Pernahkah anda mendengar tentang ‘Valet Doa’? Secara ringkas, khidmat ini menawarkan khidmat ‘Doa anda, Kami baca, di Makkah’.
Itulah satu perkhidmatan baru yang ditawarkan di Malaysia oleh seorang warga negara itu menerusi Facebook, yang membahasakan dirinya sebagai Haji Nasrin, atau nama sebenarnya Nasrin Harin, berusia 40 tahun.
BERITAMediacorp mendapati, harganya bukan murah. Khidmat itu, yang akan bermula bulan depan (Mac) mengenakan bayaran antara RM500 (S$160) hingga RM5,000 (S$1,600) untuk menyampaikan doa pelanggannya di Makkah.
Namun baru sekitar seminggu Nasrin Harin memperkenalkan dirinya dan membuat promosi khidmat tersebut, dia kini dikritik hebat oleh pihak-pihak berkuasa agama di Malaysia termasuk golongan Mufti.
JAKIM: JANGAN TERPEDAYA DENGAN TAWARAN VALET DOA
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Tan Sri Othman Mustapha menasihatkan umat Islam supaya jangan terpedaya dengan individu atau pertubuhan yang menawarkan pakej khidmat valet doa di Makkah dengan harga tertentu, seperti yang ditularkan di media sosial ketika ini.
Tan Sri Othman menambah, pakej valet doa itu jelas menunjukkan unsur perniagaan, menjaja serta menggunakan ibadat serta doa untuk tujuan perniagaan yang tidak dibenarkan Islam.
Malah, Valet Doa dengan berani menjanjikan bahawa doa-doa pelanggan “confirm makbul cepat”.
Ini dia antara kata-kata promosi yang ditulis Valet Doa di Facebooknya: “Dah bertahun berdoa tapi hajat belum makbul juga?…Valet Doa bantu anda berdoa depan Kaabah – Confirm makbul cepat!!…Bermula Mac 2017.”
Ini antara jawapan JAKIM kepada Valet Doa itu seperti ditukil agensi berita Bernama: “Adalah sangat tidak wajar doa dijadikan produk atau perkhidmatan komersil kerana ia mempergunakan agama untuk habuan dunia dan mencemarkan kesucian agama Islam. Hak termakbulnya doa adalah milik Allah semata-semata, bukan terletak kepada manusia.”
Ketua Pengarah JAKIM dalam satu kenyataan hari ini menambah: “Ia tidak boleh diqiyaskan dengan badal haji kerana bukan haji mabrur yang diupahkan tetapi amalan badal haji itu sendiri yang boleh menerima upah.”
MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN: VALET DOA TIDAK IKUT SYARIAT
Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, juga nampaknya mahu segera menangani fenomena Valet Doa ini dengan mengeluarkan satu kenyataan hari ini.
Mufti tersebut menyatakan: “Setelah kami meneliti isu Valet Doa yang disertakan pula dengan pakej-pakej dengan harga yang berbeza seolah-olah mengikut tahap kemustajaban doa, dengan ini kami berpendapat, ia adalah sama sekali tidak menepati Islam yang sebenarnya, dan tidak mengikut syariat.”
Mufti Wilayah Persekutuan itu, menerusi laman rasmi pejabatnya menambah, penamaan pakej-pakej seperti Pakej Raja Salman dan Pakej VIP adalah “sangat tidak berakhlak dan mengelirukan”.
JAKIM juga menyatakan, tidak wajar mana-mana individu menjamin doanya termasuk doa untuk orang lain akan dimakbulkan Allah.
PENGASAS VALET DOA MAHU TERUSKAN KHIDMAT WALAU DIHENTAM
Dalam tulisannya di Facebook, pengasas Valet Doa, Nasrin Harin mengakui dia “bukanlah Ustaz, jauh sekali alim. Apatah lagi ulamak”.
(Gambar-gambar: Valet Doa/ Facebook)
Di laman Facebooknya, Valet Doa juga banyak dihentam kerana konsep tersebut diragui ramai netizen.
Namun, semasa diwawancara oleh laman MalaysiaKini, Encik Nasrin Harin berkata dia akan tetap meneruskan perkhidmatannya itu.
Diminta mengulas tulisan Mufti Wilayah Persekutuan yang menolak Valet Doa, Encik Nasrin Harin menjawab, “kami ada dalil masing-masing”.
Source: http://berita.mediacorp.sg