Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata masyarakat Melayu/Islam mencatat kemajuan yang sangat besar dan amat memberangsangkan.
Hari ini, menurut beliau, masyarakat Melayu diwakili dalam setiap lapisan masyarakat. Encik Lee berkata demikian semasa menyampaikan ucapan dalam Bahasa Melayu di Rapat Umum Hari Kebangsaan petang ini.
Encik Lee berkata kini beliau dan rakan-rakan kabinetnya mempunyai banyak pilihan mencari bakal calon-calon pilihan raya Melayu/Islam dari pelbagai sektor – seperti peguam, pegawai bank, pendidik, jurutera dan pegawai Angkatan Bersenjata Singapura (SAF).
Parti Tindakan Rakyat (PAP) baru-baru ini memperkenalkan tiga calon baru Melayu/Islam bagi Pilihan Raya Umum tahun ini – Encik Saktiandi Supaat, 42 tahun, Ketua Kajian Pertukaran Asing di Maybank; Encik Amrin Amin, 36 tahun, peguam korporat di Joseph Tan Jude Benny, dan Cik Rahayu Mahzam, 35 tahun, mantan timbalan pendaftar Mahkamah Syariah.
Amrin Amin (Gambar: Facebook/Amrin Amin)
Rahayu Mahzam. (Gambar: Shushan Lam)
Beliau juga mengambil contoh dua juruterbang muda anak Melayu/Islam di Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF), iaitu Kapten Muhammad Azlan Abdul Latiff, juruterbang helikopter Super Puma, dan Kapten Muhammad Iskandar Dzulfadhli Abdul Rahman, juruterbang jet pejuang F5.
Menteri Negara Mohd Maliki Osman bersama juruterbang RSAF, Kapten Muhammad Azlan Abdul Latiff (kiri) dan Kapten Muhammad Iskandar Dzulfadhli Abdul Rahman. (Gambar: MINDEF)
KEJAYAAN MELAYU/ISLAM DICAPAI MENERUSI BUDAYA BERDIKARI
Encik Lee berkata kejayaan masyarakat Melayu/Islam ini dicapai menerusi budaya berdikari, semangat gotong royong dan juga sokongan pemerintah.
“Saudara saudari, masyarakat Melayu/Islam gigih memupuk budaya berdikari tetapi mengekalkan semangat gotong-royong anda.
“Ini dapat dilihat dalam usaha anda membina institusi bantu diri yang penting seperti Yayasan Mendaki dan AMP (Angkatan Karyawan Islam).
“Pemerintah menyokong kuat kemajuan masyarakat Melayu/Islam dengan menyediakan sumber-sumber, nasihat serta kepimpinan oleh para menteri dan Anggota Parlimen Melayu pemerintah.
“Orang Melayu juga mendapat faedah daripada dasar untuk semua kaum secara sama rata seperti perumahan, pendidikan dan penjagaan kesihatan,” ujarnya.
SEBAHAGIAN BESAR YANG TINGGAL DI FLAT SEWA ADALAH MELAYU
Namun Encik Lee berkata di sebalik kemajuan besar itu, masyarakat Melayu/Islam perlu terus memberi perhatian kepada isu-isu sosial yang mencabar, seperti masalah keluarga-keluarga Melayu/Islam yang masih tinggal di flat-flat sewa.
Menurut Encik Lee, program pemilikan rumah Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) berjaya membantu lebih 90 peratus penghuni HDB memiliki flat sendiri.
Namun, segolongan kecil masih tinggal di flat sewa, dan sebahagian besar di antara mereka adalah keluarga Melayu, kata beliau.
PM LEE: HARUS BANTU MEREKA MILIKI FLAT SENDIRI
Ramai merupakan keluarga muda dengan masalah rumahtangga dan kewangan – contohnya, mereka mungkin pernah membeli flat sebelum ini, namun selepas bercerai, mereka terpaksa menjual flat dan tinggal di flat sewa.
“Saya sangat bimbang tentang masa depan keluarga-keluarga ini, khususnya anak-anak mereka. Kemungkinan besar mereka akan terus terjerat dalam kemiskinan sepanjang hayat.
“Kita harus membantu mereka memulakan hidup baru, jika mereka bersungguh-sungguh mahu memperbaiki kehidupan mereka dengan menstabilkan keluarga, mendapatkan pekerjaan tetap dan memastikan anak-anak kekal di sekolah.
“Kita mesti membantu mereka memiliki flat sendiri sekali lagi supaya mereka dapat menyediakan sekitaran yang lebih mantap bagi anak-anak mereka,” ujar Encik Lee.
Source: http://berita.mediacorp.sg