Tag: ibu tunggal

  • Inspirasi Buat Semua: Ibu Tunggal Pelajar Tertua Pakai Uniform ITE

    Inspirasi Buat Semua: Ibu Tunggal Pelajar Tertua Pakai Uniform ITE

    Pada usia 49 tahun, Cik Siti Zarina Samsudin akur berasa agak janggal dan kekok kerana menjadi murid yang ‘paling tua’ di kelasnya. Ada juga guru yang mengajar lebih muda dari dirinya.

    Pada usia 49 tahun, beliau menyarung pakaian seragam sekolah Institut Pendidikan Teknikal (ITE), sebagaimana pelajar-pelajar lain, yang rata-rata berusia belasan tahun. Namun, demi masa depan dan kebaikan diri dan keluarganya, Cik Siti Zarina terus berjuang dan mengetepikan perasaan ‘malu’.

    Inilah satu lagi cerita pembakar semangat yang BERITAMediacorp ketengahkan sempena Hari Ibu hari ini (14 Mei). Yang pasti, Cik Siti Zarina layak digelar sebagai antara ibu mithali kerana semangat untuk membaiki diri demi keluarganya – kisah yang boleh dijadikan iktibar oleh masyarakat bagi mengenang daya bingkas insan bernama Ibu.


    DUNIA BERUBAH APABILA MENJADI IBU TUNGGAL

    Selepas berpisah dengan suaminya, lebih 3 tahun yang lalu, Cik Siti Zarina yang merupakan suri rumah, terpaksa menerima gelaran ‘ibu tunggal’. Namun beliau tidak mengeluh. Beliau berfikir dan sedar beliau perlu terus maju ke hadapan dan memulakan hidup baru bersama 3 orang anak berusia, 19 (lelaki), 16 (lelaki) dan 8 tahun (perempuan).

    Ketika itulah beliau mencari pekerjaan tetap dan akhirnya mendapat kerja sebagai pembantu hospital. Dengan wang yang diraih, itulah rezeki yang beliau gunakan untuk menyekolahkan anak-anaknya dan meneruskan kehidupan mereka sekeluarga. Menurut Cik Siti Zarina lagi, di hospital tempat beliau bekerjalah berjaya membuka matanya untuk terus mempelajari kemahiran baru walaupun sudah berusia.

    Kemudian, bermula pada awal tahun ini, pada usia 49 tahun, Cik Siti Zarina tekad masuk semula sekolah secara sepenuh masa untuk menimba ilmu di ITE. Pada masa yang sama, sebagai sumber pendapatan keluarga, beliau antara lain berniaga secara kecil-kecilan di media sosial menjual beraneka shawl, tudung, aksesori dan keperluan wanita yang lain.

    Malah lebih menarik lagi, Cik Siti Zarina juga boleh mengambil gambar dengan baik, dan menjadi jurugambar sambilan, terutama sekali untuk majlis-majlis terbuka dan menggunakan lensa yang besar. Menurutnya, fotografi adalah kemahiran yang baru ditimba selepas berpisah.


    BERMULA DARI ‘ZERO’ , DAN DISINDIR

    Beliau kini mengikuti kursus NITEC selama dua tahun, dalam jurusan Jagaan Masyarakat dan Khidmat Sosial di ITE kolej Timur, dan perlu menghadiri kelas setiap hari, dari 9.00 pagi hingga 5.00 petang.

    “Setelah berumahtangga selama 17 tahun dan kemudiannya bercerai, itu bukanlah sesuatu yang mudah pada saya. Saya harus memulakan kehidupan baru, bermula dari zero (kosong) kerana tiada pekerjaan, wang pendapatan, atau simpanan, semuanya perlu dilakukan sekarang dan seorang sendiri.

    Itulah antara cabaran berlipat ganda yang perlu dipikulnya sebagai janda. Ini termasuklah segala tohmahan, sindiran, kata-kata nista yang menyelinap ke telinganya. Namun kata Cik Siti Zarina, beliau tetap reda.

