Tag: Noraini Yunus

  • Calon Reform Party, Noraini Yunus, Utarakan Isu COE Mahal Dan Usahanya Untuk Lanjutkan Pengkhidmatan Pengangkutan Awam

    Calon Reform Party, Noraini Yunus, Utarakan Isu COE Mahal Dan Usahanya Untuk Lanjutkan Pengkhidmatan Pengangkutan Awam

    Calon Parti Reform (RP), Cik Noraini Yunus, mengutarakan isu harga Sijil Hak Memiliki (COE) kenderaan yang mahal, serta usahanya untuk mendapatkan lanjutan khidmat pengangkutan awam.

    Beliau, yang bertanding di GRC West Coast, berkata demikian semasa berucap di rapat pilihan raya di West Coast Walk malam ini.

    “Pengangkutan awam juga tidak beroperasi selama 24 jam. Saya pernah berusaha untuk mendapatkan lanjutan tempoh untuk dapatkan khidmat bas atau MRT, tapi dikatakan tak ada penumpang.

    “Jadi mereka menolak cadangan saya untuk dapatkan khidmat 24 jam seperti di negara-negara maju di Boston dan sebagainya, di Amerika,” ujar Cik Noraini.

    Source: http://berita.mediacorp.sg

  • Noraini Yunus Diumum Antara Calon Reform Party Di West Coast GRC

    Noraini Yunus Diumum Antara Calon Reform Party Di West Coast GRC

    Parti Reform (RP) hari ini mengumumkan senarai calonnya untuk Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) West Coast dan Kawasan Undi Perseorangan (SMC) Radin Mas bagi Pilihan Raya Umum akan datang.

    Pasukan empat anggota RP yang akan bertanding di GRC itu termasuk calon Melayu/Islam, Cik Noraini Yunus, 47 tahun, eksekutif perkhidmatan pelanggan yang juga bekas anggota Parti Perpaduan Nasional (NSP) dan Parti Progresif Demokratik (DPP).

    Barisan calon RP untuk GRC West Coast dan SMC Radin Mas. (Gambar: Elizabeth Goh)

    Pasukan tersebut diterajui ketua parti, Encik Kenneth Jeyaretnam, 56 tahun, ahli politik sepenuh masa, dan turut disertai Encik Andy Zhu, 32 tahun, ejen hartanah dan pengerusi parti; serta Encik Darren Soh, 45 tahun, yang juga seorang ejen hartanah.

    Anggota RP, Kumar Appavoo, 46 tahun, pula akan bertanding di SMC Radin Mas. Encik Appavoo, pengarah syarikat gas dan minyak, ialah sebahagian daripada pasukan RP yang bertanding di GRC West Coast pada 2011.

    MAHU TUMPUKAN PADA ISU-ISU MELAYU

    Dalam sidang media pagi tadi, Cik Noraini berkata tumpuannya ialah isu-isu yang dihadapi masyarakat Melayu/Islam. Beliau juga melahirkan harapan untuk menjadi Anggota Parlimen pembangkang wanita Melayu pertama di Parlimen, dan mahu mengetengahkan isu-isu peka.

    “Saya datang daripada keluarga Melayu, keluarga berkolar biru, dan dulu saya menyertai ayah saya di lawatan-lawatan bertemu penduduk semasa beliau menyertai Barisan Sosialis (parti politik Singapura yang sudah dibubarkan),” ujar beliau.

    Mengenai langkahnya melompat parti dari NSP ke DPP dan kini RP, Cik Noraini berkata: “Jika anda melihat saya berpindah dari satu parti ke parti yang lain, ia adalah kerana saya percaya kita boleh berkhidmat di bawah parti-parti berlainan.” Beliau menyifatkan langkahnya ‘lompat parti’ itu sebagai satu “kembara” yang semula jadi.

    Cik Noraini menambah bahawa “ramai orang takutkan sekularisme, sedangkan Singapura adalah satu negara sekularisme, dan dengan itu banyak lagi perkara seperti pelajaran, matematik dan sebagainya, mereka takuti, mereka fobia. “

    “Jadi saya tetap tidak berganjak dengan prinsip saya untuk menegakkan sekularisme yang tidak menakutkan, yang tidak memomokkan sesiapa tapi dapat membantu kita maju bersama-sama masyarakat lain.”

    JEYARETNAM: AKAN DESAK PERUBAHAN PADA DASAR-DASAR PAP

    Encik Jeyaretnam pula berkata jika dilantik, beliau akan mendesak supaya beberapa perubahan dilakukan pada dasar-dasar yang dilaksanakan Parti Tindakan Rakyat (PAP). Beliau memberi contoh pelan kebangsaan bernilai $3 bilion untuk membantu warga emas kekal aktif, yang diumumkan semalam.

    “Ia akan dilaksanakan sepanjang 5 tahun, jadi ia bernilai kurang S$600 juta setahun. Kami mahu memastikan pencen untuk usia lanjut disediakan kepada semua warga emas setiap bulan – $500 sebulan, iaitu sejumlah $3 bilion setahun,” ujar beliau.

    RP, katanya, akan turut menyarankan agar batas ditetapkan pada jumlah pekerja asing yang masuk ke Singapura.

    “Kami tidak rasa sistem pekerja asing sekarang ini memberikan manfaat. Gaji boleh sahaja dikurangkan, sementera pemerintah masih menggalak firma-firma di sini untuk menggantikan pekerja Singapura dengan pekerja asing. Kami ingin menghentikannya,” kata Encik Jeyaretnam.

    Kata beliau, manifesto penuh partinya masih sedang diusahakan dan akan dikeluarkan tidak lama lagi.

    Pada pilihan raya 2011, pasukan PAP menang GRC West Coast dan menewaskan pasukan RP yang diterajui Encik Jeyaretnam dengan memperolehi 66.57 peratus undi.

    PAP sudah mengumumkan barisan calonnya yang akan bertanding di GRC itu, iaitu Encik Lim Hng Kiang, Cik Foo Mee Har, Encik S Iswaran dan Encik Patrick Tay.

    Dalam pilihan raya lalu, calon PAP, Sam Tan juga memenangi SMC Radin Mas dengan memperolehi 67.1 peratus undi dan menewaskan calon NSP, Yip Yew Weng. PAP sudah mengumumkan bahawa Encik Tan akan mempertahankan kerusi parlimennya dalam Pilihan Raya Umum pada 11 September ini.

    Source: http://berita.mediacorp.sg