Tag: usahawan

  • Sembang-Sembang Bersama Pemilik Fluff Bakery

    Sembang-Sembang Bersama Pemilik Fluff Bakery

    Nama Fluff Bakery yang terkenal dengan kek cawan atau cupcake telah pun dikenali di Singapura dan Kuala Lumpur. Tetapi, profil usahawan muda di sebalik Fluff Bakery masih belum diketahui ramai. Yok bersembang bersama Nursyazanna Syaira Md Suhimi mengenai perniagaannya.

    Soalan 1: Di manakah Fluff Bakery akan berada pada 10 tahun akan datang?

    Syaira: Saya berharap Fluff dapat menjadi satu jenama dalam rantau ini. Saya ingin juga memasuki sekolah pastri dan kembali dengan ciptaan yang lebih besar dan baik untuk mempertingkatkan mutu pencuci mulut masyarakat ini.

    Soalan 2: Sudah pasti Syaira dan suami (Mohammad Ashraf Mohammad Alami) sibuk dengan tugasan di Fluff Bakery. Jadi apakah kegiatan yang Syaira dan suami suka melakukan bersama?

    Syaira: Kami kaki makan! Dan kami suka mencari tempat yang baik untuk makan. Kami juga bersama-sama akan cuba melakukan perkara yang menarik seperti sukan terjun udara. Ia seperti satu waktu rehat daripada bekerja dan memberi kami peluang untuk menumpukan kepada perkara yang paling penting – iaitu membuat kenangan bersama.

    Soalan 3: Apakah reaksi keluarga apabila mendapat tahu Syaira ingin membuat kek sebagai pekerjaan tetap?

    Syaira: Ibu bapa saya melalui segalanya supaya saya mendapat pendidikan terbaik. Mereka terpaksa menanggung hutang kad kredit dan ibu juga terpaksa menggadaikan barang kemas beliau supaya saya dapat ke universiti. Jadi secara semula jadi apabila mereka mendapat tahu, saya berdepan dengan tentangan dan rasa tidak senang hati daripada mereka. Namun akhirnya, saya rasa mereka hanya mahu saya rasa gembira dan apabila mereka melihat saya sangat gembira membuat kek, mereka memberi sokongan sepenuhnya kepada saya. Saya hanya boleh berharap saya dapat dan terus membanggakan mereka.

    Soalan 4: Jika anda tidak membuka Fluff Bakery, apakah pekerjaan anda sekarang?

    Syaira: Mungkin saya masih dalam dunia perhubungan awam (PR) kerana itulah pekerjaan pertama saya dan satu-satunya perkara yang saya rasa saya boleh menjadikan sebagai satu kerjaya.

    Soalan 5: Pelajaran atau mengejar impian membuka kedai. Mana satu nasihat Syaira kepada anak muda kita?

    Syaira: Saya nasihat agar dapatkan pendidikan sebanyak mungkin sebelum terjun ke alam perniagaan. Atau mungkin buat perniagaan secara sambilan semasa belajar kerana tiada siapa dapat merampas pendidikan anda.

     

    Source: Berita Mediacorp

  • 2 Perusahaan Milik Anak Melayu Singapura Dinobat Usahawan Sosial Dunia

    2 Perusahaan Milik Anak Melayu Singapura Dinobat Usahawan Sosial Dunia

    Dua perusahaan sosial anak Melayu berjaya mengatasi 42 pasukan dari 15 negara untuk meraih hadiah wang tunai $40,000.

    Pasukan PsychKick dan Nomad di kalangan enam pasukan pemenang acara Usahawan Sosial Muda (YSE) anjuran Yayasan Antarabangsa Singapura (SIF) siang tadi (21 Okt).

    MASALAH SENDIRI JADI ILHAM TANGANI MASALAH PESAKIT LAIN

    Setahun lalu, Nurul Syafiqah, pelajar La Salle, 23 tahun, mengalami masalah kemurungan dan dimasukkan ke ward psikoterapi. Melalui pengalaman itu, beliau melihat sendiri kekurangan dari segi sistem rawatan yang diberi kepada pesakit. Ini memberi beliau ilham untuk menolong pesakit yang mengalami masalah sepertinya.

    Bersama dua lagi rakan beliau Sayid Hafiz dan Zachary, mereka memulakan PsychKick April tahun lalu.


    Kumpulan tiga sekawan ini menghasilkan sebuah aplikasi untuk membantu ahli psikoterapi memantau dan berhubung lebih rapat dengan pesakit mereka, sekali gus meningkatkan keberkesanan program rawatan dan mempercepat proses pemulihan.

