Tag: Dzulhijjah

  • Bulan Dzulhijjah – Sunnah Yang Telah Hilang

    Bulan Dzulhijjah – Sunnah Yang Telah Hilang

    # Bulan Dzulhijjah – Sunnah Yang Telah Hilang

    Sayangnya, sekali lagi khutbah Jumaat memfokuskan kepada hal2 kepentingan pemerintah, bukan kepada hal2 kepentingan syari’at agama pada saat ini, yakni bulan Dzulhijjah. Ingatkah kita beberapa bulan yang lalu, betapa suasana semarak ibadah masyarakat pada bulan Ramadhan? Masjid yang biasanya sepi, tiba2 penuh dengan jemaah. Bahkan orang yang setahun tidak pernah pergi masjid, tiba2 bersemangat ke shaf hadapan. Kebanyakan umat Islam telah sadar kebesaran bulan Ramadhan sehingga ia menjadi bulan yang dikenali dengan semarak ibadah kaum muslimin. Walhamdulillah… Sayangnya, suasana sedemikian hanya berlaku pada bulan Ramadhan. Telah lupakah kita tentang kebesaran bulan Dzulhijjah?

    ☆ Bulan Dzulhijjah – Kebesaran Yang Dilupakan

    Masyarakat kita belum banyak yang menyadari bahawa Dzulhijjah termasuk bulan yang istimewa. Padahal banyak dalil yang menunjukkan bahawa di bulan Dzulhijjah, amal soleh dilipat-gandakan. Sebagaimana pahala yang dijanjikan ketika Ramadhan.

    Dari Abu Bakrah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,
    شَهْرَانِ لاَ يَنْقُصَانِ، شَهْرَا عِيدٍ: رَمَضَانُ، وَذُو الحَجَّةِ
    ”Ada dua bulan yang pahala amalnya tidak akan berkurang. Keduanya dua bulan hari raya: bulan Ramadhan dan bulan Dzulhijjah.” (HR. Bukhari 1912 dan Muslim 1089).

    Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam menggandingkan bulan Dzulhijjah dengan Ramadhan. Sebagai motivasi beliau menyebutkan bahawa pahala amal di dua bulan ini tidak berkurang.

    Waktu yang paling mulia ketika Dzulhijjah adalah 10 hari pertama. Di surah al-Fajr, Allah berfirman:
    وَ الْفَجْرِ * وَلَيَالٍ عَشْرٍ
    Demi fajar, dan demi malam yang sepuluh. (QS. Al Fajr: 1 – 2)

    Imam Ibn Rajab menjelaskan, malam yang sepuluh adalah sepuluh hari pertama bulan Dzulhijjah. Inilah tafsir yang benar dan tafsir yang dipilih kebanyakan ahli tafsir dari kalangan sahabat dan ulama setelahnya. Dan tafsir inilah yang sesuai dengan riwayat dari Ibn Abbas radhiallahu ‘anhuma…” (Lathaiful Ma’arif, hal. 469)

    Allah bersumpah dengan menyebut sepuluh hari pertama bulan Dzulhijjah. Yang ini menunjukkan keutamaan sepuluh hari tersebut. Kerana semua makhluk yang Allah jadikan sebagai sumpah, adalah makhluk istimewa, yang menjadi bukti kebesaran dan keagungan Allah.

    Kerana itulah, amalan yang dilakukan selama 10 hari pertama Dzulhijjah menjadi amal yang sangat dicintai Allah. Melebihi amal soleh yang dilakukan di luar batas waktu itu.

    Dari Ibn Abbas radhiallahu ‘anhu Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

    مَا مِنْ أَيَّامٍ الْعَمَلُ الصَّالِحُ فِيهَا أَحَبُّ إِلَى اللَّهِ مِنْ هَذِهِ الأَيَّامِ. يَعْنِى أَيَّامَ الْعَشْرِ. قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَلاَ الْجِهَادُ فِى سَبِيلِ اللَّهِ قَالَ « وَلاَ الْجِهَادُ فِى سَبِيلِ اللَّهِ إِلاَّ رَجُلٌ خَرَجَ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ فَلَمْ يَرْجِعْ مِنْ ذَلِكَ بِشَىْءٍ

    “Tidak ada hari dimana suatu amal salih lebih dicintai Allah melebihi amal salih yang dilakukan di sepuluh hari ini (yakni sepuluh hari pertama Dzulhijjah).” Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, termasuk lebih utama dari jihad fi sabilillah? Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam menjawab, “Termasuk lebih utama dibanding jihad fi sabilillah. Kecuali orang yang keluar dengan jiwa dan hartanya (ke medan jihad), dan tidak ada satupun yang kembali (yakni mati dan hartanya diambil musuh).” (HR. Ahmad 1968, Bukhari 969, dan Turmudzi 757)

