Tag: tempat ketiga

  • Pelumba Petronas Raceline Malaysia Hafizh Syahrin Abdullah Duduki Tempat Ketiga Di GP San Marino

    Pelumba Petronas Raceline Malaysia Hafizh Syahrin Abdullah Duduki Tempat Ketiga Di GP San Marino

    Pelumba Moto2 dari Malaysia, Hafizh Syahrin Abdullah mempamerkan tunggangan cemerlang pada Ahad (10 Sep) dengan menamatkan perlumbaan di tempat ketiga dalam kategori Moto2 dalam Grand Prix San Marino di litar Misano, Itali.

    Pelumba Petronas Raceline Malaysia berusia 23 tahun itu mencatat masa 51 minit:47.584 saat dalam perlumbaan 26 pusingan dengan keadaan litar yang basah.

    Dua pelumba Switzerland, Dominique Aegerter daripada Kiefer Racing memenangi tempat pertama kategori itu dengan masa 51 minit:39.709 dan Thomas Luthi daripada CarXpert Interwetten, di tempat kedua dengan perbezaan masa 1.400 saat.

    Seorang lagi pelumba Malaysia, Khairul Idham Pawi daripada Idemitsu Honda Team Asia mencatatkan keputusan terbaiknya musim ini di tempat kesembilan daripada 16 pelumba selepas ketinggalan 1 minit:01.495 saat di belakang Aegeter.

    Dalam pada itu, Hafizh Syahrin bersyukur dengan kejayaannya meraih kedudukan podium buat kali kedua selepas kali terakhir meraih tempat ketiga pada 2012 di Litar Antarabangsa Sepang.

    “Syukur ke hadrat Allah SWT di atas kejayaan ini. Terima kasih kepada kru teknikal yang bekerja keras pada minggu ini dan saya bawa kejayaan Malaysia muncul juara keseluruhan Sukan SEA 2017, baru-baru ini ke dalam perlumbaan.

    Saya buktikan saya mampu meraih kejayaan seperti atlit negara yang lain. Terima kasih kepada keluarga, peminat dan kawan-kawan saya serta pengurus saya yang banyak memberi sokongan kepada saya selama ini,” kata anak jati Selangor itu kepada Bernama menerusi aplikasi WhatsApp.

    Kejayaannya semalam (10 Sep) membolehkan Hafizh Syahrin mengutip 16 mata untuk berada di tangga ke-10 keseluruhan dalam kategori Moto2 dengan kutipan 66 mata selepas 13 pusingan perlumbaan musim ini.

     

    Source: http://berita.mediacorp.sg

  • Qariah S’pura, A’tii Qah Suhaimi, Duduki Tempat Ke-3 Di Majlis Tilawah Al-Quran Antarabangsa

    Qariah S’pura, A’tii Qah Suhaimi, Duduki Tempat Ke-3 Di Majlis Tilawah Al-Quran Antarabangsa

    Seorang Qariah Singapura berjaya meraih tempat ketiga dalam Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-59 di Kuala Lumpur, malam Sabtu (20 Mei).

    Ahli seni khat, A’tii Qah Suhaimi mengumpul markah amat dekat dengan pemenang tempat kedua, dari Brunei.

    Johan Qariah ialah peserta Malaysia.

    Ini kali kedua A’tii Qah menyertai Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, JAKIM.

    Kali terakhir pada tahun 2009, apabila beliau yang waktu itu pelajar tahun akhir pra-universiti di Madrasah Aljunied al-Islamiah, dan mendapat tempat kelima.

    A’tii Qah yang kini penolong mudirah di sebuah sekolah pendidikan khat, perlu mengatasi masalah Sinusitis yang sering menimbulkan masalah di ruang berhawa dingin.

    Hasilnya, beliau bejaya mendapat 86.01% mata, berbanding pemenang tempat kedua yang mendapat 86.63% mata.

    “Waktu pertandingan itu sendiri, saya memang dan sediakan, bawa air di tepi, takut kalau tersedak kah, sebab Sinusitis turut menjejas tekak juga. Lepas itu saya sediakan tisu juga, tapi bila sudah di atas pentas, semua tak ada masalah, jadi lebih fokus pada bacaan sahaja,” ujar beliau.

    Dengan kemenangan ini, A’tii Qah membawa pulang wang tunai RM20,000 (S$6,400) beserta beberapa buah tangan.

    Beliau menambah: “Rancangan saya pada masa depan, insya-Allah akan fokus pada dua perkara. Yang pertama saya akan dengar semula rakaman bacaan saya dan mengenal pasti apa kelemahan-kelemahan saya, insya-Allah akan cuba memperbaiki kekurangan tersebut. Dan akan mendalami lagi ilmu tarannum Al-Quran dan ilmu Al-Quran itu sendiri.

    “Dan fokus kedua pula adalah untuk masyarakat Islam kita, insya-Allah saya ada rancang untuk sebarkan ilmu ini dari segi mengajar dan membimbing orang perlahan-lahan, sebab saya tahu ramai yang masyarakat Islam kita ini sebenarnya berbakat dan mempunyai bakat yang luar biasa, jadi kita kena mendekati orang-orang seperti ini untuk menjadi pelapis masa akan datang insyaAllah.”

    Majlis Tilawah ke-59 itu dimenangi Qari dari Iran, dan qariah dari Malaysia, yang masing-masing membawa pulang hadiah kepingan emas bernilai RM70,000 (S$22,450), wang tunai RM40,000 (S$12,830) dan piala iringan.

    Source: http://berita.mediacorp.sg