Tag: Precaution

  • Kes Penculikan Di Manila: Rakyat Singapura Lebih Berwaspada Lakukan Lawatan Ke Filipina

    Kes Penculikan Di Manila: Rakyat Singapura Lebih Berwaspada Lakukan Lawatan Ke Filipina

    Susulan berita seorang wanita Singapura yang diselamatkan dari penculikan di kasino Manila, mereka yang sering ke ibu kota Filipina itu mengatakan akan lebih berjaga-jaga apabila ke sana.

    Cik Melissa Chong, 27 tahun, seorang pengurus program bersama badan bukan mencari keuntungan, pergi ke Manila tiga kali tahun ini, demi tugas.

    Terkejut dengan khabar tersebut, beliau berkata: “Susah untuk bayangkan ia berlaku di tempat di mana kawalan keselamatannya ketat, dengan pengawal di pintu masuk dan periksaan beg … saya rasa tidak senang hati (apabila dapat tahu insiden itu)”

    Walaupun beliau tidak akan menangguhkan lawatannya ke sana pada bulan September ini, Cik Chong kini aku berfikir dua kali apabila hendak keluar pada waktu malam. Beliau juga merancang untuk menggunakan khidmat Uber kerana lebih mudah untuk menjejaki perjalanannya dengan membuat tempahan menggunakan aplikasi telefon bijak.

    Beberapa rakyat Singapura yang ditemui juga memberitahu Mediacorp mereka sememangnya berwaspada akan keselamatan diri ketika melancong ke Filipina.

    Encik Justin Kor, 25 tahun, siswazah baru Universiti Teknologi Nanyang, berkata semasa di Filipina Disember lalu, beliau lebih risau mengenai penyeluk saku daripada jenayah yang lebih berat. Apabila beliau ke kawasan setinggan Manila, Justin diberitahu untuk meninggalkan tempat tersebut sebelum matahari terbenam.

    “Saya yakin bahawa kehadiran polis akan (dipertingkat bagi menangani) kes-kes sedemikian.. tetapi saya akan lebih berjaga-jaga (apabila saya ke sana lagi),” katanya.

    Semalam, Polis Negara Filipina mengeluarkan kenyataan mengenai penculikan rakyat Singapura, Wu Yan yang berusia 48 tahun.
    Wanita tersebut berada di Solaire Resorts and Casino pada hari Isnin apabila berkawan dengan dua warga Malaysia yang mengajaknya ke sebuah lagi kasino di City of Dreams Manila.

    Sekitar 9.45 malam, suspek-suspek berkenaan menculik dan menahannya sebagai tebusan di sebuah bilik di Bayview International Condominium.

    Mereka juga menuntut wang tebusan US$180,000 (S$246,200).

    Wu berjaya diselamatkan keesokan harinya.

    Dua warga Malaysia bersama 41 lagi warga China diberkas, disyaki terbabit dalam sindiket tailong.

    Agensi-agensi pelancongan yang dihubungi Mediacorp, seperti Chan Brothers Travel, mengatakan pihaknya tidak menerima pemohonan untuk membatalkan tempahan ke Filipina.

    Pengarah Fascinating Holidays,Encik David Teo, 59 tahun, menganggarkan kemerosotan 10 hingga 15 peratus tempahan ke Manila. Namun demikian, beliau berkata para pelanggan selalunya lebih “berhati-hati” pada minggu-minggu pertama insiden sedemikian dan lupakannya selepas beberapa bulan.

    Jurucakap SA Tours menasihati para pelancong: “Jangan ikut orang yang tidak dikenali atau mudah percaya mereka yang menawarkan khidmat yang terlalu baik daripada yang biasa ditawarkan .. selalu berwaspada, bertindak bijak dan berhati-hati.”

     

    Source: http://berita.mediacorp.sg

  • Awas, Elakkan Letak Gambar Anak Sebagai Gambar Profil WhatsApp

    Awas, Elakkan Letak Gambar Anak Sebagai Gambar Profil WhatsApp

    Orang ramai disaran supaya tidak menjadikan gambar keluarga terutama anak-anak mereka sebagai gambar profil pada aplikasi WhatsApp kerana ia boleh mengundang risiko keselamatan.

    Penolong Pesuruhjaya Perlindungan Data Peribadi, Jabatan Perlindungan Data Peribadi Mohd Shazrol Mohd Shah berkata adalah dibimbangi pihak yang berniat jahat mengakses gambar itu seterusnya mengecam wajah anak-anak pemilik nombor telefon.

    “Gambar profil WhatsApp bertujuan mungkin untuk mengenal pasti kawan-kawan cuma kita sarankan agar mereka meletakkan satu gambar yang elok untuk diri sendiri.

    “Kita jangan meletakkan gambar anak atau gambar orang lain kerana perkara ini boleh menyebabkan penjenayah dapat mengakses gambar tersebut sekali gus mencetuskan kejadian yang tidak diingini,” katanya.

    Encik Mohd Shazrol berkata demikian kepada Bernama selepas Sesi Perkongsian Maklumat Industri 2017 anjuran Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia sempena Hari Hak-Hak Pengguna Sedunia di Ipoh semalam (22 Mac).

    Encik Mohd Shazrol berkata tidak menjadi masalah sekiranya orang ramai tidak meletakkan gambar profil pada WhatsApp kerana aplikasi tersebut tetap boleh digunakan.

    Terdahulu, dalam taklimatnya Encik Mohd Shazrol menasihati ibu bapa supaya tidak meletakkan gambar anak-anak mereka dalam laman sosial termasuk Facebook kerana ia juga boleh mengundang risiko jenayah.

    “Penggunaan Facebook amat berisiko kerana walaupun gambar dalam akaun sudah dipadam, namun ia masih tersimpan di luar negara kerana data laman sosial itu diproses di luar negara,” katanya.

    Source: Beritamediacorp