Tag: Doa

  • Kalau Nak Tengok Wajah Allah S.W.T. Di Akhirat Nanti, Buat Lah Perkara-Perkara Ni Ok? InsyaAllah.

    Kalau Nak Tengok Wajah Allah S.W.T. Di Akhirat Nanti, Buat Lah Perkara-Perkara Ni Ok? InsyaAllah.

    1. Iman dan Ihsan (Merasa Selalu Diawasi oleh Allah)
    Iman dan ihsan menjadi pintu untuk boleh melihat wajah Allah SWT. Dengan Iman dan ihsan seorang mukmin akan sentiasa merasa diawasi oleh Allah SWT dalam setiap ibadahnya. Seakan-akan dia melihat-Nya dengan hatinya di saat beribadah kepada-Nya. Maka ganjarannya adalah dengan melihat wajah Allah dengan mata kepala di akhirat. Penghulu Ulama` Madzhab Hanabilah, Al-Hafiz Ibn Rajab al-Hanbali Rahimahullahu Ta’ala berkata, bahwa “Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam QS Yunus : 26 yang artinya:

    “Bagi orang yang berbuat ihsan, ada pahala yang terbaik (syurga) dan tambahannya (kenikmatan melihat Allah).” (QS Yunus [10]: 26) Telah sahih dalam Ṣaḥīḥ Muslim dari Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam menafsirkan ziyādah (tambahan) dalam ayat ini dengan melihat wajah Allah di Syurga. “Wajah–wajah orang-orang yang beriman pada hari itu berseri–seri kepada Rabbnya mereka melihat.” (QS. Al-Qiyamah: 22-23)

     

    2. Menjaga Solat Subuh dan Asar
    Amalan selanjutnya yang dapat membuat manusia dapat melihat wajah Allah di akhirat adalah menjaga solat Subuh dan Asar. Solat merupakan ibadah wajib yang paling mulia dan boleh mengantarkan seorang hamba untuk meraih kenikmatan melihat Allah. Dari Jarir Radhiallahu ‘Anhu berkata, “Ketika kami duduk-duduk bersama Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam, tiba-tiba beliau melihat ke arah bulan di malam purnama seraya berkata, ’Sesungguhnya kalian akan melihat Rabb kalian sebagaimana kalian melihat bulan ini. Kalian tidak samar dalam melihatnya. Jika kalian mampu untuk tidak meninggalkan solat sebelum terbitnya matahari (Subuh) dan solat sebelum terbenamnya matahari (Asar), maka lakukanlah.” (HR al-Bukhari: 7434, Muslim: 1432)

    Nabi Muhammad menjelaskan secara jelas bahawa ada hubungan erat antara menjaga solat dan rukyah (melihat Allah). Nabi dalam hadist ini menjelaskan bahawa melihat wajah Allah SWT bukan sekedar angan-angan, melainkan sebuah kepastian yang hanya akan didapatkan kesungguhan dalam beramal dan menjalankan ibadah. Rasulullah SAW juga mengajarkan kita agar memperhatikan dan menjaga dua solat yang agung yaitu solat Fajar (Subuh) dan solat Asar yang memiliki banyak keutamaan dan berat bagi orang munafik.

     

    3. Doa
    Berdoa merupakan ibadah yang mulia dan menunjukan bagaimana kesungguhan Hamba dalam meminta kepada Rabb-nya. Ternyata Rasulullah SAW juga telah mengajarkan kepada umatnya sebuah doa yang agar boleh “ melihat Allah” di akhirat nanti.

    “Aku meminta kepada-Mu (ya Allah) kenikmatan memandang wajah-Mu (di akhirat nanti) dan aku meminta kepada-Mu kerinduan untuk bertemu dengan-Mu (sewaktu di dunia) tanpa ada mara bahaya dan fitnah yang menyesatkan.” Diriwayatkan oleh al-Nasa’i: 1305, al-Bazzar: 1393, Ibn Hibban: 1971 dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Ṣaḥīḥ al-Jāmi‘ 1301. Baginda Rasulullah memunajatkan doa ini dalam ibadah yang paling utama yaitu solat. Semoga kita umat mukmin dapat sentiasa melaksanakan tiga amalan ini. Kerana tiada kenikmatan yang paling utama, selain melihat maha berkuasanya sang Pencipta, Allah SWT.

     

    Wallahualam

     

    Source: Himpunan Nasihat Ustaz

  • Alias Kadir Terpaksa Kudungkan Kaki; Ramai Peminat Masih Sokong Dan Doakan

    Alias Kadir Terpaksa Kudungkan Kaki; Ramai Peminat Masih Sokong Dan Doakan

    “Saya harap peminat dan semua boleh dan akan terus mendoakan diri saya ini.” Begitulah permintaan pelawak terkenal Singapura, Alias Kadir. Kaki kirinya kini sudah dikudungkan setelah melalui pembedahan empat jam kelmarin (4 Ogos).

    Apakah Alias Kadir nanti tidak akan serancak dulu? Apakah Alias Kadir teraksa mengenepikan dunia seni dan dunia komedi tempatan? Itulah antara persoalan yang muncul lantaran keadaannya itu setelah kakinya dipotong.

    Sejak BERITAMediacorp melaporkan keadaan penyakit kencing manis Alias Kadir hingga terpaksa dipotong dua jari kaki kirinya pada April lalu, ternyata penyakitnya menjadi bertambah teruk dan kini bahagian bawah kaki yang sama, terpaksa dikudungkan pula.

    Ketika ditemui di Hospital Universiti Nasional (NUH) pada Khamis lalu (3 Ogos) sebelum pembedahan dijalankan, pelawak setempat ini sempat menunjukkan muka yang ceria dan masih lagi tersenyum dan ramah melayan pertanyaan wartawan.

    Ketika itu, kedua-dua isterinya juga turut hadir sama memberikan sokongan kepadanya, selain ditemani oleh keluarga dan sanak saudara. Isteri pertamanya, Cik Suriana Sanusi, 54 tahun, dan isteri keduanya, Cik Begum Jan Mohd Ayub, 64, tahun turut sama membantu menjawab pelbagai pertanyaan dari BERITAMediacorp.

    ALIAS SAKIT TERUK SELEPAS HARI RAYA

    Menurut Alias, 54 tahun, keadaannya bertambah serius selepas Hari Raya lalu, dan perlu keluar masuk hospital beberapa kali kerana demam panas yang berlarutan dan kadar gula yang terlalu rendah. Ini menurutnya lagi, membuatkan badannya lemah dan seakan ingin pitam beberapa kali, baik di rumah, mahupun ketika di luar.

    “Sejak seminggu yang lalu, saya sudah dimasukkan di hospital kerana demam panas, pneumonia (radang paru-paru) dan muka yang sudah membengkak. Sehingga doktor pun sudah menelefon isteri dan keluarga dan menyuruh mereka datang ke hospital, kerana keadaan saya yang dah teruk dan tidak sedarkan diri.

    “Namun, Alhamdulliah, bengkak dan air di dalam badan sudah berkurangkan. Namun keadaan kaki kiri tetap parah, dan saya diperintahkan untuk menjalani … dan perlu dikudungkan bahagian di bawah lutut, kerana kuman sudah pun merebak,” ujarnya dengan serius.

    Isteri keduanya, Cik Begum Jan turut memberitahu, keadaan kesihatan Alias bertambah teruk sehingga perlu di hantar ke hospital, bermula dari demam panas melebihi 41 darjah selsius, dan radang paru-parunya dipenuhi dengan air yang banyak. Ini juga menyebabkan keadaan kesihatan dan komplikasi penyakit yang lain. Alias turut menghidap penyakit kronik yang lain seperti darah tinggi, serta buah pinggang.

    “Memang keadaan kesihatannya bertambah lebih teruk lagi sejak beberapa bulan yang lalu. Namun, kami ingatkan cuma demam panas biasa, tetapi lama-kelamaan ianya serius hingga terpaksa dirawat di hospital juga.