    “Ketika bekerja di hospital, saya melihat bagaimana para kaunselor telah memberikan nasihat dan sokongan kepala mereka-mereka yang memerlukan. Di situ terbuka hati dan saya berniat, untuk menjadi seperti para kaunselor ini,” cerita beliau.

    Di situ jugalah terdetik di hati beliau untuk sama-sama menjadi antara insan-insan yang memberikan sokongan moral, di saat orang lain ditimpa kekecewaan dan permasalahan.

    Beliau kini menanam satu tekad besar. “Selepas berhenti kerja di hospital, saya pun memulakan pengajian di ITE secara fulltime, dan selepas itu, saya berharap untuk menyambung lagi peringkat Diploma dan seterusnya, menggenggam segulung ijazah, insya-Allah,” jelas Cik Siti Zarina dengan bersungguh-sungguh kepada BERITAMediacorp.

    Sebagai langkah permulaan, lantaran kematangannya, beliau kini sudahpun dilantik menjadi seorang mentor di ITEnya dan memberikan kata-kata perangsang atau juga nasihat kepada remaja dan teman-teman yang lain.


    JADI ULAT BUKU PADA USIA SETENGAH ABAD

    Selain itu, Cik Siti Zarina juga tekun mengerjakan kerja-kerja kemasyarakatan dan sosial di waktu dalam dan luar darjah, dan akan turut melibatkan anak-anaknya jika mereka berkesempatan.

    Wanita gigih ini juga suka menghabiskan masanya di perpustakaan, setiap minggu tanpa jemu, sama ada untuk mengulang kaji pelajaran mahupun sekadar membaca buku di hujung minggu bersama keluarganya. Bagi dirinya, buku adalah teman baik dan setia yang mesti dimiliki oleh semua orang, dan buku juga adalah ‘gedung’ ilmu yang mesti dicari dan dengan membaca juga, banyak ilmu yang oleh diperolehi tanpa berhabis wang.


    “Bagi pendapat peribadi saya, wanita yang bergelar janda atau ibu tunggal, usahlah terus bersedih. Kita perlu bangkit dan teruskan kehidupan, memang tidak mudah seperti yang disangka, tetapi tetap boleh dilakukan. Janganlah takut mencari ilmu dan menimba kemahiran baru.

    “Saya sendiri mengambil inisiatif untuk membaca ketika waktu lapang, dan dengan mengetahui bahan-bahan yang berguna dan informatif yang diperlukan, secara tidak langsung ia dapat menaikkan semangat serta motivasi diri kita sendiri. Alhamdullilah, saya rasa, kehidupan lebih positif; berubah sedikit-demi sedikit, dan ianya lebih bermakna dan saya lebih tahu hala tuju yang saya inginkan, baik untuk diri sendiri dan keluarga saya,” ujar wanita gigih ini lagi, mengongsi perjalanannya sekaligus menjadi contoh terbaik bagi anak-anaknya.

    Untuk orang-orang seperti Cik Siti Zarina, ucapan Selamat Hari Ibu untuknya, pasti mempunyai pengertian berbeza sekarang.

     

    Source: http://berita.mediacorp.sg/

  • Ibu Tunggual Berjuang Tanggung 4 Anak Dan Ibu Tua

    Ibu Tunggual Berjuang Tanggung 4 Anak Dan Ibu Tua

    Setiap hari, ibu tunggal Azizah Mohamed Noor bangun pada 5.00 pagi untuk bersiap sedia di flat dua biliknya di Lengkok Bahru untuk ke kerja.

    Flat dua bilik itu juga dikongsi beliau bersama empat orang anaknya dan ibunya yang berkerusi roda.

    Pada 5.30 pagi beliau keluar untuk memulakan tugas pertamanya sebagai seorang pekerja pembersihan separuh masa bagi pusat kegiatan warga tua NTUC Silver Ace.

