Tag: Palestin

  • Penduduk Palestin Kembali Beribadah Di Masjid Al-Aqsa Selepas Dua Minggu

    Penduduk Palestin Kembali Beribadah Di Masjid Al-Aqsa Selepas Dua Minggu

    Warga Paelstin boleh beribadah di Masjid Al-Aqsa pada tengah hari ini (27 Jul) buat pertama kalinya dalam masa hampir dua minggu, menurut pihak berkuasa Palestin.

    Ini setelah Israel menarik balik langkah-langkah keselamatan terbaru yang dikenakannya.

    “Pihak berkuasa Islam di Baitulmakdis mengajak warga Palestin untuk ke Masjid Al-Aqsa bagi menunaikan solat Zuhur,” kata seorang pegawai Waqf, pihak berkuasa Islam yang mengendalikan masjid berkenaan kepada para wartawan AFP.

    Menurut laporan Reuters, Israel memasang pengesan logam, kamera dan mengambil langkah-langkah keselamatan lain menyusuli satu serangan pada 14 Julai yang mana dua orang pegawai polis ditembak mati.

    Menyusuli langkah-langkah Israel itu, tunjuk perasaan yang ganas pula berlaku.

    “Laporan teknikal menunjukkan semua penghadang diletakkan Israel di luar Masjid Al-Aqsa ditanggalkan,” ujar ketua Waqf Abdel-Azeem Salhab.

    “Kami memuji perpaduan yang ditunjukkan semasa dua minggu ini di luar Al-Aqsa dan kami mahu perpaduan itu diteruskan di luar dan kini di dalam Al-Aqsa,” tambahnya yang menggesa para jemaah untuk kembali beribadah di masjid tersebut.

     

    Source: http://berita.mediacorp.sg

  • OIC Gesa Haramkan Produk Buatan Israel, Ikrar Sokongan Penuh

    OIC Gesa Haramkan Produk Buatan Israel, Ikrar Sokongan Penuh

    INDONESIA: Sebuah badan Islam global semalam (7 Mac) menggesa agar produk-produk yang datang dari Israel dan wilayah-wilayah yang didudukinya diharamkan dan berikrar akan memberi sokongan penuh kepada “hak-hak warga Palestin yang tidak terpisah”.

    Gesaan itu disuarakan di akhir Sidang Puncak Pertubuhan Muktamar Islam (OIC) yang diadakan di Indonesia, negara yang majoriti penduduknya beragama Islam, yang menghimpunkan para wakil dari 57 buah negara.

    OIC menyarankan agar, “negara-negara anggota dan masyarakat antarabangsa mengharamkan produk-produk yang dihasilkan di dalam atau di wilayah-wilayah ditakluki Israel yang tidak sah daripada pasaran mereka”.

    Meskipun begitu, negara-negara anggota tidak terikat dengan langkah tersebut.

    Penempatan merujuk kepada masyarakat Yahudi yang tinggal dalam kawasan yang diduduki Israel sejak tahun 1967.

    Penempatan sedemikian adalah tidak sah di bawah undang-undang antarabangsa dan juga merupakan hambatan kepada usaha perdamaian, dengan mereka di Tebing Barat dan Timur Baitul Maqdis menduduki tanah yang dilihat sebagai sebahagian daripada negara orang-orang Palestin pada masa akan datang.

    Sebelum ini, isu barangan import dari penempatan Israel menimbulkan ketegangan.

    Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu menggantung hubungan diplomatik dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada bulan November lalu berhubung proses damai Timur Tengah – yang sudah tergendala hampir dua tahun – berkaitan keputusan PBB untuk melabel barangan import sebagai dari wilayah penempatan Israel berbanding ‘Buatan Israel”.

    Penggantungan itu dihentikan pada bulan lalu apabila Encik Netanyahu mengadakan rundingan dengan Ketua Dasar Asing Kesatuan Eropah (EU).

    Di akhir sidang puncak yang berlangsung semalam, OIC turut berikrar memberikan “sokongan penuh kepada usaha-usaha politik, diplomatik dan undang-undang” bagi memastikan rakyat Palestin meraih “hak-hak mereka yang tidak terpisah”.

    Sidang puncak di Jakarta itu dihadiri oleh para pemimpin termasuk Presiden Palestin Mahmud Abbas dan Presiden Sudan Omar al-Bashir, yang diburu oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa atas tuduhan jenayah perang.

    Sidang puncak itu juga diadakan di tengah-tengah keganasan selama lima bulan di wilayah Israel dan Palestin yang mengorbankan 181 rakyat Palestin serta 28 rakyat Israel.

    Rundingan damai Israel-Palestin juga terhenti pada bulan April 2014 dan sejak itu keadaan bertambah buruk sehingga tidak memungkinkan satu dialog yang baru.

    Source: http://berita.mediacorp.sg