Tag: ideologi

  • ISIS Gunakan “Crowdsourcing” Untuk Perluas Rangkaian Ideologi Radikal

    ISIS Gunakan “Crowdsourcing” Untuk Perluas Rangkaian Ideologi Radikal

    BERITAMediacorp:  Pasukan-pasukan anti-pengganasan kini berdepan dengan cabaran-cabaran serius untuk membanteras ISIS, khususnya untuk mengenal pasti sama ada satu-satu serangan pengganasan itu dilancarkan oleh penyerang secara sendirian atau berkumpulan. Menurut pengamatan Penganalisis Kanan Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), Syed Huzaifah Alkaff, ISIS kini memanfaatkan kumpulan individu radikal selepas ditentang hebat di Iraq dan Syria. Dengan ini, ISIS seolah-olah menyatukan penyerang sendirian dan anggota mereka sendiri dalam percubaan menjadi kumpulan pengganas yang dominan. Artikel KOMENTAR ini disumbangan Syed Huzaifah Alkaff kepada BERITAMediacorp:

    ISIS kini memanfaatkan sumber kumpulan individu yang lebih besar atau ‘crowdsourcing’ untuk serangan-serangan tempatan bagi menebus kerugian yang dialaminya di Timur Tengah. Ini merupakan jambatan utama strategi kumpulan itu untuk memperluas rangkaian radikalnya serta mencetuskan keganasan global.

    ISIS sejauh ini berstruktur hierarki dari segi arahan dalaman di Iraq dan Syria dan pengurusan wilayah-wilayahnya. Kumpulan itu juga mempunyai struktur pangkat rendah yang secara langsung menyelia kegiatan-kegiatan anggotanya. Namun ia sekarang ini mendapatkan penyerang bersendirian untuk melakukan keganasan atas namanya.

    Ternyata walaupun ini bercanggah, pendekatan hierarki dan langkah memanfaatkan sumber kumpulan individu yang lebih besar saling melengkapi.

    Kawalan pusat ISIS yang kian melemah disebabkan serangan-serangan ke atas mereka akan diperkuatkan menerusi strategi memanfaatkan sumber kumpulan individu yang lebih besar.

    Strategi sedemikian sesuai dengan objektif ISIS sekarang. Strategi itu boleh bergantung kepada rangkaian sokongan ISIS yang merentasi negara bagi memperolehi khidmat yang diperlukan untuk mencetuskan keganasan. Tambahan pula, mendapatkan sumber menerusi cara itu membolehkan ISIS membahagikan kerja antara para penyokongnya bagi mencapai kesan yang lebih menyeluruh.

    ISIS dengan mudah boleh mengeksploitasi rangkaiannya dengan memanfaatkan masyarakat radikal bagi meneruskan agendanya. Masyarakat radikal ialah yang berkongsi perspektif dan objektif ISIS, yang bersetuju dengan bentuk-bentuk keganasan tertentu dan juga yang (sekurang-kurangnya pada satu tahap) menyokong kumpulan pengganas itu baik dari segi moral mahupun logistik.

    (Gambar: REUTERS/Stringer)

    RANGKA KERJA SERANGAN ISIS

    Dalam satu rencana yang diterbitkan dalam majalah ISIS, Rumiyah, pada bulan Januari lalu kumpulan itu mengarahkan secara terperinci, kepada para penyokongnya, cara-cara melancarkan serangan. Ini termasuk bagaimana meninggalkan bukti di tempat kejadian supaya ISIS boleh mendakwa bertanggungjawab.

    Selain senjata tentera, ISIS juga menggalak penggunaan senjata ringan seperti pisau dalam melancarkan serangan pengganas. Ini mempermudahkan laluan bagi para “aktivis pengganasan” kumpulan itu untuk memperolehi senjata.

    Menyusuli kegagalan kumpulan militan itu sejak beberapa bulan kebelakangan ini, ia bukan sesuatu yang mengejutkan untuk melihat bagaimana ISIS mengubah strateginya agar ia kekal relevan. Langkah ISIS memanfaatkan sumber kumpulan individu yang lebih besar sekaligus akan memperkukuh reputasi kumpulan itu sebagai pertubuhan pengganasan yang dominan di peringkat antarabangsa.

    Strategi itu boleh terbukti berkesan kerana anggotanya tidak lagi terhad secara geografi dan boleh melancarkan serangan-serangan menjangkaui radius fizikal pusat ISIS. Lagipun, sasaran ISIS, senjata yang pelbagai dan masyarakat yang radikal wujud di mana-mana. Hakikatnya serangan-serangan pengganas yang ISIS akan mendakwa bertanggungjawab hanya menunggu masa untuk berlaku.

    Strategi konvensional ISIS adalah penggunaan taktik gerila dan perang yang tidak seimbang bagi melancarkan serangan-serangan pengganasan. Majalah Rumiyah menekankan taktik yang sama di samping memperkenalkan elemen ‘crowdsourcing’ bagi pengganasan dalam taktik ISIS.

    Majalah itu turut mengajar para penyokong ISIS bagaimana untuk berkomunikasi dengan kumpulan militan tersebut untuk mendakwa bertanggungjawab selepas serangan dilancarkan, lebih-lebih lagi jika serangan itu bukan diarahkan secara langsung oleh ISIS.

    Misalnya, meletakkan satu simbol yang ada kaitan dengan kumpulan tersebut – seperti bendera hitam ISIS – di tempat serangan dilancarkan. Dengan cara itu, ISIS dengan mudah memperolehi dan mengekalkan namanya menerusi para penyokong yang di luar daripada kumpulannya sendiri.

     (Gambar: AFP)

    SASARAN ISIS

    ISIS sebelum ini secara terang-terangan dan meluas mengisytiharkan dan memaklumkan sasarannya menerusi propagandanya. Analisis yang dilakukan ke atas beberapa penerbitan ISIS – Dabiq, Rumiyah dan An-Naba’ – dan juga corak kumpulan itu mendakwa bertanggungjawab ke atas serangan-serangan pengganasan menunjukkan empat ciri utama teras ISIS:

    – Tidak bertolak ansur terhadap agama lain: Ini jelas boleh dilihat pada serangan-serangan yang dilancarkan terhadap kuil-kuil, rumah ibadat serta tempat-tempat lain yang tidak menyokong nilai-nilai agama ISIS.

    – Diskriminasi sektarian: ISIS menerapkan sikap benci-membenci di kalangan Muslim dan masyarakat lain. Kumpulan itu menyasarkan hegemoni, dan memperolehi kuasa untuk menindas fahaman-fahaman lain agama dan masyarakat.

    – Anti-barat: ISIS sering menyalahkan kuasa Eropah-Amerika bagi kejatuhan kedudukan politik Islam khususnya sejak kejatuhan empayar Uthmaniyah. Retorik ini kemudian diburukkan lagi dengan rasa benci terhadap penyertaan negara Barat dalam mana-mana peperangan di Timur Tengah.

    – Pemerintah “Taghut” (melanggar undang-undang): ISIS mengutuk mana-mana pemerintah yang menentang kumpulan itu dan juga yang tidak mematuhi undang-undang Islam menurut cara ISIS. ISIS menyebarkan perspektif seolah-olah ia menjadi mangsa pemerintah seumpama itu kerana menghalang matlamatnya untuk mendirikan Khilafah Islam.

    Kesemua empat ciri itu secara keseluruhannya menjelaskan sasaran ISIS kepada para penyokongnya. Ini amat membimbangkan memandangkan sasaran-sasaran ISIS ini tersebar luas dan mudah didapati di negara-negara di merata dunia.

    (Gambar: AP)

    KESAN PENGGANASAN MENJANGKAUI ANGGOTA ISIS

    Memerangi ISIS kian mencabar. Strategi memanfaatkan masyarakat radikal menjangkaui anggotanya sendiri mengaburkan perbezaan antara penyerang bersendirian dengan keganasan yang dilancarkan secara berkumpulan.

    Penyerang juga tidak terhad pada arahan-arahan ISIS. Radikalisasi menerusi strategi ini juga mempercepat proses merubah individu-individu radikal kepada seorang pengganas. Anggota ISIS pula tidak lagi diperlukan untuk menyertainya sama ada di wilayah ISIS, Iraq atau Syria.

    Tambahan lagi, menyertai ISIS menerusi Bai’ah (ikrar setia) boleh dilakukan secara online. Ini mempermudahkan kumpulan itu mengelak kawalan keselamatan yang lebih ketat oleh pemerintah negara-negara lain.

    Ini menunjukkan fenomena yang semakin meningkat di mana para penyokongnya boleh melancarkan serangan di mana-mana dan pada bila masa saja tanpa arahan atau komunikasi secara langsung dengan pusat ISIS. Justeru, ini akan meningkatkan kadar pengambilan anggota ISIS.

    Masyarakat radikal juga mudah memperolehi senjata menyusuli pelbagai propaganda mengenai senjata buatan sendiri ataupun senjata lain secara amnya. Kempen ISIS sekarang iaitu menggunakan pisau sebagai senjata memudahkan mobilisasi “para aktivis pengganasan” untuk melancarkan serangan. Menerusi strategi ini, masyarakat yang radikal lebih mudah dikaitkan dengan identiti ISIS.

    (Gambar fail: AFP/HO/ALBARAKA NEWS)

    MASA AKAN DATANG

    Dengan adanya strategi memanfaatkan sumber kumpulan individu yang lebih besar untuk melancarkan serangan-serangan, tugas memerangi ISIS akan lebih mencabar. ISIS kini terdesak memerlukan sokongan dan tenaga manusia menyusuli kekalahan besar baik di dalam mahupun luar Iraq dan Syria.

    Oleh itu para penggubal dasar perlu menanggap sebarang tanda perubahan dalam pergerakan dan strategi ISIS. Khususnya bagi rantau Asia Tenggara, masyarakat-masyarakat berbilang agama dan kaum adalah tumpuan dalam rangka kerja serangan ISIS.

