Tag: Valet Doa

  • Komentar: Apabila Agama Dijadikan Komoditi

    Komentar: Apabila Agama Dijadikan Komoditi

    Fenomena perniagaan mempergunakan agama yang semakin ketara sejak kebelakangan ini telah mengundang perdebatan hangat di kalangan sebahagian masyarakat Melayu/Islam. Meskipun ada yang menuduh para pengusaha bisnes sedemikian sebagai sekadar “penjual agama”, apa yang lebih penting ialah memahami mengapa fenomena ini berlaku. Pelajar pos-siswazah Nurul Fadiah Johari berkongsi tentang faktor-faktor di sebalik gejala ini dan kesan-kesannya terhadap masyarakat Melayu/Islam, serta apa yang dapat dilakukan untuk menghadapinya dengan berhemah:

    (Gambar: Valet Doa/ Facebook)

    Fenomena Valet Doa, yang kita saksikan baru-baru ini, telah menggemparkan ramai orang, terutama di ruang-ruang media sosial. Ramai yang membantah, malah meluahkan kritikan-kritikan tertentu tentang produk ini. Pengasas Valet Doa dituduh sebagai “penjual agama” dan sebagainya, dan ramai pula yang mengatakan bahawa ini merupakan salah satu tanda akhir zaman.

    Ada juga laporan baru-baru ini mengenai kelas mengaji al-Quran yang diajar dalam pesawat privet yang berharga sehingga AS$7,500 (S$10,600) sejam. Bukan ini sahaja, terdapat juga contoh-contoh lain yang amat aneh, seperti ayam yang dibela dalam gelombang al-Quran dan sebagainya.

    Walaupun sesetengah kritikan ini adalah munasabah (kerana sememangnya menjual-beli agama demi keuntungan diri itu tidak bermoral), apa yang lebih penting adalah pemahaman atas mengapa fenomena ini berlaku. Tanpa sebarang analisis terhadap fenomena ini, kita tidak akan mampu mengkritik fenomena ini secara berkesan, dan justeru akan terus menyumbang kepada perkembangannya yang berleluasa.

    SIMPTOM MASALAH

    Malah contoh-contoh yang diberikan di atas, menurut saya hanya berupa simptom sebuah masalah yang lebih mendalam. Sebenarnya, konsumsi produk-produk keagamaan sudah menjadi suatu perkara yang lumrah dalam masyarakat kapitalis kita.

    Malah, budaya konsumeris sedemikian sudah dianggap sebagai satu kebiasaan kerana masyarakat Islam semakin menyesuaikan diri dengan arus kemodenan dan globalisasi yang berlandaskan sistem ekonomi pasaran bebas (free market economy).

    Lihat saja bufet-bufet untuk berbuka puasa di hotel-hotel mewah, atau tudung-tudung berjenama eksklusif yang mahal, mahupun seminar atau forum agama yang diadakan di kapal persiaran atau hotel mewah. Ini semua termasuk dalam fenomena yang semakin meluas ini. Justeru, apa yang diperlukan sekarang adalah pemahaman dan analisa yang kritis tentang fenomena ini.

    Dalam pandangan saya, terdapat dua faktor penting yang menyumbang kepada fenomena ini, iaitu perkembangan sistem kapitalisme di negara-negara majoriti Islam serta kebangkitan Islam atau Islamisasi.

    Apa yang dapat kita saksikan di sini adalah sebenarnya fenomena komodifikasi agama, di mana simbol-simbol, ritual dan amalan keagamaan dijadikan sebagai sebuah produk atau komoditi yang dapat dijual-beli dengan harga yang ditetapkan.

    Fenomena ini telah berkembang di rantau Asia Tenggara semenjak ia melalui proses pemodenan dan pembangunan ekonomi di zaman pasca-kemerdekaan. Agama Islam bukanlah satu-satunya agama yang dilanda arus komodifikasi ini. Namun, apa yang ketara ialah bahawa perkembangan ekonomi di negara-negara majoriti Muslim berlaku seiringan dengan kebangkitan Islam atau Islamisasi.

    Umat Islam bersolat jemaah di masjid. (Gambar: SAEED KHAN / AFP)

    ISLAM KELAS PERTENGAHAN

    Proses Islamisasi yang berlaku sejak zaman 1980an menjuruskan masyarakat Melayu ke arah kesedaran identiti Muslim yang semakin ketara. Ia menumpukan pada pandangan terhadap Islam sebagai sebuah gaya hidup yang menyeluruh, dan ini berasaskan budaya konsumsi dan penekanan pada simbol luaran.

