Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail berkata, baginda tidak boleh bergantung dengan elaun sebanyak RM27,000 semata-mata dan perlu menyertai bidang perniagaan.
“Biar saya berterus terang, kita (amalkan) raja berperlembagaan. Saya perlu menyara hidup, sama seperti orang lain.
“Saya tidak boleh bergantung kepada elaun RM27,000 sebulan sahaja. Saya mesti menyara hidup, seperti rakyat Malaysia biasa,” katanya dalam satu wawancara dengan akhbar The Star.
Sultan Ibrahim berkata, penglibatan keluarga diraja Johor bukan perkara baru kerana ini menjadi amalan sejak zaman moyangnya.
“Saya tidak pernah cuba menyembunyikan urusan perniagaan saya dengan menggunakan proksi, seperti dilakukan sesetengah orang. Saya terbuka dan telus,” katanya.
Katanya, penglibatan kerabat diraja dalam perniagaan yang halal merupakan perkembangan yang sihat.
Tambahnya, penglibatan dalam urusan yang diragui akan mencemarkan nama institusi beraja.
“Saya pasti rakyat Johor tidak mahu melihat saya sebagai seseorang yang menjual darjah kebesaran untuk menyara hidup,” katanya.
Mengulas mengenai projek hartanah besar di Johor yang melibatkan pelabur China, beliau menafikan bahawa ia akan menyebabkan berlaku kebanjiran dalam pasaran hartanah.
Katanya, selain warga tempatan, hartanah berkenaan juga akan dibeli oleh warga Singapura.
“Apabila rangkaiannya siap, ia akan menjadi satu kebiasaaan bagi orang Singapura untuk tinggal di Johor dan bekerja di Singapura,” katanya.
Sultan Ibrahim berkata, perkara ini dapat dilihat di Shenzen yang menjadi kediaman bagi golongan yang berulang-alik setiap hari untuk bekerja di Hong Kong.
Beliau turut mempertahankan projek tambakan mega Forest City. Menurutnya, pelabur China akan memberi keuntungan kepada negeri.
Usaha penambakan tanah laut itu juga merupakan keputusan strategik, katanya.
“Sekiranya Johor tidak menjalankan penambakan, Singapura akan buat dan perkara ini sudahpun berjalan,” katanya.
Source: www.malaysiakini.com