    Dalam riwayat yang lain, Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:
    “Tidak ada amalan yang lebih suci di sisi Allah dan tidak ada yang lebih besar pahalanya dari pada kebaikan yang dia kerjakan pada sepuluh hari al-Adha.” (HR. Ad-Daruquthni, dan dihasankan oleh al-Albani)

    Al-Hafidz Ibn Rajab mengatakan, Hadis ini menunjukkan bahawa beramal pada sepuluh hari bulan Dzulhijjah lebih dicintai di sisi Allah dari pada beramal pada hari-hari yang lain, tanpa pengecualian. Sementara jika suatu amal itu lebih dicintai Allah, artinya amal itu lebih utama di sisiNya. (Lathaiful Ma’arif, hal. 456). Diceritakan oleh Al Mundziri dalam At Targhib wa At Tarhib (2/150) bahawa Sa’id bin Jubair (murid senior Ibn Abbas), ketika memasuki tanggal satu Dzulhijjah, beliau sangat bersungguh-sungguh dalam beribadah, sampai hampir tidak mampu melakukannya. Semoga jabatan agama, persatuan ulama’ dan para asatizah dapat berusaha membangun kesadaran masyarakat tentang kebesarannya bulan Dzulhijjah.

     

    Source: Islamiq SG

  • Jemaah Berwukuf Di Arafah

    Jemaah Berwukuf Di Arafah

    Jemaah dari seluruh dunia seramai 1.37 juta – bersama 600,000 jemaah Arab Saudi – berwukuf di Arafah hari ini, 9 Zulhijah, bagi menunaikan rukun haji.

    Pemandangan lautan manusia yang berhimpit di Padang Arafah dengan berpakaian ihram serba putih begitu syahdu.

    Wukuf adalah rukun haji yang yang difardukan ke atas jemaah, sejajar dengan sabda Rasulullah saw bahawa “Haji itu Arafah”.

    Lantaran itu, semua jemaah tidak kira lelaki dan wanita, tua dan muda, yang sihat dan sakit, perlu berwukuf pada 9 Zulhijah di Padang Arafah yang terletak 21.6 kilometer dari Masjidil Haram.

    Mereka termasuk 56 jemaah yang masih dirawat di beberapa hospital kerana cedera dalam kejadian kren runtuh dekat kawasan sai di Masjidil Haram pada 11 September.

    Mereka dibawa dengan kenderaan khas ke Hospital Jabal Al-Rahmah dan Hospital Besar Arafat untuk berwukuf.

    Dalam kalangan dua juta jemaah haji yang berwukuf itu termasuk 680 jemaah dari Singapura.

    Menurut pegawai bertugas, lebih 40,000 bas dan pelbagai kenderaan lain digunakan untuk mengangkut jemaah antara Makkah, Arafah dengan Mina bagi perhimpunan antarabangsa setiap tahun itu.

    Dalam perjalanan, jemaah melaungkan “Labbaiikallahhumma labbaik…” hingga akhir yang antara lain bermaksud “Kami datang menyahut seruan-Mu, ya Allah”.

    Semasa di Arafah, jemaah ditempatkan dalam khemah.

    Mereka mendengar khutbah Arafah di kawasan masing-masing, mendirikan solat jamak takdim zuhur dan asar serta berzikir.

    Selepas asar, jemaah biasanya keluar dari khemah dan memohon keampunan dan memanjatkan pelbagai doa.

    Keadaan lebih sesak dijangka di Jabal Rahmah, tempat Rasulullah dilaporkan menyampaikan khutbah terakhir beberapa bulan sebelum Baginda wafat.

    Selepas maghrib, jemaah meninggalkan Arafah, bermalam di Muzdalifah dan kemudian ke Mina, yang terletak kira-kira 15 kilometer dari Arafah, bagi melontar jamrah aqabah pada 10 Zulhijah dan menyembelih korban.

    Pada hari yang sama (10 Zulhijah), umat Islam di serata dunia menyambut Hari Raya Aidiladha, yang dikenali juga sebagai Hari Raya Korban.

    Jemaah haji pula terus mabit (berkumpul) di Mina beberapa hari bagi meneruskan ibadah melontar jamrah.

    Mereka juga melakukan tawaf dan sai haji serta bertahalul (bergunting atau cukur rambut) bagi menyempurnakan ibadah haji.

    Selesai pelaksanaan ibadah haji, jemaah beredar.

    Sebahagian mula pulang ke tanah air, sebahagian pula terus beramal ibadah di Makkah manakala sebahagian lagi pergi ke Madinah supaya dapat beribadah di Masjid Nabawi dan menziarahi makam Nabi.

     

    Source: http://beritaharian.sg