Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) membelanjakan S$1.94 juta tahun ini bagi membantu golongan memerlukan dalam bulan Ramadan.
Ia kenaikan sekitar 16 peratus berbanding tahun lalu dan memberi manfaat kepada lebih 12,900 penerima.
Selain itu, jumlah Bonus Ramadan yang diagihkan kepada setiap penerima juga bertambah dan dimanfaatkan lebih ramai penghuni di rumah-rumah kebajikan. Demikian didedahkan di Majlis Pengagihan Bonus Ramadan MUIS petang tadi (24 Jun).
Tahun lalu, MUIS menerima sumbangan zakat sebanyak S$35.3 juta. Daripada jumlah itu, hampir separuh atau S$17.2 juta diagihkan kepada beberapa golongan memerlukan.
Ini termasuk golongan fakir miskin menerusi bantuan kewangan bulanan dan Program Pengupayaan Bersepadu (EPS) serta para pelajar madrasah yang memerlukan, menerusi Skim Bantuan Kewangan Madrasah di bawah Dana Kemajuan (PROMAS).
Seperti tahun-tahun sebelumnya, sebahagian daripada wang zakat juga diagihkan semasa bulan Ramadan bagi membantu golongan memerlukan.
Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim, berkata: “Untuk Ramadan kali ini, MUIS akan membelanjakan hampir S$2 juta untuk sekitar 12,900 penerima bantuan kewangan MUIS serta keluarga mereka, penerima bantuan jangka panjang Comcare dan penghuni Islam di rumah-rumah kebajikan.
“Perbelanjaan ini merupakan kenaikan sekitar 16 peratus jika dibandingkan dengan tahun lalu. Jumlah ini juga merangkumi pembiayaan program-program sokongan yang dijalankan di merata kelompok masjid sepanjang Ramadan.”
Daripada jumlah itu, S$235,000 akan digunakan bagi membiayai program-program Ramadan serta pemberian hamper raya kepada para penerima zakat.
Baki S$1.66 juta pula diagihkan dalam bentuk Bonus Ramadan kepada para penerima bantuan, termasuk para penghuni di 50 rumah tumpangan – hampir separuh daripada rumah-rumah itu, penerima kali pertama.
Ketua Unit Pembangunan Sosial MUIS, Muzaiyanah Hamzah berkata: “Alhamdulillah, tahun ini, kami telah dapat menambah jumlah rumah kebajikan yang menerima Bonus Ramadan MUIS daripada 27 tahun lepas, naik hampir dua kali ganda tahun ini kepada 50.
“Dan hampir 2,000 penghuni dari rumah kebajikan warga emas dan kanak-kanak menerima Bonus Ramadan. Kami harap sumbangan kecil ini akan memberikan sedikit keceriaan untuk mereka dalam menyambut Ramadan dan juga Syawal yang akan tiba.”
JUMLAH WANG BONUS TAHUN INI LEBIH TINGGI
Setelah disemak semula, jumlah wang bonus yang diterima setiap orang tahun ini juga lebih tinggi.
Para penerima yang tinggal sendirian serta penghuni di rumah-rumah kebajikan menerima S$150 setiap orang, tambahan S$30 daripada sebelumnya.
Golongan berkeluarga pula menerima S$120 bagi setiap anggotanya, S$20 lebih tinggi berbanding tahun lepas.
Dengan kenaikan itu, keluarga Cik Faridah Abdullah seramai lapan orang menerima Bonus Ramadan berjumlah S$960 – tambahan S$160 daripada tahun sebelumnya.
“Selain saya menggunakan (wang itu) untuk persiapan raya, saya menggunakan untuk keperluan anak-anak untuk membawa mereka membuat pemeriksaan kesihatan seperti terapi dan berjumpa doktor,” kata Cik Faridah.
Selain Bonus Ramadan, MUIS juga memberikan bantuan zakat kepada golongan yang memerlukan sokongan jangka panjang, seperti warga emas, orang kurang upaya serta mereka yang menghidap penyakit kronik.
Bantuan jangka pendek juga dihulurkan seperti melunaskan bil api air serta pembiayaan untuk keperluan pembelajaran.
Source: Berita MediaCorp