Pemuzik Singapura, Riduan Zailani, Terima Anugerah Artis Muda

Pemuzik genderang, Riduan Zalani merupakan satu-satunya tokoh seni Melayu yang menerima Anugerah Artis Muda tahun ini.

Anugerah tersebut adalah pengiktirafan bagi para penggiat seni di bawah 35 tahun yang mempunyai potensi luar biasa dalam persada seni tanah air.

Bersama enam lagi penerima Anugerah Artis Muda dan empat penerima Pingat Budaya, Encik Riduan menerima anugerah dari Presiden Tony Tan Keng Yam malam ini.

Alat muzik genderang begitu dekat dengan hati Encik Riduan, 30 tahun.

Sejak tujuh tahun lagi, beliau mula bermain genderang untuk kumpulan dikir barat. Kerana cinta terhadap budaya Melayu dan genderang, Encik Riduan menubuhkan kumpulan genderang Melayu, NADI Singapura.

“Selama 23 tahun berada di atas pentas, saya sungguh bersyukur dapat menjelajahi lebih daripada 30 negara, dan 60 negeri.

“Kita cuba tonjolkan semangat kenusantaraan dan semangat ketimuran kita dari segi persembahan kita, pendekatan kita terhadap muzik Melayu sekarang yang ia boleh menjadi satu wadah yang boleh membuat ia relevan hingga ke hari ini,” ujarnya.

Encik Riduan yang mempunyai Diploma dalam bidang Muzik di Maktab Seni LASALLE akur tidak mudah untuk menjadi penggiat seni sepenuh masa di Singapura.

Salah satu cabarannya adalah pendapatan yang tidak menentu dan bergantung pada sambutan.

Maka itu, beliau percaya penting untuk seseorang penggiat seni itu untuk kekal relevan, menggunakan pendekatan inovatif dalam penyampaian dan bijak mengambil manfaat daripada geran-geran pemerintah.

“Harapan saya, agar sokongan ini dapat terus meningkat dan dapat menyemarakkan suasana seni di Singapura. Saya rasa sudah tiba masanya, kami bersatu untuk menubuhkan satu institusi yang mengetengahkan tradisi-tradisi Melayu kita termasuk gendang-gendang Melayu kita,” ujar Encik Riduan.

Selain genderang Melayu, Encik Riduan juga mahir bermain genderang Afro-Cuban dan Afro-Brazilian.

Tidak hairanlah, beliau sering dijemput untuk mewakili Singapura dalam pesta muzik antarabangsa seperti Pesta Muzik, Seni dan Tarian Dunia (WOMAD).

Pengiktirafan Anugerah Artis Muda bagi Encik Riduan adalah seperti pembakar semangat untuknya meneruskan perjuangan dalam arena seni tanah air.

Source: http://berita.mediacorp.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *