Anugerah Warisan Buat Siswazah Terbaik Pengajian Melayu

Amalan memberi berkat di majlis perkahwinan, memakan jamu dan memelihara burung adalah antara aspek budaya dan tradisi orang Melayu yang menarik perhatian Cik Nur’Izzah Mohamad Afandi.

Mahasiswa pengajian Melayu di Universiti Nasional Singapura (NUS) itu menyelidik tiga topik tersebut semasa mengikuti program sambil belajar dengan Yayasan Warisan Melayu (MHF) tahun lalu.

Usaha gigih Cik Nur’Izzah, 23 tahun, mengkaji budaya orang Melayu selama sekitar empat bulan itu mendapat ganjaran manis.

Tiga artikel yang ditulisnya itu dipilih untuk dipaparkan di gerbang dalam talian MHF,www.warisansg.com/Newsletter.

Bahkan, pencapaian cemerlangnya dalam program sambil belajar itu telah membantunya muncul sebagai pelajar terbaik dalam kursusnya di NUS.

Sebagai pelajar terbaik dalam kursus itu, beliau menerima Hadiah MHF yang buat julung-julung kalinya diberikan di majlis penyampaian ijazah NUS semalam.

Hadiah MHF bernilai $1,000 itu diberikan kepada pelajar kepujian terbaik daripada Jabatan Pengajian Melayu, Fakulti Sastera dan Sains Kemasyarakatan, setiap tahun bermula tahun ini.

Cik Nur’Izzah, seorang bekas pelajar Maktab Rendah Temasek dan Sekolah Menengah Anderson, ingin melihat penghayatan budaya Melayu yang lebih mendalam.

“Saya berpendapat perbincangan budaya secara kritikal adalah penting untuk memahami jati diri dan persepsi tentang orang Melayu,” ujar Cik Nur’Izzah, anak kedua dalam tiga beradik.

Ayahnya, Encik Mohamad Afandi Suradi, ialah seorang penjaga stor manakala ibunya, Cik Sulizah Tan Abdullah, suri rumah.

Pengerusi Yayasan Warisan Melayu, Cik Zuraidah Abdullah, berkata anugerah itu bertujuan merangsang lebih banyak pengajian mengenai sejarah sosiobudaya orang Melayu di Singapura.

“Kami berharap Hadiah MHF itu akan memberi inspirasi dan motivasi kepada pelajar kami untuk menjalankan penyelidikan lebih mendalam mengenai masyarakat,” ujar Cik Zuraidah.

Pada jangka panjang, matlamatnya adalah menghasilkan lebih ramai pakar sejarah dan warisan dalam masyarakat, tambahnya.

 

Source: http://beritaharian.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *