Tag: Doktor

  • Warga Singapura, Dr Husaini Abdul Hafiz, Meninggal Dunia Sedang Dalam Perjalanan Ke Kerja Di New Zealand

    Warga Singapura, Dr Husaini Abdul Hafiz, Meninggal Dunia Sedang Dalam Perjalanan Ke Kerja Di New Zealand

    Seorang lelaki warga Singapura rebah dan meninggal dunia ketika berjalan kaki ke tempat kerja di Hagley Park di Christchurch, New Zealand pagi tadi (13 Feb).

    BERITAMediacorp diberitahu, Dr Husaini Abdul Hafiz, 50 tahun, merupakan seorang doktor di Lembaga Kesihatan Daerah Canterbury dan sudah bekerja dan menetap di New Zealand bersama keluarganya sejak lapan hingga sembilan tahun lepas.

    ANTARA KARYAWAN PERUBATAN YANG BENTUK MHPA

    Allahyarham di kalangan sekumpulan karyawan perubatan yang membentuk Persatuan Karyawan Jagaan Kesihatan Islam (MHPA) dan juga aktif bergiat di badan bukan pemerintah Mercy Relief sebelum menetap di New Zealand.

    Allahyarham Dr Husaini sebelum ini pernah mempunyai klinik GP di Blok 516 Choa Chu Kang, iaitu Hafiz Clinic & Surgery.

    Menurut laman stuff.co.nz, polis dimaklumkan tentang kejadian yang berlaku berhampiran Hospital Christchurch itu pada sekitar 8.15 pagi tadi (waktu tempatan).

    Sebahagian laluan pejalan kaki di kawasan tersebut sudah dikepung, menurut laporan itu.

    Abang Allahyarham Encik Husaini, Encik Alwi Abdul Hafiz, berkata beliau dan keluarganya belum pasti tentang punca kematiannya.

    AKTIF DI MEDIA SOSIAL BEBERAPA JAM SEBELUM KEJADIAN

    Namun Encik Alwi, penasihat di Golden Veroleum Liberia, 54 tahun, berkata Allahyarham masih aktif di media sosial hanya beberapa jam sebelum kejadian itu berlaku.

    “Setakat ini kami hanya tahu beliau ketika itu dalam perjalanan ke tempat kerja. Beliau memang selalu berjalan kaki ke tempat kerja,” kata Encik Alwi, yang juga anggota Suara Musyawarah.

    “Kami kerap berhubungan di media sosial, dan beliau masih aktif di media sosial hanya beberapa jam sebelum kejadian itu berlaku, jadi ini satu kejutan untuk kami semua,” tambahnya lagi ketika dihubungi BERITAMediacorp.

    Encik Alwi berkata adiknya tidak diketahui menghidapi sebarang penyakit sebelum ini.

    Kali terakhir mereka bertemu adalah apabila Allahyarham berkunjung ke Singapura lewat tahun lalu.

    Menurut Encik Alwi, Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan lima anak – dua anak lelaki dan tiga anak perempuan – berusia 7 tahun hingga 20an tahun.

    Encik Alwi memberitahu BERITAMediacorp, Allahyarham akan dikebumikan di New Zealand. Beliau dan keluarganya akan ke New Zealand nanti untuk upacara pengebumian Allahyarham.

    Encik Alwi berkata anak lelaki kedua Allahyarham, yang sedang menjalani Perkhidmatan Negara (NS) di Singapura, akan turut ke sana untuk menatap wajah ayahnya buat kali terakhir.

    Sementara itu, Detektif Sarjan Kanan Mark Worner ditukil laman stuff.co.nz sebagai berkata, lelaki yang ditemui meninggal dunia di Hagley Park dipercayai rebah ketika dalam perjalanan ke tempat kerja.

    Seorang jurucakap polis menambah kematian itu tidak mencurigakan dan kes itu sudah dirujuk kepada pihak koroner.

    Source: http://berita.mediacorp.sg

  • Datuk M. Nasir Bergelar Doktor

    Datuk M. Nasir Bergelar Doktor

    SINTOK (Kedah): Seniman Datuk M. Nasir menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pengurusan Industri Kreatif) daripada Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini kelmarin.

    Beliau yang ditemani isterinya, Datin Marlia Musa, menerima penghormatan itu di Majlis Konvokesyen ke-27 universiti tersebut.

    Semasa berucap selepas menerima ijazah itu, M. Nasir berkata komposer dan penerbit lagu perlu menjalankan satu kajian yang mendalam mengenai cara Korea mempromosikan budaya K-Pop dan mempelajari cara mereka membawa muzik setempat ke persada global.

    Beliau berkata budaya K-Pop yang telah menjadi sensasi global ialah satu contoh baik bagi mengeksport seni Malaysia, terutamanya muzik, kepada dunia.

    M. Nasir berkata walaupun kumpulan muzik K-Pop tidak dibentangkan sesuatu yang berbeza daripada genre pop umum, kemampuan mereka memasarkan produk adalah luar biasa.

    “Kami perlu mengkaji bagaimana orang Korea melakukannya dengan muzik K-Pop,” katanya.

    Penyanyi dan penulis lagu mapan itu berkata penulis lagu perlu belajar cara mengurus aspek perniagaan dalam seni mereka.

    “Kami boleh menghasilkan lagu-lagu yang hebat tetapi kami tidak akan ke mana jika kami tidak tahu bagaimana meletak dan memasarkan produk kepada penonton tukikan dan awam,” ujarnya.

    M. Nasir turut memuji penghibur Malaysia yang menebar sayap ke pasaran asing dan berkata lebih ramai yang perlu digalakkan berbuat sedemikian.

    “Kita perlu bekerja keras menyesuaikan muzik kita dengan pasaran antarabangsa dan menggunakan saluran yang betul untuk mendedahkannya sehingga orang dari negara lain akan jatuh cinta dengan produk kita,” ujarnya.

    Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada UUM kerana menganugerahkan beliau dengan Ijazah Kehormat Kedoktoran dan berkata ia merupakan satu pengiktirafan yang besar bagi industri tempatan.

    Naib Canselor UUM, Profesor Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak, berkata M. Nasir telah dipilih oleh senat universiti kerana sumbangan besar beliau kepada industri kreatif.

    “Industri kreatif, seperti muzik, mempunyai potensi ekonomi yang besar bukan sahaja untuk pasaran tempatan, bahkan di peringkat antarabangsa juga.

    “Kami perlu modal insan yang terlatih untuk menguruskan industri ini dan bawanya ke tahap yang lebih tinggi. Sebab itulah UUM memperkenalkan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Pengurusan Industri Kreatif ini,” ujar Dr Mustafa.

    Selain M. Nasir, UUM juga menganugerahkan ijazah kehormat dalam pengurusan pembangunan kepada mantan presiden Kongres India Malaysia (MIC), Datuk Seri S. Samy Vellu. – The New Straits Times.

     

    Source: www.beritaharian.sg