SEORANG lelaki berusia 24 tahun dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan di penjara semalam selepas dia mengaku bersalah melakukan seks oral dengan seorang budak perempuan bawah umur.
Mahkamah diberitahu, Muhammad Hairuniezam Marwi, yang berusia 22 tahun ketika melakukan perbuatan itu pada 9 Julai 2012, nampak rakannya melakukan seks dengan budak perempuan berusia 15 tahun itu di belakang tembok di *Scape Skate Park di Somerset Road, dan meminta budak itu melakukan seks mulut dengannya.
Hairuniezam, yang merupakan seorang jurutari, boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan/atau didenda bagi kesalahan tersebut.
Timbalan Pendakwa Raya, Cik Elizabeth Chua, memberitahu mahkamah bahawa gadis itu menyertai satu kumpulan termasuk Hairuniezam dan rakannya, Ryan Nicholas Shah, 27 tahun, di *Scape Skate Park pada petang itu.
Kumpulan itu mula menikmati minuman koktel beralkohol. Mangsa minum beberapa gelas dan mula merasa mabuk.
Kira-kira 11 malam, Shah dan budak perempuan itu pergi ke belakang tembok untuk membuang air kecil.
Selepas beberapa ketika, Hairuniezam pergi untuk memeriksa mereka kerana mereka tidak pulang.
Dia dapati pasangan itu sedang mengadakan seks di belakang salah satu tembok.
Dia menemui budak perempuan itu dan memintanya melakukan seks mulut dan mangsa akur.
Selepas tengah malam, kedua-dua lelaki menghantar mangsa pulang dengan menaiki teksi.
Ibu mangsa berasa bimbang setelah melihat mereka.
Beliau kemudian dapati anaknya terbaring atas lantai di depan rumah.
Mangsa kemudian memberitahu ibunya bahawa beliau telah melakukan seks dengan kedua-dua lelaki itu.
Ibu bapanya kemudian menghubungi polis.
Darah dan contoh air kencing mangsa dianalisa dan didapati mengandungi ethanol yang tinggi.
Shah, yang telah didakwa kerana melakukan seks dengan budak perempuan itu, akan kembali ke mahkamah pada 24 Februari ini untuk kesnya didengar lagi.
Sumber: Berita Harian SG