Tag: Imam Mahdi

  • Lelaki Dijel 24 Bulan Kerana Dakwa Diri Imam Mahdi

    Lelaki Dijel 24 Bulan Kerana Dakwa Diri Imam Mahdi

    Seorang lelaki mengaku bersalah membuat dakwaan palsu dengan mengisytiharkan diri sendiri sebagai Imam Mahdi.

    Dia dihukum penjara 24 bulan dan didenda RM4,900 (S$1,680) oleh Mahkamah Tinggi Syariah di Kuala Lumpur.

    Hakim Syarie, Mohd Amran Mat Zain menjatuhkan hukuman itu terhadap Mat Alimin Abdullah, 36, mengikut Seksyen 6 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.

    Mahkamah turut memerintahkan Mat Alimin dipenjara enam bulan lagi sekiranya gagal membayar denda tersebut.

    Sebelum menjatuhkan hukuman, Hakim Mohd Amran berkata pegangan akidah merupakan satu daripada perkara dalam teras keimanan umat Islam, dan tidak boleh dicampur aduk dengan perkara-perkara lain yang membolehkan timbul keraguan dalam seseorang individu.

    “Mahkamah berpuas hati dengan rayuan yang dikemukakan oleh tertuduh untuk tujuan meringankan hukuman dan hujahan pendakwaan untuk pemberatan hukuman.

    “Sehubungan dengan itu, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM4,900 dan penjara 24 bulan,” kata hakim.

    Mat Alimin didakwa melakukan kesalahan tersebut dengan melafazkan: “Sekiranya saya benar, siapa yang mempermainkan saya, mendustai saya, saya serah kepada
    Allah, sebab orang yang bercakap pada hari ini Muhammad Al-Mahdi utusan Allah.

    “Sekiranya benar saya utusan Allah, siapa yang mempermainkan saya akan dilaknat oleh Allah. Ini janji Nabi Muhammad akhir zaman nanti akan keluar umatku namanya seperti namaku, berasal dari keturunanku, nama bapanya seperti nama bapaku dan keluar dari arah Timur.”

    Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut di dalam bilik mesyuarat Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan di Menara Pusat Islam, Jalan Perdana antara pukul 3.00 petang hingga 3.30 petang, semalam (26 April).

    Terdahulu dalam rayuannya, Mat Alimin yang tidak diwakili peguam, merayu kepada mahkamah agar hanya dikenakan hukuman denda yang ringan kerana perlu
    menanggung dua anaknya yang masih bersekolah dan kini hanya bekerja sendiri.

    Ketika hakim bertanya mengenai latar belakang, sejarah kesihatan dan tahap pendidikannya, tertuduh berkata dia berpendidikan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)
    dan tidak pernah mendapat rawatan psikiatri dari mana-mana pusat perubatan.

    Pegawai Pendakwa dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Zainol Rashid Hasin, berhujah bahawa tertuduh dalam keadaan kesihatan yang baik dan waras ketika melakukan kesalahan dan wajar mendapat hukuman berbentuk pemenjaraan.

    Source: Berita Mediacorp

  • Warga Singapura Ketua Ajaran Sesat di  Melaka, Percayai Dirinya Imam Mahdi

    Warga Singapura Ketua Ajaran Sesat di Melaka, Percayai Dirinya Imam Mahdi

    JASIN 17 Sept. – Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) menahan seorang lelaki berusia 53 tahun yang dipercayai ketua ajaran sesat iaitu mirip ajaran Hakikat Insan dan bergiat aktif di 13 lokasi di negara ini sejak 10 tahun lalu.

    Lelaki yang dikenali sebagai Pak Engku atau Wak itu ditahan bersama dua pengikut, isterinya berusia 60 tahun serta seorang kanak-kanak perempuan berusia tujun tahun, dipercayai anak angkatnya di sebuah rumah tujuh bilik di Kampung Batu Gajah, Merlimau di sini pada pukul 2 petang, kelmarin.

    Ketua Penguat Kuasa JAIM, Rahimin Bani berkata, lelaki berasal dari Batu Pahat itu bergiat menyampaikan ajaran difatwakan haram itu secara berpindah-randah di beberapa negeri sebelum menyebarkannya di Melaka sejak 10 bulan lalu.

    “Hasil siasatan mendapati, suspek menjalankan kegiatan itu bersama pengikutnya dengan melakukan pemujaan menggunakan telur ayam, susu lembu, pulut kuning yang di alas dengan kain merah untuk dipersembahkan kepada makhluk halus.

    “Difahamkan, lafaz syahadah yang mereka amalkan juga berbeza.

    “Daripada maklumat yang kami perolehi, seramai 20 orang pengikut akan terlibat secara langsung dalam upacara tertentu dan beberapa amalan seperti puasa pemutih dan mandi suci turut dilakukan oleh kumpulan ini.

    “Lelaki itu juga mengakui bahawa dia adalah Imam Mahdi dan Sultan Mahmud dalam kalangan pengikutnya,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di pejabat JAIM, Bukit Palah di sini hari ini.

    Rahimin berkata, beberapa barangan serta peralatan yang digunakan untuk kegiatan ajaran tersebut turut disita serta dimusnahkan oleh JAIM.

    Katanya, antara yang dirampas adalah buku-buku catatan yang tertera bahawa keseluruhan anggota badan merupakan ‘lembaga Muhammad’, dua pil perangsang seks, barangan pemujaan dan keris lama.

    “Barangan yang dimusnahkan ialah tiga pasang pakaian yang dipercayai digunakan untuk acara pertabalan dan pemujaan, botol-botol air tertera nama-nama nabi tertentu serta botol air yang dibalut dengan kain kuning tertera nama Sultan Mahmud pertama,” ujarnya.

    Kata Rahimin, rumah yang didiami oleh empat keluarga termasuk suspek dan isterinya itu turut mempunyai sebuah bilik yang dipercayai digunakan untuk aktiviti pemujaan dan sebuah bilik khas yang dipanggil bilik ratu.

    Tambahnya, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 60 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka kerana menyebarkan ajaran salah yang memperuntukkan denda RM5,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya.

    “Siasatan turut dilakukan mengikut Seksyen 61 enakmen sama kerana mempersendakan Islam serta Seksyen 48 kerana melakukan penerbitan agama bertentangan dengan syarak.

    “Suspek telah ditahan reman tiga hari sejak Isnin lalu, manakala isterinya yang merupakan warga Singapura diserahkan kepada Jabatan Imigresen negeri kerana didapati tinggal di negara ini tanpa visa sejak dua tahun lalu,” ujar beliau.

    Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140918/dn_11/JAIM-tahan-ketua-ajaran-sesat-sita-barangan-pemujaan