    Mengulas tentang dana yang dimenangi, Nurul Shafiqah berkata, “Kita mahu menggunakan wang itu untuk operasi dan mbangunkan produk kami. Kami juga mahu habiskan aplikasi kami yang sedang kami buat.”

    Kini sedang diuji, PsychKick berharap untuk melancarkan ujian perintis apps itu hujung tahun ini. Syafiqah berharap setelah dilancarkan, aplikasi ini dapat menolong pesakit bukan sahaja di Singapura tetapi di luar negara.

    TEKAD TOLONG KANAK-KANAK SEDUNIA HASIL PENGALAMAN MERANTAU

    Muhammad Haziq Mohd Rashid dan Mohd Nasrul Rohmat, kedua-duanya pelajar sepenuh masa di Universiti Teknologi Nanyang (NTU), mendapat ilham di Jaisalmer, India, di mana kemahiran menghasilkan kraftangan kulit adalah kemahiran turun temurun penduduk di sana.

    Di kawasan berhampiran juga, mereka ketemui sebuah daerah perkampungan di mana ramai keluarga tidak mampu menghantar anak-anak mereka ke sekolah dek kemiskinan. Sekolah di kampung itu juga dalam keadaan serba kedaifan dan memerlukan kerja-kerja naik taraf.

    Dengan memanfaatkan bakat penduduk di situ, kedua-dua sepupu ini memasarkan barangan kulit berkualiti tinggi dan mesra alam dari Jaisalmer ke pasaran sejagat.

    Ini memberi mereka pendapatan tetap.

    Keuntungan selebihnya pula disalurkan bagi kerja-kerja naik taraf sekolah dan membiaya lebih 100 kanak-kanak di sekolah tersebut.

    NOMAD kini sedang meneroka pelbagai wadah untuk memperluaskan pasarannya dan meningkatkan penjualan beg-beg tersebut. Buat jangka masa panjang, NOMAD berharap untuk menolong masyarakat-masyarakat miskin di negara Asia lain.

  • Hjh Maimunah Restaurant & Catering Pte Ltd Terus Berkembang

    Hjh Maimunah Restaurant & Catering Pte Ltd Terus Berkembang

    ADA yang mengatakan restoran Hajah Maimunah diambil alih usahawan Cina. Ada pula yang kata ia bakal ditutup.

    Namun pada hakikatnya, Hajah Maimunah Restaurant & Catering Pte Ltd masih bertahan walaupun menghadapi saingan dan kos yang meningkat.

    Pemiliknya, Cik Mahiran Abdul Rahman, 49 tahun, ketika menjelaskan kedudukannya berkata:

    “Semua khabar angin itu tidak benar. Mungkin ia tersebar ketika saya menggajikan seorang penyelia restoran berbangsa Cina baru-baru ini.

    “Mungkin ada yang menyangka ia telah diambil alih usahawan Cina. Atau mungkin ketika kami mengambil sijil halal Muis. Ketika itu ramai menganggap restoran kami telah diambil alih usahawan Cina.

    “Mereka mempersoalkan restoran Melayu memerlukan sijil halal sedangkan ini antara strategi kami meluaskan perniagaan.”

    Malah, desas-desus mengenai restoran itu telah lama tersebar.

    Anak Cik Mahiran yang juga Pengurus Besar restoran tersebut, Cik Masturah Didih, 28 tahun, turut menyangkal khabar angin itu.

    “Sebenarnya, kami merancang meluaskan sayap membuka sebuah lagi cawangan di kawasan ramai penduduk Melayu. Ia mungkin di Punggol, Woodlands atau Jurong.

    “Kami masih membuat kajian dan mencari lokasi terbaik untuk membuka cawangan terbaru.”

    Menurut Cik Mahiran lagi, mungkin khabar-khabar angin itu tersebar apabila beliau mula dilihat menyepi daripada pengurusan restoran di Jalan Pisang dan Joo Chiat Road.

    “Sebenarnya saya dan suami dalam proses peralihan menyerahkan pengurusan restoran kepada anak-anak kami,” katanya.

    Cik Mahiran menambah, beliau dan suaminya, Encik Didih Ibrahim, 58 tahun, kini giat menguruskan sebuah resort di Puncak, Bogor, Indonesia, iaitu Villa Dlima.

    Resort di atas bukit itu menempatkan 10 vila lengkap dengan kolam renang untuk disewa dan telah beroperasi sejak tiga tahun lalu.

    Beliau dan suaminya, seorang warga Indonesia, turut menguruskan sebuah sekolah di Bogor, iaitu Darul Arham, yang kini mempunyai sekitar 450 pelajar menengah yang memberikan pendidikan sehingga prauniversiti madrasah dan sekular.