    Dua jam kemudian, beliau pulang ke rumah untuk menyiapkan sarapan bagi kesemua di rumah, termasuk anak bongsu beliau, Siti Nur Jannah, 6 tahun, yang memerlukan perhatian istimewa – Jannah mengalami gangguan masalah tumpuan dan hiperaktif (ADHD) dan kelengahan pertuturan.

    Beliau bersama ibunya, Cik Fatimah. (Gambar: Sonia Yeo)

    Ibu beliau Fatimah yang berusia 72 tahun pula menghidapi kencing manis, tekanan darah tinggi dan paras kolesterol yang tinggi, dan memerlukan suntikan insulin dua kali sehari, yang dilakukan Azizah sendiri – satu pada waktu pagi dan satu lagi pada sebelah malam.

    Pekerjaan kedua beliau, seorang penghantar bagi khidmat online Lazada, memerlukan beliau ke pelbagai tempat di Bukit Merah.

    Walaupun berasa penat, Azizah berkata beliau akan terus berusaha, dan selalu menyelesaikan tugas-tugasnya sebelum 3.00 petang, supaya dapat memberinya masa yang cukup untuk pulang ke rumah dan menantikan anaknya pulang dari sekolah dengan menaiki bas sekolah.

    Kemudian, beliau akan terus menyiapkan hidangan bagi makan malam.

    Mungkin apa yang digambarkan ini nampak payah, tetapi Azizah berkata beliau sudah mengalami masa-masa yang lebih susah dulu.

    Pada tahun 2010, beliau menganggur dan susah mendapatkan rezeki bagi anak-anak dan ibu beliau selepas bercerai dengan bekas suami.

    “Saya tidak ada wang, satu sen pun tiada,” katanya, menyifatkan pengalaman itu sebagai “tidak boleh dilupakan”.

    “Saya tidak tahu bagaimana untuk mendapatkan bantuan kewangan. Satu hari, ibu saya menyertai NTUC Silver Ace sebagai seorang anggota dan dari sana, saya mengenali penyelianya, yang bertanyakan jika saya mahu bekerja di sana.”

    DETIK PERUBAHAN BAGI AZIZAH

    Di sanalah Azizah mendapat saranan mengenai cara-cara untuk merancangkan bantuan kewangan.

    Selepas itu, anak beliau, Muhammad Nurazizul, 22 tahun, memberitahunya mengenai Khidmat Sosial Beyond, yang merubah hidupnya.

    Selepas menyertai Khidmat Sosial Beyond – sebuah pertubuhan yang bekerjasama dengan belia kekurangan – sebagai seorang sukarelawan, beliau menyertai kumpulan pembuat kuih-muih, yang menjual barangan mereka semasa musim perayaan.

    Sekarang beliau mendapat pendapatan tambahan sekitar S$800 hingga S$900 bagi setiap projek membuat kuih atau kek yang diambilnya.

    “Saya rasa gembira kerana saya dapat membuat ramai kawan daripada jawatankuasa itu – sekitar 30 orang. Tambahan lagi, saya dapat pendapatan tambahan,” kata beliau.

    PELIBATAN DALAM PERSEMBAHAN KOMEDI SECARA LANGSUNG

    Azizah adalah salah seorang daripada mereka yang dapat manfaat daripada inisiatif amal Khidmat Sosial Beyond – sebuah persembahan komedi berseorangan secara langsung, Living Together. No Holds Barred.

    Persembahan semalam saja akan diadakan pada 16 November ini, bertujuan untuk berkongsikan kisah keadaan miskin di Singapura.

    Derma-derma daripada persembahan itu akan disalurkan kepada Khidmat Sosial Beyond dan para penerimanya – sebagai contoh kumpulan pembuat kuih-muih Azizah, yang akan menerima lebih banyak dana untuk membeli bahan-bahan membuat kuih atau kek.

    Living Together. No Holds Barred akan menampilkan komedi mengenai landskap perumahan Singapura yang berbilang kaum dan nasional, dan akan menerjun ke dalam isu-isu yang menjejas rakyat Singapura dengan sekitaran paling dekat di hati mereka – rumah mereka.

    Source: http://berita.mediacorp.sg