    Ini lebih ketara di antara kelas menengah baru di kalangan masyarakat Melayu, yang ingin berketrampilan lebih Islamik sebagai cara untuk menyesuaikan diri dengan kemewahan yang baru dikecapi.

    Ini adalah satu cara untuk menjustifikasi perbelanjaan serta kemewahan yang semakin meningkat. Modenisasi dan kapitalisme tidak seharusnya menjurus ke arah pembaratan, dan justeru umat Islam juga ingin meraih manfaatnya, tetapi disesuaikan ke dalam bentuk “Islamik”. Sistem bureaukratik yang menjaminkan nilai dan identiti keislaman bagi umat Islam juga menyumbang kepada kesedaran identiti keislaman ini.

    Kesedaran akan identiti yang lebih Islamik ini juga bermaksud bahawa permintaan untuk produk-produk yang dilabel halal semakin meningkat, dan justeru produk-produk Islamik menjadi sebuah strategi pemasaran yang berkesan. Dengan itu, label Islam atau status halal menjadi sebuah jenama.

    Pada masa yang sama, pemikiran dan bahasa keagamaan juga dimuatkan ke dalam kerangka kapitalis, seperti “melabuh pahala untuk meraih saham akhirat”, serta penekanan kepada semangat keusahawanan Nabi Muhammad dan isterinya Siti Khadijah untuk menggalakkan umat Islam untuk membangun dari segi kewangan dan keusahawanan.

    Pada dasarnya, meskipun dari segi identiti, umat Islam semakin memaparkan ketrampilan yang moden dan Islamik, namun pada tahap pemikiran dan orientasi keagamaan, ramai yang masih berpandukan pemikiran keagamaan yang bersifat ritualistik dan konservatif.

    Sebagai contoh, bisnes Valet Doa yang berasaskan kepercayaan bahawa berdoa di hadapan Kaabah itu lebih mustajab (sedangkan kita digalakkan untuk berdoa di mana-mana sahaja), atau kelas-kelas mengaji di pesawat, yang sememangnya tidak berbeza daripada kelas-kelas mengaji biasa, di mana penekanannya adalah terhadap mengaji tanpa mendalami isi kandungan al-Quran.

    KURANG SEMANGAT INTELEKTUALISME

    Kurangnya penekanan pada semangat intelektualisme dalam pemikiran keagamaan masyarakat kita juga jelas diperlihatkan dalam wacana-wacana yang agak dangkal dan simplistik.

    Pemikiran dominan tentang agama masih lagi menumpukan pada isu-isu halal dan haram, sama ada sesuatu perkara halal atau haram untuk dilakukan atau dikonsumsi.
    Apa yang diutamakan adalah status atau jenama halal itu, bukan proses produksi dan pelabelan halal di sebaliknya yang memerlukan renungan yang lebih bernuansa.

    Sama juga dengan penekanan terhadap amalan-amalan ritual, di mana apa yang lebih diutamakan adalah melakukan ritual tersebut, seperti menahan lapar dan dahaga ketika berpuasa, tanpa mengira pembaziran yang berlaku sewaktu berbuka di hotel-hotel atau restoran-restoran mewah.

    Pemikiran umat Islam di sini tidak mengarah kepada perkembangan progresif yang membangunkan wacana dan semangat keadilan sosial yang mengkritik sistem kapitalis yang banyak mendatangkan ketidakadilan.

    Ini justeru tidak menghairankan mengapa golongan usahawan, termasuk yang kecil-kecilan, sekadar mampu menghubungkan idea-idea bisnes mereka dengan pemahaman agama yang dangkal. Dalam hal itu, mereka hanya mengambil kesempatan atas idea-idea dan amalan-amalan keagamaan yang sudah ada dalam masyarakat.

    (Gambar hiasan: AFP/TENGKU BAHAR)

    KESANNYA TERHADAP MASYARAKAT

    Satu kesan yang ketara daripada fenomena ini adalah kurangnya kesedaran terhadap ketidakadilan struktural dalam masyarakat. Sekiranya pemikiran keagamaan masih banyak menumpukan pada pelakuan ritual dan amalan-amalan zahir, kita kurang peka terhadap kondisi-kondisi masyarakat yang tidak adil, seperti kemiskinan.

    Sementara golongan yang bermampu dapat melakukan umrah dan haji berkali-kali atau menghadiri forum-forum perdana di hotel mewah, ada pula dalam masyarakat yang masih bertungkus-lumus untuk memberikan keperluan asas untuk keluarga mereka.

