Tag: bintang filem

  • Dr Bibi Jan Dianugerah Bintang Bakti Masyarakat Atas Sumbangan Kemasyarakatan

    Dr Bibi Jan Dianugerah Bintang Bakti Masyarakat Atas Sumbangan Kemasyarakatan

    Sumbangan Dr Bibi Jan Mohamed Ayyub selama tiga dekad dalam menyelaras usaha keluarga titipan diiktiraf dalam Anugerah Hari Kebangsaan tahun ini.

    Dr Bibi Jan, 59 tahun, merupakan antara tujuh individu yang menerima Bintang Bakti Masyarakat (Lintang) – antara pengiktirafan tertinggi dalam anugerah sempena Hari Kebangsaan itu.

    Beliau, seorang kaunselor dan pendidik, telah terlibat sebagai sukarelawan dalam Jawatankuasa Titipan di bawah Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) sejak 1987.

    Dr Bibi Jan pernah menjadi pengerusi jawatankuasa itu pada 2003 dan dilantik semula sebagai pengerusi pada 2015 hingga sekarang.

    Jawatankuasa yang terdiri daripada karyawan pelbagai bidang itu berperanan menilai kes titipan di Singapura dan memastikan keselamatan dan kebajikan anak dalam keluarga titipan.

    Beliau juga pernah menerima Pingat Bakti Masyarakat pada 1987 dan Bintang Bakti Masyarakat pada 2006.

    Seorang aktivis masyarakat, Dr Bibi Jan merupakan pengarah lembaga Angkatan Karyawan Islam (AMP) dan pernah bergiat dalam banyak pertubuhan lain seperti Yayasan Mendaki, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), dan Kesatuan Guru-Guru Melayu Singapura (KGMS) seawal 1980-an.

    Beliau memiliki ijazah kedoktoran daripada Universiti Durham, United Kingdom; ijazah Sarjana Pendidikan daripada Universiti Nasional Singapura (NUS); dan ijazah Sarjana kedua dalam Bimbingan dan Kaunseling daripada Universiti James Cook yang berpangkalan di Australia.

     

    Source: www.beritaharian.sg

     

  • Sumbangan Legenda P Ramlee Terus Dikenang Dengan Doodle Google

    Sumbangan Legenda P Ramlee Terus Dikenang Dengan Doodle Google

    Bersempena ulang tahun kelahiran Allahyarham Tan Sri P.Ramlee hari ini (22 Mac) , Google memberikan penghormatan menerusi Doodle atau lakaran seniman agung itu pada enjin pencarian internet tersebut.

    Pengguna yang melayari laman web itu dapat melihat lakaran legenda seni tanah air dalam imej yang paling diingati iaitu bermisai nipis, tampil segak dengan sut petak, dan kepalanya menyengit sedikit ke tepi.

    Selain itu, ia turut memaparkan seniman agung itu duduk di kerusi pengarah sambil memegang sehelai kertas di tangan kirinya, alat pembesar suara di tangan kanan dan sebuah gitar yang diletakkan di belakang kerusinya.

    “Google Doodle hari ini menonjolkan kepelbagaian seni legenda Malaysia tersebut yang melangkaui dunia hiburan dan memenangi hati rakyat,” menurut kenyataan laman web itu hari ini.

    P.Ramlee atau nama sebenarnya Teuku Zakaria Teuku Nyak Putih merupakan seorang pelakon, pengarah, penulis, dan komposer prolifik yang sudah menyumbang lebih daripada 60 karya filem dan menggubah sekitar 250 lagu.

    Selepas pemergiannya, warga Malaysia meneruskan warisan Allahyarham dengan memberi penghormatan dalam bentuk anugerah anumerta seperti menamakan dewan, muzium dan bangunan sempena nama beliau.

    P Ramlee lahir pada 22 Mac 1929 dan meninggal dunia pada 29 Mei 1973.

    Tarikh 29 Mei turut diisytiharkan sebagai Hari Seniman Kebangsaan.

    Source: http://berita.mediacorp.sg