    Dari segi tempoh peralihan restoran itu, keluarganya menyasarkan sehingga Oktober depan bagi memberi masa sepenuhnya sebelum diambil alih oleh anak-anaknya.

    Selepas pengambilalihan itu, Cik Mahiran dan Encik Didih akan bertindak sebagai penasihat.

    Bagi memantapkan pengurusan restoran tersebut, anak-anaknya diberi pendidikan berkaitan. Cik Masturah memiliki ijazah dalam bidang sains pemakanan dan teknologi dari Universiti New South Wales (UNSW), Australia.

    Seorang lagi anaknya, Encik Ismail, 29 tahun, memiliki ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Universiti South Florida, Amerika Syarikat. Beliau dijangka memegang jawatan Pengurus Pemasaran dan Pembangunan Perniagaan restoran itu.

    Cik Maria, 27 tahun, pula lulusan bidang Usuluddin dari Universiti Malaya dan bertindak sebagai Pengurus Operasi.

    Encik Ibrahim, 25 tahun, pula adalah lulusan Universiti Royal Melbourne Institute of Technology (RMIT). Beliau kini membantu menguruskan resort Villa Dlima.

    Seorang lagi anaknya, Cik Maryam, masih menuntut di Politeknik Temasek.

    Cik Mahiran, ibu lima anak dan dua cucu, berkata:

    “Anak-anak saya akan berusaha mengembangkan perniagaan dan memastikan restoran Hajah Maimunah kekal relevan. Mereka akan menyesuaikannya mengikut perkembangan teknologi, trend semasa dan mengetahui semua aspek perniagaan. Ini termasuk mengembangkan khidmat katering untuk majlis-majlis dan perkahwinan.”

    Khidmat kateringnya juga menyumbang 20 peratus daripada hasil pendapatan syarikat.

    Anak-anaknya, tambah Cik Mahiran, akan memastikan dapur pusat – Hajah Maimunah Manufacturing – yang terletak di Bedok North dipertingkat sesuai dengan keadaan semasa.

    Usaha Cik Mahiran itu juga dilihat sebagai mewarisi usaha yang dibuat Allahyarhamha ibunya, Hajah Maimunah Haji Abdul Karim, seorang usahawan yang juga terkenal sebagai syekh haji satu masa dulu.

    “Restoran Hajah Maimunah telah wujud sekitar 25 tahun dan kami mahu ia kekal dari generasi ke generasi,” ujar Cik Mahiran.

    Menurut beliau lagi, kini pengurusan restoran tidak kurang mencabar untuk mendapatkan pekerja yang berkemahiran.

    “Pekerja biasa mudah dicari tetapi pekerja yang boleh memasak masakan tradisional Melayu amat sedikit. Kami perlu melatih mereka selama enam bulan untuk membolehkan mereka memasak dan ada kemahiran yang lain.

    “Apabila kami melatih seorang pekerja, kami juga mahu tiga atau empat pekerja lain turut tahu masakan yang sama agar mudah diurus.

    “Ini bertujuan memastikan restoran kami mampu bertahan dan terus berkembang. Saya akan terus melatih mereka dan tidak akan menunggu mereka berhenti kerja untuk melatihnya.”

    Syarikatnya kini mempunyai lebih 60 pekerja termasuk dari India dan Malaysia.

    Bagi memastikan pekerja setia dengan syarikatnya, beliau turut menyediakan asrama, pengangkutan, insurans dan perubatan yang dibayar sepenuhnya oleh syarikat.

    Ini tidak termasuk makanan yang boleh mereka makan di restoran dengan percuma.

    Tidak hairanlah jika ada di antara pekerjanya mampu bertahan bekerja dengannya selama lebih 10 tahun.

    Dalam masa yang sama, beliau juga akur bahawa agak sukar mendapatkan bekalan makanan kampung seperti pucuk paku dan ulam-ulaman sehingga memaksa beliau memilih Indonesia dan Thailand sebagai sumber bekalan alternatif.

    Malah, beliau yakin restorannya mampu bertahan kerana tiga unit di Jalan Pisang telah dibeli walau cawangannya di Joo Chiat masih disewa.

    Beliau turut melihat potensi masakan tradisional Melayu kerana restorannya turut dikunjungi para pelancong terutama dari Indonesia, Malaysia dan Brunei untuk menikmati lebih 40 jenis hidangan seperti lemak siput, tahu telur, rendang daging dan kuih- muih.

    “Anak-anak sayalah yang akan melihat potensi dan trend ini untuk meneruskan kesinambungan restoran Hajah Maimunah,” ujar Cik Mahiran.

     

    Source: http://beritaharian.sg