Tag: Jamiyah

  • Puan Halimah Yacob Menerima Surat Tahniah Dari Presiden Jamiyah

    Puan Halimah Yacob Menerima Surat Tahniah Dari Presiden Jamiyah

    Setinggi-tinggi tahniah buat Puan Halimah Yacob yang dipilih menjadi Presiden negara ini, demikian dinyatakan Jamiyah dalam satu surat yang dikirimkan kepada beliau hari ini (15 Sep).

    “Anda membuat semua rakyat Singapura bangga kerana menjadi Presiden wanita pertama dalam sejarah negara ini,” menurut surat itu yang ditulis Presiden Jamiyah Dr Mohd Hasbi Abu Bakar bagi pihak badan itu.

    Menurut surat itu lagi, pengalaman luas yang dibawa Puan Halimah ke pejabat Presiden akan memberi manfaat kepada beliau dalam melaksanakan tanggungjawabnya sebagai Presiden negara ini.

    “Moga Allah SWT melimpahkan kurnia dan rahmatNya bagi anda mencapai misi mulia anda,” tulis Dr Mohd Hasbi.

     

    Source: http://berita.mediacorp.sg

  • Jamiyah Buka Studio Terbit Bahan Media Untuk Internet

    Jamiyah Buka Studio Terbit Bahan Media Untuk Internet

    Bangunan Jamiyah yang berusia hampir 20 tahun di Lorong 12 Geylang, kini turut menempatkan sebuah studio kecil lengkap dengan peralatan moden.

    Dengan pelaburan sebanyak $100,000, studio itu dilengkapi dengan kemudahan seperti bilik rakaman, kamera dron dan ‘skrin hijau’ sebagai latar belakang untuk kesan khas dalam video.

    Studio yang baru siap pada April lalu itu akan digunakan untuk menghasilkan video dan rakaman audio berkualiti.

    Sebagai contoh, Jamiyah akan mengundang pakar dalam bidang tertentu seperti kesihatan, agama dan guaman untuk memberi ceramah.

    Video klip ceramah singkat itu kemudian akan dimuat naik dalam talian bagi tatapan ramai.

    Kemudahan baru itu ialah satu cara meluaskan pendekatannya kepada orang ramai, kata Presiden Jamiyah, Dr Mohd Hasbi Abu Bakar.

    “Hari ini, banyak program Jamiyah, seperti kelas pendidikan, tidak dapat berkembang kerana keterbatasan ruang.

    “Tetapi di Internet, ruang fizikal tidak menjadi isu. Kami ingin luaskan pendekatan kami menerusi Internet,” ujarnya dalam satu wawancara dengan Berita Harian baru-baru ini.

    Beliau berkata Jamiyah pertama kali mendapat idea menghasilkan studio itu semasa mengadakan lawatan ke sebuah pertubuhan di Istanbul, Turkey, pada 1990-an, yang mempunyai studio penyiaran dan medianya sendiri.

    Dengan kemajuan teknologi sekarang, kos penyiaran telah merosot dan membolehkan Jamiyah menubuhkan studionya sendiri, kata Dr Hasbi.

    Jamiyah mula merancang bagi studio itu tahun lalu.

    Pada 19 Mei lalu, akhbar ini melaporkan pelakon dan penulis drama komedi Husin Saaban akan bertugas sebagai pegawai komunikasi kreatif di Jamiyah bermula 2 Jun ini.

    Encik Hussin memberitahu Berita Harian bahawa beliau akan memanfaatkan studio di tingkat empat bangunan Jamiyah di Lorong 12 Geylang itu untuk kerja-kerja produksi dan penganjuran acara dalam tugas barunya itu.

    SENTIASA BERUSAHA MANFAAT TEKNOLOGI

    Satu lagi contoh bagi badan berusia 83 tahun itu memanfaatkan teknologi ialah klinik guaman sivil dan syariah yang dilancarkan dalam talian tahun lalu.

    Dinamakan iCounsel, klinik guaman dalam talian itu diperkenalkan bagi memenuhi permintaan masyarakat bagi khidmat guaman percuma yang meningkat.

    Golongan yang memerlukan khidmat guaman percuma boleh mendapatkan khidmat tersebut dengan membuat panggilan video dengan peguam dalam talian.

    Jamiyah bekerjasama dengan Persatuan Rakyat (PA) untuk menyediakan kemudahan komputer di Kelab Masyarakat Kaki Bukit dan Kelab Masyarakat Eunos bagi penduduk yang tidak mempunyai kemudahan komputer di rumah.

    Ini sebagai tambahan kepada sesi klinik guaman lain yang diadakan secara bersemuka di bangunan Jamiyah.

    Buat masa ini, peguam sukarela menawarkan khidmat pro bono itu masih menawarkan khidmat tersebut di Jamiyah.

    “Tetapi, idea bagi iCounsel ini agar peguam boleh memberikan khidmat itu di mana-mana sahaja.

    “Dengan ini, kami berharap untuk menarik lebih ramai peguam menyumbang tenaga bersama kami,” ujar Dr Hasbi.

     

    Source: http://beritaharian.sg