    Masyarakat pula dilalaikan dengan produk-produk yang berlabel Islamik, tanpa menyedari akan masalah pembaziran dan konsumsi yang melampau, sedangkan pembaziran itu amat dihina di sisi Islam.

    Pemikiran keagamaan yang dangkal dan tidak berkembang juga terus berleluasa, sekiranya kita mendasari kehidupan beragama dengan budaya konsumeris yang meluas. Masalahnya adalah apabila penjelasan keagamaan digunakan untuk membenarkan budaya konsumeris, bukannya mengkritik budaya tersebut.

    Pandangan bahawa umat Islam semakin moden, malah mahu mengekalkan identiti keislaman amat kekurangan sekiranya apa yang dimaksudkan sebagai identiti keislaman itu hanya dipaparkan secara luaran, tetapi tidak merangkumi suatu visi kemasyarakatan yang mengangkat nilai-nilai universal seperti keadilan dan kepekaan terhadap alam sekitar.

    APA YANG DAPAT DILAKUKAN?

    Apa yang sangat diperlukan adalah pemikiran kritikal di kalangan masyarakat kita, agar tidak terjebak, malah mampu mengkritik fenomena ini dengan rasional. Masyarakat juga perlu memahami keadaan-keadaan struktural, politik dan ideologi yang menyumbang kepada fenomena ini.

    Dengan itu, kita perlu mengkritik trajektori proses Islamisasi yang semakin berkembang dalam masyarakat Melayu. Adakah ia sebuah perkembangan yang bermanfaat buat masyarakat, dan apakah kekurangan atau kesan-kesan negatif yang timbul daripada perkembangan ini?

    Masyarakat juga seharusnya bergerak dari sekadar menggunakan wacana teologi yang simplistik, terutama di kalangan asatizah dan elit agama. Ini bermaksud bahawa kritikan terhadap fenomena ini tidak seharusnya terhad kepada mengatakan bahawa perbuatan “menjual-beli agama” itu salah, atau bahawa kita boleh berdoa di mana-mana sahaja.

    Kurangnya analisis dari segi sosiologi serta fahaman Islam yang lebih intelektual dan progresif akan hanya mendatangkan respons-respons yang berjangka pendek dan tidak akan menyelesaikan masalah ini.

    PEMAHAMAN SISTEM DAN STRUKTUR

    Lebih daripada hanya mempersalahkan individu-individu tertentu dengan menuduh mereka sebagai “penjual agama” atau mengharamkan mereka, apa yang lebih diperlukan, pada pandangan saya, adalah pemahaman tentang sistem atau struktur masyarakat yang melahirkan bisnes-bisnes dan program-program sedemikian. Seperti yang telah dikatakan, fenomena pengkomersilan agama itu sudah berleluasa dan menjadi lumrah dalam masyarakat kita hari ini.

    Dengan itu, wacana agama juga harus berkembang, dengan memupukkan lebih kesedaran sosial dan semangat bertanggungjawab terhadap masyarakat umum dan alam sekitar. Penekanan terhadap perangkulan pahala dan kehidupan beragama yang mementingkan diri sendiri juga seharusnya dikritik.

    Kita juga perlu membangunkan budaya konsumsi yang lebih beretika dan berlandaskan nilai-nilai Islamik yang universal, bukan sahaja berpandukan pada label halal. Ini bermaksud membangunkan budaya yang lebih peka terhadap alam sekitar, terhadap isu-isu pembaziran dan eksploitasi para pekerja, terutama di negara-negara membangun. Sebagai contoh, kita dapat menggalakkan amalan kitar-semula secara lebih meluas, tidak kerap membeli barangan baru dan sebagainya.

    Kesedaran agama itu seharusnya berkembang dengan kesedaran terhadap nilai-nilai kemanusiaan universal. Dengan itu, barulah umat Islam dapat menyumbang kepada dunia moden secara bermakna.

    MENGENAI PENULIS:

    Nurul Fadiah Johari, pelajar pos-siswazah peringkat Sarjana di Jabatan Pengajian Melayu Universiti Nasional Singapura (NUS) dan aktivis wanita AWARE bagi projek kesetaraan jantina Gender Equality is Our Culture (GEC).

    Source: BeritaMediacorp

  • Mufti Wilayah & JAKIM Tolak Khidmat Valet Doa Sebagai Mengelirukan Dan Tidak Mengikut Syariat

    Mufti Wilayah & JAKIM Tolak Khidmat Valet Doa Sebagai Mengelirukan Dan Tidak Mengikut Syariat

    Pernahkah anda mendengar tentang ‘Valet Doa’? Secara ringkas, khidmat ini menawarkan khidmat ‘Doa anda, Kami baca, di Makkah’.

    Itulah satu perkhidmatan baru yang ditawarkan di Malaysia oleh seorang warga negara itu menerusi Facebook, yang membahasakan dirinya sebagai Haji Nasrin, atau nama sebenarnya Nasrin Harin, berusia 40 tahun.

    BERITAMediacorp mendapati, harganya bukan murah. Khidmat itu, yang akan bermula bulan depan (Mac) mengenakan bayaran antara RM500 (S$160) hingga RM5,000 (S$1,600) untuk menyampaikan doa pelanggannya di Makkah.

    Namun baru sekitar seminggu Nasrin Harin memperkenalkan dirinya dan membuat promosi khidmat tersebut, dia kini dikritik hebat oleh pihak-pihak berkuasa agama di Malaysia termasuk golongan Mufti.

    JAKIM: JANGAN TERPEDAYA DENGAN TAWARAN VALET DOA

    Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Tan Sri Othman Mustapha menasihatkan umat Islam supaya jangan terpedaya dengan individu atau pertubuhan yang menawarkan pakej khidmat valet doa di Makkah dengan harga tertentu, seperti yang ditularkan di media sosial ketika ini.

    Tan Sri Othman menambah, pakej valet doa itu jelas menunjukkan unsur perniagaan, menjaja serta menggunakan ibadat serta doa untuk tujuan perniagaan yang tidak dibenarkan Islam.

    Malah, Valet Doa dengan berani menjanjikan bahawa doa-doa pelanggan “confirm makbul cepat”.

    Ini dia antara kata-kata promosi yang ditulis Valet Doa di Facebooknya: “Dah bertahun berdoa tapi hajat belum makbul juga?…Valet Doa bantu anda berdoa depan Kaabah – Confirm makbul cepat!!…Bermula Mac 2017.”

    Ini antara jawapan JAKIM kepada Valet Doa itu seperti ditukil agensi berita Bernama: “Adalah sangat tidak wajar doa dijadikan produk atau perkhidmatan komersil kerana ia mempergunakan agama untuk habuan dunia dan mencemarkan kesucian agama Islam. Hak termakbulnya doa adalah milik Allah semata-semata, bukan terletak kepada manusia.”

    Ketua Pengarah JAKIM dalam satu kenyataan hari ini menambah: “Ia tidak boleh diqiyaskan dengan badal haji kerana bukan haji mabrur yang diupahkan tetapi amalan badal haji itu sendiri yang boleh menerima upah.”

    MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN: VALET DOA TIDAK IKUT SYARIAT

    Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, juga nampaknya mahu segera menangani fenomena Valet Doa ini dengan mengeluarkan satu kenyataan hari ini.

    Mufti tersebut menyatakan: “Setelah kami meneliti isu Valet Doa yang disertakan pula dengan pakej-pakej dengan harga yang berbeza seolah-olah mengikut tahap kemustajaban doa, dengan ini kami berpendapat, ia adalah sama sekali tidak menepati Islam yang sebenarnya, dan tidak mengikut syariat.”

    Mufti Wilayah Persekutuan itu, menerusi laman rasmi pejabatnya menambah, penamaan pakej-pakej seperti Pakej Raja Salman dan Pakej VIP adalah “sangat tidak berakhlak dan mengelirukan”.

    JAKIM juga menyatakan, tidak wajar mana-mana individu menjamin doanya termasuk doa untuk orang lain akan dimakbulkan Allah.

    PENGASAS VALET DOA MAHU TERUSKAN KHIDMAT WALAU DIHENTAM

    Dalam tulisannya di Facebook, pengasas Valet Doa, Nasrin Harin mengakui dia “bukanlah Ustaz, jauh sekali alim. Apatah lagi ulamak”.

    (Gambar-gambar: Valet Doa/ Facebook)

    Di laman Facebooknya, Valet Doa juga banyak dihentam kerana konsep tersebut diragui ramai netizen.

    Namun, semasa diwawancara oleh laman MalaysiaKini, Encik Nasrin Harin berkata dia akan tetap meneruskan perkhidmatannya itu.

    Diminta mengulas tulisan Mufti Wilayah Persekutuan yang menolak Valet Doa, Encik Nasrin Harin menjawab, “kami ada dalil masing-masing”.

    Source: http://berita.mediacorp.sg