    Langkah-langkah untuk memelihara ‘fabrik’ sosial masyarakat di Asia Tenggara semakin penting memandangkan ISIS sedang mengembangkan masyarakat radikal dan memanfaatkannya.

    (Gambar: Syed Huzaifah Alkaff)

    MENGENAI PENULIS:

    Syed Huzaifah Othman Alkaff ialah Penganalisis Kanan di Pusat Antarabangsa bagi Kajian Keganasan Politik dan Pengganasan (ICPVTR), Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS).

    Source: http://berita.mediacorp.sg

  • RRG Terbit Buku Panduan Tangani Fahaman Ideologi ISIS

    RRG Terbit Buku Panduan Tangani Fahaman Ideologi ISIS

    Kumpulan Pemulihan Agama (RRG) telah mengambil beberapa langkah demi mempergiat usaha menangani ideologi pelampau menyusuli kes belia radikal sendiri baru-baru ini.

    Ini termasuk menghasilkan buku panduan kaunseling ketiganya, mengadakan lebih banyak ceramah di masjid dan memperkenalkan satu talian bagi membolehkan orang ramai mendapat nasihat daripada RRG tentang fahaman radikal.

    Ini diumumkan di Rahat ke-11 RRG di Orchid Country Club tadi.

    Rahat tersebut turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Encik Teo Chee Hean, yang juga Menteri Ehwal Dalam Negeri.

    RRG telah menghasilkan manual kaunseling ketiga bagi membimbing kaunselor untuk menyangkal naratif pengganasan kumpulan pengganas ISIS.

    Buku panduan itu akan membidas konsep seperti khalifah Islam ISIS, kewajipan jihad, serta membincangkan topik seperti kehidupan Muslim dalam sekitaran sekular.

     

    Source: http://beritaharian.sg

  • John Allen Puji Kaedah Cendekiawan Muslim Singapura Menentang Fahaman IS

    John Allen Puji Kaedah Cendekiawan Muslim Singapura Menentang Fahaman IS

    Jeneral pesara Amerika Syarikat, Encik John Allen, yang mengetuai utusan khas Perikatan Global bagi menentang ISIS, memuji golongan cendekiawan Muslim Singapura kerana mengambil langkah pencegahan dengan mendekati masyarakat menentang fahaman ISIS.

    “Terdapat penekanan yang tinggi dalam cara Singapura bekerjasama dengan masyarakatnya untuk mendekati segmen tertentu, terutama golongan muda, dengan mengambil langkah-langkah pencegahan dalam masyarakat bagi membasmi kepercayaan ISIS.

    “Tidak banyak negara secanggih Singapura dan saya dapati ia (cara mendekati masyarakat) sangat baik, dengan cara kerjasama para pemimpin,” katanya dalam sidang akhbar di Kedutaan Amerika Syarikat di sini semalam.

    Encik Allen berada di sini sehari sebagai siri lawatan di rantau ini untuk menjelaskan usaha yang dilakukan Perikatan Global bagi menentang ISIS.

    Sebelum ini beliau mengunjungi Kuala Lumpur dan Jordan dan hari ini beliau ke Australia bagi misi yang sama.

    Menurutnya, dalam lawatannya ke Singapura semalam, beliau antara lain sempat menemui dan berbincang dengan para pegawai Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dan Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) mengenai isu dan pergolakan ISIS.

    “Para cendekiawan dan pemimpin Muslim di sini telah menyusun dengan cara yang penting sebagai suatu tanggungjawab bagi menghuraikan masalah ini.

    “Itu merupakan satu mesej yang sungguh kuat,” ujarnya semasa menjawab soalan Berita Harian.

    Menurut Encik Allen lagi, para pemimpin Islam di sini telah membuat kajian mengenai radikalisme dan turut berkongsi memberi nasihat dan panduan kepada negara-negara lain dengan kajian yang dilakukan di sini.

    “Mereka juga membantu golongan yang menjadi radikal dengan sendiri agar pulang ke pangkal jalan,” tambahnya.

    Encik Allen berkata bahawa tidak seperti kumpulan Al-Qaeda, kumpulan ISIS lebih tersusun dan untuk menentangnya akan mengambil masa bukan harian atau mingguan tetapi bertahun atau mungkin berdekad.

    Namun menerusi laporan-laporan, beliau mendapati semakin ramai pejuang militan ISIS menjadi semakin hampa dan mahu pulang semula ke negara mereka.

    Encik Allen berkata, beliau memahami bahawa perjuangan ISIS bertentangan dengan kepercayaan Islam dan doktrin Al-Quran dan Hadis.

    “Ia bukan negara Islam tetapi mereka mendakwa demikian. Namun mereka yang bodoh dan terpengaruh menerusi Internet mahu mengaitkan diri dengan mereka (ISIS),” kata Encik Allen.

    Menurutnya, buat masa ini sebanyak 62 negara termasuk Singapura telah menyertai Perikatan Global bagi menentang ISIS.

     

    Source: http://beritaharian.sg