Tag: Zamani

  • Zamani Dan Pembantu Peribadi Didenda RM5,500 Kerana Kesalahan Memiliki Dan Mengambil Dadah

    Zamani Dan Pembantu Peribadi Didenda RM5,500 Kerana Kesalahan Memiliki Dan Mengambil Dadah

    KUALA LUMPUR:  Bekas vokalis kumpulan Slam, Zamani Ibrahim dan pembantu peribadinya, Nur Juliana Abdul Rani, masing-masing didenda RM5,500 (S$2,042) atau 18 bulan penjara selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, Rabu (6 Mei), terhadap pertuduhan memiliki dan mengambil dadah pada 21 Jan lepas.

    Zamani, 43, dan Nur Juliana, 32, memilih membayar denda.

    Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman juga memerintahkan kedua-dua tertuduh menjalani dua tahun pengawasan di bawah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

    Terdahulu, Zamani yang memakai jaket dan berseluar hitam dan Nur Juliana mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan semula kepada mereka.

    Sebelum ini, mereka mengaku tidak bersalah atas pertuduhan berkenaan tetapi menukar pengakuan hari ini.

    PERTUDUHAN YANG DIKENAKAN

    Bagi pertuduhan pertama iaitu memiliki dadah jenis heroin seberat 0.6 gram, mereka masing-masing didenda RM3,300 (S$1,225) atau 10 bulan penjara manakala bagi pertuduhan kedua iaitu mengambil dadah, Zamani dan Nur Juliana didenda RM2,200 (S$817) setiap seorang atau lapan bulan penjara.

    Mereka didakwa bersama-sama memiliki dadah jenis heroin di sebuah rumah di Jalan Enggang Timor Satu, Taman Keramat di Kuala Lumpur pada 12.30 pagi, 21 Januari lepas.

    Penyanyi itu, yang popular dengan lagu ‘Gerimis Mengundang’, juga didakwa mengambil dadah jenis morfin di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya kira-kira 2 pagi pada tarikh sama.

    Nur Juliana pula didakwa mengambil dadah jenis Methamphetamine pada 2.05 pagi di tempat dan tarikh sama.

    Bagi pertuduhan memiliki dadah, mereka didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta sama yang membawa hukuman denda RM100,000 (S$37,123) atau penjara tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya.

    Bagi pertuduhan mengambil dadah, mereka didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) akta sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 akta sama dan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 (S$1,856) atau penjara tidak melebihi dua tahun.

    RAYUAN YANG DIKEMUKAKAN KEPADA HAKIM

    Ketika rayuan, peguam Ahmad Zaharil Muhaiyar mewakili Zamani dan Nur Juliana memohon mahkamah mengenakan hukuman denda atas alasan penyanyi itu sudah insaf dan berat badannya kini naik kepada 59 kg daripada 45 kg, selain beliau menghidap sakit belakang kronik yang memerlukan rawatan intensif dan pembedahan.

    “Bagi Nur Juliana pula, dia terjebak dengan dadah berpunca daripada perasaan ingin tahu, namun kedua-dua anak guam saya menyesal dengan perbuatan mereka,” katanya. Mereka juga tidak mempunyai rekod kesalahan lampau, kata peguam itu.

    Timbalan Pendakwa Raya, Goh Ai Rene, memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kerana kesalahan dadah adalah serius dan tertuduh merupakan artis terkenal yang sepatutnya menunjukkan teladan baik kepada masyarakat.

    Sementara itu, Zamani melahirkan rasa syukur kerana hidupnya berubah selepas ditangkap kerana kes dadah itu.

    ZAMANI SYUKUR DITANGKAP

    “Saya rasa bersyukur dan berterima kasih kerana ditangkap pada 21 Jan lepas…ia menjadi titik penting kepada perubahan yang saya alami hari ini,” katanya dengan nada ceria kepada pemberita di perkarangan Mahkamah Majistret.

    Beliau yang kini mendapatkan rawatan di sebuah pusat pemulihan dadah juga kelihatan sihat berbanding keadaan sebelum ditangkap.

    Source: http://berita.mediacorp.sg

  • Zamani Slam Disuruh Menyanyikan Lagu Gerimis Mengundang Oleh Polis Malaysia Sedangkan Masih Digari Kerna Disyaki Meggunakan Dadah

    Zamani Slam Disuruh Menyanyikan Lagu Gerimis Mengundang Oleh Polis Malaysia Sedangkan Masih Digari Kerna Disyaki Meggunakan Dadah

    Bekas vokalis sebuah kumpulan popular era 90-an, Zamani Slam, ditahan polis tengah malam tadi kerana disyaki memiliki dadah jenis heroin seberat 1.2 gram.

    Penyanyi itu yang berusia 43 tahun ditahan bersama seorang wanita berusia 32 tahun di Taman Keramat, Ampang kira-kira jam 12.30 tengah malam tadi setelah pihak polis bertindak hasil maklumat dadah yang diperoleh.

    Pemeriksaan di bilik penyanyi berkenaan kemudiannya, polis menemui satu paket plastik disyaki dadah jenis heroin seberat 1.2 gram yang terletak di atas tilam di bilik berkenaan.

    Hasil ujian air kencing, vokalis itu juga didapati positif dadah jenis morfin.

    Zamani juga mengaku terbabit dalam aktiviti penagihan dadah jenis syabu dan heroin selama 10 tahun yang diperoleh daripada seorang pengedar di sekitar Hulu Kelang.

    Beliau akan disiasat mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

    Berikutan penangkapannya, satu video yang menunjukkan diri Zamani dalam keadaan bergari menyanyikan lagu hits Slam iaitu Gerimis Mengundang telah menjadi viral di media sosial.

    https://www.youtube.com/watch?v=fc06jkQhFcI

    Bagaimanapun, rakaman video itu yang didakwa dibuat oleh seorang anggota polis mendapat bantahan orang ramai.

    Bantahan itu menggunakan hashtag #BantahTindakanPolisKpdZamani mendapat sokongan orang ramai yang beranggapan ia satu tindakan melampau. Mereka menyarankan agar pegawai polis yang merakam dan menyebarkan rakaman itu dikenakan tindakan kerana mengaibkan Zamani.

    Setakat ini, siapa pegawai polis yang terbabit masih belum diketahui namun mungkin juga beliau tidak menjangka reaksi sebegini dari orang ramai. Diharap pihak berkenaan lebih peka terhadap sensitiviti orang ramai terhadap Zamani yang masih punya ramai peminat sehingga ke hari ini. Di zaman kemasyhurannya, populariti kumpulan Slam sampai ke negara Indonesia dan menyamai populariti kumpulan Search. Apa pendapat anda?

     

    Source: http://beautifulnara.com