Tag: ekstremis

  • Mufti Fatris Bakaram: Apa Cara Yang Terbaik Untuk Tangani Ajaran Ekstremis?

    Mufti Fatris Bakaram: Apa Cara Yang Terbaik Untuk Tangani Ajaran Ekstremis?

    Muqaddimah Pertama: “Ibn Taimiyyah punca pemikiran ekstremis”

    Muqaddimah Kedua: “Saya memiliki dan membaca beberapa kitab karangan Ibn Taimiyyah”

    Natijah: “Maka, saya seorang ekstremis, atau penyokong golongan ekstremis”

    Saya rasa secara umum ada tiga pilihan yang boleh diambil oleh golongan agamawan.

    Pilihan Pertama: Sokong logika ini. Bawa dan bentangkan dalil bagi mempertahankan setiap satu dari Muqaddimah Pertamanya, Muqaddimah Keduanya dan Natijahnya. Berhujah membela “kebenaran” keseluruhan struktur logika ini.

    Pilihan Kedua: Dengan menggunakan kerangka dan proses mental yang sama, tolak logika ini dan tegaskan “kebatilan”nya, dan bentangkan dalil untuk mempertikaikan Muqaddimah Pertamanya, Muqaddimah Keduanya dan Natijahnya.

    (Pilihan Pertama dan Pilihan Kedua ini tidak sempurna jika yang memilihnya tidak “masuk gelanggang” untuk berlawan hujah)

    Pilihan Ketiga: Bersama masyarakat mengatur langkah seiring sekata untuk memperkasakan keupayaan intelek, agar umat ini tidak lagi terus-terusan terperuk di dalam pola pemikiran naif dan simplistik di dalam membincangkan isu-isu kritikal seperti ekstremisme dan terorisme.

    Saya pilih yang ketiga ini.

    Bagaimana?
    Ada teman-teman asatizah yang mahu bersama saya?

    Cuma perlu saya ingatkan, pilihan ketiga ini:
    -tidak mudah
    -memenatkan
    -mengambil masa yang lama
    -tiada jaminan berhasil sebelum kita tutup mata
    -sering mengundang kata-kata yang mengguris hati
    -tidak glamour

    Teman-teman asatizah, sanggup?

     

    Source: Fatris Bakaram

  • MHA: Pemerintah Timbang Sekat Radio Hang

    MHA: Pemerintah Timbang Sekat Radio Hang

    Stesen radio berunsur dakwah di Batam, Radio Hang, memberitahu akhbar Indonesia, Batam Pos, bahawa ia tidak menyebarkan mesej-mesej radikal mahupun menggalak para pendengar terlibat dalam keganasan.

    Namun, Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) membalas kenyataan tersebut dengan menyatakan stesen radio itu mengetengahkan penceramah-penceramah yang menyebarkan pandangan-pandangan ekstrim.

    MHA menyatakan demikian setelah mendedahkan semalam (19 Ogos) bahawa dua warga Singapura yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) menjadi radikal setelah mendengar siaran stesen radio itu. Dua warga Singapura tersebut ialah pencuci kereta Rosli Hamzah, 50 tahun, dan Mohamed Omar Mahadi.

    MHA menyatakan Pemerintah akan menyekat laman-laman dan stesen-stesen radio, atau menurunkan kandungan online yang mempromosikan ideologi radikal sekiranya mendapati perlu berbuat demikian.

    Membalas pertanyaan media sama ada ia akan menyekat Radio Hang, MHA menyatakan ia sedang meneliti semua pilihan.

    RADIO HANG NAFI IA PROMOSI MESEJ RADIKAL

    Bagaimanapun, menurut laporan Batam Pos, pengurus Radio Hang menafikan dakwaan bahawa pihaknya mempromosikan mesej-mesej radikal dan menggalak tindakan ganas.

    Beliau menambah adalah mustahil untuk melakukan demikian kerana stesen itu dipantau Suruhanjaya Siaran Indonesia.

    Malah, dalam kenyataan media yang dikirimkan kepada Mediacorp, Radio Hang menyatakan ia menolak dan menentang sekeras-kerasnya fahaman radikal, pengganasan dan kumpulan ISIS.

    Di laman Facebooknya, Radio Hang juga menyifatkan dirinya sebagai stesen radio berunsur Islam yang menyebarkan mesej Islam.

    Siarannya turut didengar di Singapura dan Malaysia, dan orang ramai boleh mendengarnya di radio atau secara online.

    Para pemimpin agama turut berkata bahawa Radio Hang mempromosikan pandangan Islam yang radikal atau ekstrim.

    USTAZ ALI: TIDAK PROMOSI KEGANASAN, TAPI MESEJNYA PESONGKAN PENDENGAR

    Pengerusi bersama Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG), Ustaz Ali Mohamed, berkata: “Apabila kita bercakap tentang program-program dan dakwah yang disebarkan, ia kebanyakannya menjurus kepada mengasingkan diri dari masyarakat dan tidak bertoleransi.”

    Mesej-mesej mengasingkan diri dari masyarakat itu termasuk melarang umat Islam dari memberi ucapan kepada orang bukan Islam semasa perayaan seperti Krismas.

    Ustaz Ali berkata stesen radio itu tidak mempromosikan keganasan, namun mesej-mesejnya tetap boleh memesongkan para pendengar yang tidak mempunyai asas agama yang kukuh.

    “Mereka cuba mentafsirkannya dengan sendiri tanpa meminta bimbingan dari para guru agama,” katanya.

    SEKAT STESEN RADIO HANG?

    Namun seorang pakar pengganasan berkata menyekat stesen itu hanya langkah jangka pendek.

    Zamil Kajian di Sekolah Pengajian Antarabangsa S Rajaratnam (RSIS), Dr Graham Ong-Webb, berkata: “Ia tidak berkesan dalam jangka masa panjang kerana apa yang kami perlukan ialah lebih banyak maklumat, bukan lebih kurang.

    “Apa yang kami perlu lakukan sekarang ini, dan terutama dalam jangka masa sederhana ini, adalah melengkapi rakyat kita dengan rangka kerja, kompas intelek dan moral, agar mereka dapat menilai maklumat yang didedahkan kepada mereka, dan tanya diri mereka sendiri soalan-soalan tertentu – adakah maklumat ini betul?”

    Ustaz Ali pula berkata terdapat orang-orang Muslim yang menjadi radikal secara sendiri di Singapura, kerana sesetengahnya berfikir ajaran Islam di sini tidak “suci”.

    Justeru, mereka merujuk kepada wadah-wadah luaran dan percaya versi Islam mereka itu betul, meskipun jika ia termasuk melakukan tindakan ganas.

    “Mereka lihat mereka boleh dapatkan Quran yang tulen, ajaran hadith yang tulen, dan mereka lihat pendakwah-pendakwah yang bersuara lantang. Dan mereka lihat ia berbeza di Singapura. Seolah-olah kita di Singapura bukan orang Islam tulen. Apabila anda katakan anda orang Islam, mereka kata anda bukan orang Islam tulen,” kata Ustaz Ali.

    Pakar-pakar berkata untuk membanteras tindakan menjadi radikal secara sendiri, ia termasuk mendidik orang awam tentang apa itu tafsiran agama aliran biasa dan dan yang betul, dan membandingkannya dengan tafsiran agama para pelampau.

    Source: http://berita.mediacorp.sg