    “Kini pembedahan sudah pun selamat dilakukan semalam (Jumaat) dan Alias dinasihatkan untuk berehat di hospital, mungkin selama seminggu atau lebih. Jika kakinya tidak dipotong dengan segera, ianya boleh membawa maut, kerana kuman di bahagian tersebut sudah pun dijangkiti teruk, bernanah dan tidak boleh diubati lagi,” jelas Cik Begum Jan kepada BERITAMediacorp. Beliau sebenarnya menghidap penyakit barah buah dada dan sehingga kini masih lagi memerlukan rawatan untuk penyakitnya.

    ALIAS KADIR STABIL TETAPI LEMAH

    Cik Begum turut menjelaskan, Alias yang dilihat stabil tetapi masih lagi lemah selepas pembedahan turut diberikan ubat penenang dan ubat penahan sakit untuk melegakannya. Pemakanan dan ubatannya perlu dipantau dengan ketat supaya, kesembuhan dapat dikecapi dengan segera.

    Cik Begum Jan turut memberitahu kami, beliau tanpa henti memberikan dan menasihatkan Alias dengan kata-kata semangat dan menyuruhnya berzikir setiap waktu agar hatinya lapang, dan dimudahkan segala urusan olehNya.

    “Sebagai isteri walaupun saya sendiri kurang sihat, saya tanpa henti menyuruh Alias tetap bersabar, memberikannya semangat untuk tidak putus asa, ingat anak-anak dan cucu dan jangan lupa untuk berzikir dan berselawat memohon keampunan dari Allah, semuga kami juga diberikan kesihatan dan dimudahkan segala urusan sekeluarga.

    “Kami juga memohon doa dari semua peminat agar doakan Alias supaya cepat sembuh, walaupun kurang sempurna fizikalnya nanti,” tambah Cik Begum Jan lagi.

    INGIN TERUSKAN BUAT SINGLE BERSAMA HAMZAH ADON

    BERITAMediacorp dimaklumkan Alias masih lagi ingin berkarya, namun bukan di waktu terdekat ini. Beliau masih ingin meneruskan bidang nyayian dan sudah pun berura-ura ingin merakamkan lagu single bersama pelawak terkenal dan teman baiknya, Hamzah Adon.

    Ketika dihubungi, Hamzah menjelaskan, lagu yang hendak dirakamkan sudah pun dipilih dan dicipta oleh Faizal Sapuan, seorang karyawan muzik tempatan.

    “Lagu terbaru untuk single kami berdua sudagpun siap dipilih dan cipta untuk Abang Lias (Alias Kadir), kini hanya menunggu masa terbaik, selepas beliau sembuh sepenuhnya, dan bolehlah kami mulakan rakaman. Saya berharap peminat akan terus menyokong Alias Kadir dan turut mendoakan beliau lekas sembuh dari pembedahan kakinya,” kata Hamzah, pelawak berusia 45 tahun ini lagi.

    INGIN MENGGUNAKAN KAKI PALSU – KAKI PROSTETIK

    Bila ditanya mengenai perancangannya selepas ini, Alias memberitahu beliau sudah pun berbincang dan bersedia untuk memakai kaki palsu atau kaki prostetik, supaya kehidupannya tidak akan teruk terjejas, dan tidak kisah pula untuk berkerusi roda buat jangka waktu terdekat ini.

    “Saya sudahpun bersetuju dan ingin menggunakan kaki prostetik untuk meneruskan kehidupan. Saya rasa kerusi roda juga mungkin akan diperlukan buat waktu terdekat ini. Saya tiada pilihan, saya ok dan reda dengan ketentuan ini.

    “Kita mesti ingat positif dan jangan fikir-fikirkan lagi. Lihat sahaja, Hamid, (pemain bes dan ahli kumpulan Black Dog Bone) dia juga menggunakan kaki prostetik dan kini boleh berjalan dengan baik dan meneruskan kehidupan seperti orang biasa,” kata Alias yang jelas mahu meneruskan kehidupan seperti biasa.

