat Perubatan Islam Darul Syifa’ Johor pada September 2011 dan seorang ustaz yang merawatnya menyatakan bahawa Nadiah juga berkemungkinan mengalami gangguan sihir. Pihak polis telah membuat rakaman percakapan keluarga dan mereka turut menyatakan Nadiah ada masalah gangguan emosi hingga pernah menyatakan mahu mengahwini Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman. Kes yang kini tular menerusi media sosial dirujuk sebagai berkelakuan kurang sopan terhadap Sultan Johor dan siasatan terperinci masih lagi dijalankan pihak Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Pahat.

     

    Source: My News Hub

  • [Batu Pahat] 33 Mangsa Terjejas Kerana Banjir Kilat Di Batu Pahat

    [Batu Pahat] 33 Mangsa Terjejas Kerana Banjir Kilat Di Batu Pahat

    Seramai 33 mangsa daripada enam keluarga dari Kampung Sungai Kluang, Rengit, masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) selepas kediaman mereka dilanda banjir kilat, awal pagi semalam. Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri, Datuk Ayub Rahmat, berkata mereka ditempatkan di PPS Kampung Parit Jalal, disebabkan air belum surut sepenuhnya.
    “Banjir kilat ini berpunca daripada limpahan air pasang akibat benteng pemecah ombak pecah. Kerja pembaikan sedang diuruskan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Batu Pahat. Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah juga menyalurkan bantuan kepada mangsa,” katanya dalam kenyataan, di sini. Sementara itu, Ayub berkata, kejadian yang sama turut berlaku di Kampung Permatang Panjang, Jementah, dekat sini pagi tadi, membabitkan 28 orang daripada lima keluarga namun tiada sebarang PPS dibuka berikutan air mulai surut.

    Source: Berita Harian Online
  • Warga Singapura Ketua Ajaran Sesat di  Melaka, Percayai Dirinya Imam Mahdi

    Warga Singapura Ketua Ajaran Sesat di Melaka, Percayai Dirinya Imam Mahdi

    JASIN 17 Sept. – Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) menahan seorang lelaki berusia 53 tahun yang dipercayai ketua ajaran sesat iaitu mirip ajaran Hakikat Insan dan bergiat aktif di 13 lokasi di negara ini sejak 10 tahun lalu.

    Lelaki yang dikenali sebagai Pak Engku atau Wak itu ditahan bersama dua pengikut, isterinya berusia 60 tahun serta seorang kanak-kanak perempuan berusia tujun tahun, dipercayai anak angkatnya di sebuah rumah tujuh bilik di Kampung Batu Gajah, Merlimau di sini pada pukul 2 petang, kelmarin.

    Ketua Penguat Kuasa JAIM, Rahimin Bani berkata, lelaki berasal dari Batu Pahat itu bergiat menyampaikan ajaran difatwakan haram itu secara berpindah-randah di beberapa negeri sebelum menyebarkannya di Melaka sejak 10 bulan lalu.

    “Hasil siasatan mendapati, suspek menjalankan kegiatan itu bersama pengikutnya dengan melakukan pemujaan menggunakan telur ayam, susu lembu, pulut kuning yang di alas dengan kain merah untuk dipersembahkan kepada makhluk halus.

    “Difahamkan, lafaz syahadah yang mereka amalkan juga berbeza.

    “Daripada maklumat yang kami perolehi, seramai 20 orang pengikut akan terlibat secara langsung dalam upacara tertentu dan beberapa amalan seperti puasa pemutih dan mandi suci turut dilakukan oleh kumpulan ini.

    “Lelaki itu juga mengakui bahawa dia adalah Imam Mahdi dan Sultan Mahmud dalam kalangan pengikutnya,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di pejabat JAIM, Bukit Palah di sini hari ini.

    Rahimin berkata, beberapa barangan serta peralatan yang digunakan untuk kegiatan ajaran tersebut turut disita serta dimusnahkan oleh JAIM.

    Katanya, antara yang dirampas adalah buku-buku catatan yang tertera bahawa keseluruhan anggota badan merupakan ‘lembaga Muhammad’, dua pil perangsang seks, barangan pemujaan dan keris lama.

    “Barangan yang dimusnahkan ialah tiga pasang pakaian yang dipercayai digunakan untuk acara pertabalan dan pemujaan, botol-botol air tertera nama-nama nabi tertentu serta botol air yang dibalut dengan kain kuning tertera nama Sultan Mahmud pertama,” ujarnya.

    Kata Rahimin, rumah yang didiami oleh empat keluarga termasuk suspek dan isterinya itu turut mempunyai sebuah bilik yang dipercayai digunakan untuk aktiviti pemujaan dan sebuah bilik khas yang dipanggil bilik ratu.

    Tambahnya, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 60 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka kerana menyebarkan ajaran salah yang memperuntukkan denda RM5,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya.

    “Siasatan turut dilakukan mengikut Seksyen 61 enakmen sama kerana mempersendakan Islam serta Seksyen 48 kerana melakukan penerbitan agama bertentangan dengan syarak.

    “Suspek telah ditahan reman tiga hari sejak Isnin lalu, manakala isterinya yang merupakan warga Singapura diserahkan kepada Jabatan Imigresen negeri kerana didapati tinggal di negara ini tanpa visa sejak dua tahun lalu,” ujar beliau.

    Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140918/dn_11/JAIM-tahan-ketua-ajaran-sesat-sita-barangan-pemujaan