    Beliau akur bahawa rawatan dan proses untuk sembuh akan mengambil masa. “Tetapi saya yakin, boleh melakukannya. Saya harap peminat dan semua boleh dan akan terus mendoakan diri saya ini,” ujarnya lembut.

     

    Source: berita.mediacorp.sg

  • 9 Cara Mengatasi Putus Asa Untuk Berdoa Kepada Allah

    9 Cara Mengatasi Putus Asa Untuk Berdoa Kepada Allah

    Ketika kita ada masalah, atau sedang diuji apa yang akan diharapkan oleh seorang hamba adalah meminta pertolongan Allah. Antaranya dengan berdoa, menunaikan solat Taubat, bangun malam, berzikir dan sebagainya.

    Namun, hati semakin sempit apabila semakin lama berdoa, semakin rasa doa kita tidak didengar dan tidak dimakbulkan Allah SWT. Hati rasa semakin tawar hati dan menghampiri perasaan putus asa.

    Walau hakikatnya, sebagai umat Islam kita tidak boleh berputus asa, namun hati yang sempit dan tidak bertuhankan Allah ini mudah benar berasa putus asa. Firman Allah, “….dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yg kafir.” Surah Yusuf, ayat 12

    Walau dihampar dengan 101 petikan ayat Al Quran dan hadis supaya jangan berputus asa, hati yang sempit itu tidak mampu menghadamnya yang membuat hati berasa tenang dan terus berharap untuk berdoa.
    Baca 5 cara ini. Moga ia menjadi pembangkit semangat untuk kita terus berharap dan meminta pertolongan Allah untuk hadir dalam masalah kita.

    1. Allah ya Sami’ (Yang Maha Mendengar) sentiasa dengar rintihan kita

    Sedarilah Allah tidak pekak. Allah ya Sami’ adalah salah satu daripada 99 nama-nama Allah. Andai kita ada sahabat yang merupakan pendengar yang baik, Allah adalah pendengar yang lebih baik daripada mereka.

    Sentiasa sedar, Allah sentiasa mendengar rintihan kita walaupun kita hanya berbisik di dalam hati. Untuk memulakan rintihan, mulakanlah dengan menyeru ya Allah ya Sami’. Kemudian mulakan rintihan.

    2. Allah ya Basir (Yang Maha Melihat) memandang usaha untuk dekat dengan Dia

    Bukan Allah tidak nampak apa yang sedang kita lalui – menangis teresak-esak, merayu, merintih, hanya untuk mendapatkan pertolongan-Nya. Allah nampak itu semua.

    Kuasa Allah, andai Dia menyatakan Kun Faya Kun, hilang semua masalah kita. Cuma adakalanya, Allah menangguhkan masalah itu selesai supaya kita dekat dengan Dia.

    3. Allah ya Qobidh (Yang Maha Menyempitkan) yang sempitkan kita

    Sesungguhnya Allah ya Qobidh yang menyempitkan kita – yang membuat kita rasa sangat terhimpit dengan masalah. Dia juga ya Basit (Yang Maha Melapangkan) yang boleh melapangkan kita.

    Dengan mengenali-Nya melalui 99 nama-nama Allah, insya-Allah kita akan dapat sedari sebuah kod kehidupan yang membuat kita akan sentiasa bersangka baik dengan Allah.

    4. Bersabar dan jangan tergesa-gesa

    Kata Prof. Madya Dr. Wan Maseri Wan Mohd. iaitu individu yang menyebarkan Teknik Asmaul Husna, “Doa adalah penyerahan bukan tuntutan”. Doa adalah perintah Allah terhadap hamba-Nya.

    Walaupun begitu, Allah tidak wajib memakbulkan doa kita. Berdoa adalah salah satu cara seorang hamba melaksanakan perintah-Nya. “Doa kalian akan dikabulkan selama tidak tergesa-gesa. Dia mengatakan, ‘Saya telah lama berdoa, tetapi tidak kunjung dikabulkan.” Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim

    5. Jadikan sabar dan solat sebagai penolong

    “Hai orang-orang yang beriman, jadikan sabar dan solat sebagai penolongmu, sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.” Surah Al Baqarah, ayat 153

    Ini mungkin nasihat cliche, tetapi itulah antara formulanya supaya kita sentiasa rasa bertuhankan Allah. Kenapa nama Allah ya Sabur di akhir sekali dalam susunan 99 Nama-nama Allah?

    Kerana Allah mahu kita bersabar dengan tiap aturan-Nya daripada sifatnya yang adakalanya menjatuhkan kita, memudaratkan kita. Baca dan fahami maksud tiap nama-nama Allah, anda akan faham maksud saya.

    6. Sibukkan diri

    Elakkan bersendirian. Sibukkan diri dengan menyertai apa-apa program kebajikan atau majlis ilmu agama, supaya kita tiada masa untuk fikir tentang masalah.
    Adakalanya apabila kita bersendirian, kita akan lebih kerap fikir tentang masalah sehingga buat kita selalu tertekan. Saya pernah dapat Private Message (PM) di Facebook yang dia berputus asa untuk berdoa kepada Allah.

    Dia tertekan kerana terlalu memikirkan masalahnya malah, membuat dia menghidap penyakit mental dan tekanan yang tinggi. Saya berikan solusi dengan zikir Penyucian Hati Dengan #TeknikAsmaulHusna.

    Alhamdulillah beberapa minggu selepas itu, dia mengatakan dia sudah semakin pulih daripada tekanannya.

    7. Teruskan mendekatkan diri dengan Allah

    Jangan ambil jalan pesong atau jalan yang Allah tidak suka. Ketika kita diuji, hati yang sempit kebiasaannya akan nampak yang negatif sahaja tentang Allah. Kita jadi seorang pesimis – selalu bersangka buruk.

    Akhirnya membuat kita tertekan dengan diri sendiri. Terus dekatkan diri dengan Allah seperti terus menunaikan solat 5 waktu, baca Al Quran.
    Walau sukar, berusaha untuk buat walau sedikit. Asalkan jangan tinggal semua. Paling malas, pasang ayat Al Quran, biarkan telinga kita dengar perkara-perkara yang baik untuk makanan rohani.

    8. Ketahui 3 cara Allah makbulkan doa kita

    i. Dimakbulkan serta merta
    Kita dapat sesuatu secara terus pada ketika kita berdoa untuknya.

    ii. Allah menunda doa kita sehingga sampai waktu yang sesuai
    Bukan Allah tidak memakbulkan doa kita cuma Allah tangguhkan ke suatu masa yang sesuai dalam pengetahuan-Nya.

    iii. Menundanya di akhirat
    Kita berdoa di dunia tetapi Allah beri ketika di akhirat. Sesungguhnya Allah lebih tahu masa yang tepat untuk memakbulkan doa kita lebih daripada kita mengetahuinya.

    9. Cari bahan ilmiah untuk mengatasi perasaan putus asa

    Boleh guna pak cik Google untuk mencari bahan ilmiah. Antara yang saya sarankan,
    i. Apa Yang Telah Diberi vs. Dengan Apa Yang Dipinta
    ii. Apabila Digerakkan Hati Untuk Berdoa
    iii. Kenalilah Tuhan Yang Mengujimu
    v. Video Jangan Berputus Asa: Kita Masih Punya Allah

    Secara tidak langsung dengan membaca dan menonton bahan ilmiah akan membuat kita bermuhasabah untuk tidak berputus asa sebaliknya, teruskan berdoa dan berharap hanya kepada Allah SWT.

    Insya-Allah apabila mempraktikkan 9 perkara ini ketika kita hampir berputus asa untuk terus berdoa untuk memohon pertolongan Allah, kita akan dapat semangat baru yang membina harap berterusan supaya sentiasa bersangka baik dengan Allah dan berdoa kepada-Nya.

    Source: binusrah