Category: Komentar

Send in your opinion to [email protected].
Kirimkan pandangan anda kepada [email protected].

  • Komentar: Apabila Agama Dijadikan Komoditi

    Komentar: Apabila Agama Dijadikan Komoditi

    Fenomena perniagaan mempergunakan agama yang semakin ketara sejak kebelakangan ini telah mengundang perdebatan hangat di kalangan sebahagian masyarakat Melayu/Islam. Meskipun ada yang menuduh para pengusaha bisnes sedemikian sebagai sekadar “penjual agama”, apa yang lebih penting ialah memahami mengapa fenomena ini berlaku. Pelajar pos-siswazah Nurul Fadiah Johari berkongsi tentang faktor-faktor di sebalik gejala ini dan kesan-kesannya terhadap masyarakat Melayu/Islam, serta apa yang dapat dilakukan untuk menghadapinya dengan berhemah:

    (Gambar: Valet Doa/ Facebook)

    Fenomena Valet Doa, yang kita saksikan baru-baru ini, telah menggemparkan ramai orang, terutama di ruang-ruang media sosial. Ramai yang membantah, malah meluahkan kritikan-kritikan tertentu tentang produk ini. Pengasas Valet Doa dituduh sebagai “penjual agama” dan sebagainya, dan ramai pula yang mengatakan bahawa ini merupakan salah satu tanda akhir zaman.

    Ada juga laporan baru-baru ini mengenai kelas mengaji al-Quran yang diajar dalam pesawat privet yang berharga sehingga AS$7,500 (S$10,600) sejam. Bukan ini sahaja, terdapat juga contoh-contoh lain yang amat aneh, seperti ayam yang dibela dalam gelombang al-Quran dan sebagainya.

    Walaupun sesetengah kritikan ini adalah munasabah (kerana sememangnya menjual-beli agama demi keuntungan diri itu tidak bermoral), apa yang lebih penting adalah pemahaman atas mengapa fenomena ini berlaku. Tanpa sebarang analisis terhadap fenomena ini, kita tidak akan mampu mengkritik fenomena ini secara berkesan, dan justeru akan terus menyumbang kepada perkembangannya yang berleluasa.

    SIMPTOM MASALAH

    Malah contoh-contoh yang diberikan di atas, menurut saya hanya berupa simptom sebuah masalah yang lebih mendalam. Sebenarnya, konsumsi produk-produk keagamaan sudah menjadi suatu perkara yang lumrah dalam masyarakat kapitalis kita.

    Malah, budaya konsumeris sedemikian sudah dianggap sebagai satu kebiasaan kerana masyarakat Islam semakin menyesuaikan diri dengan arus kemodenan dan globalisasi yang berlandaskan sistem ekonomi pasaran bebas (free market economy).

    Lihat saja bufet-bufet untuk berbuka puasa di hotel-hotel mewah, atau tudung-tudung berjenama eksklusif yang mahal, mahupun seminar atau forum agama yang diadakan di kapal persiaran atau hotel mewah. Ini semua termasuk dalam fenomena yang semakin meluas ini. Justeru, apa yang diperlukan sekarang adalah pemahaman dan analisa yang kritis tentang fenomena ini.

    Dalam pandangan saya, terdapat dua faktor penting yang menyumbang kepada fenomena ini, iaitu perkembangan sistem kapitalisme di negara-negara majoriti Islam serta kebangkitan Islam atau Islamisasi.

    Apa yang dapat kita saksikan di sini adalah sebenarnya fenomena komodifikasi agama, di mana simbol-simbol, ritual dan amalan keagamaan dijadikan sebagai sebuah produk atau komoditi yang dapat dijual-beli dengan harga yang ditetapkan.

    Fenomena ini telah berkembang di rantau Asia Tenggara semenjak ia melalui proses pemodenan dan pembangunan ekonomi di zaman pasca-kemerdekaan. Agama Islam bukanlah satu-satunya agama yang dilanda arus komodifikasi ini. Namun, apa yang ketara ialah bahawa perkembangan ekonomi di negara-negara majoriti Muslim berlaku seiringan dengan kebangkitan Islam atau Islamisasi.

    Umat Islam bersolat jemaah di masjid. (Gambar: SAEED KHAN / AFP)

    ISLAM KELAS PERTENGAHAN

    Proses Islamisasi yang berlaku sejak zaman 1980an menjuruskan masyarakat Melayu ke arah kesedaran identiti Muslim yang semakin ketara. Ia menumpukan pada pandangan terhadap Islam sebagai sebuah gaya hidup yang menyeluruh, dan ini berasaskan budaya konsumsi dan penekanan pada simbol luaran.

    Ini lebih ketara di antara kelas menengah baru di kalangan masyarakat Melayu, yang ingin berketrampilan lebih Islamik sebagai cara untuk menyesuaikan diri dengan kemewahan yang baru dikecapi.

    Ini adalah satu cara untuk menjustifikasi perbelanjaan serta kemewahan yang semakin meningkat. Modenisasi dan kapitalisme tidak seharusnya menjurus ke arah pembaratan, dan justeru umat Islam juga ingin meraih manfaatnya, tetapi disesuaikan ke dalam bentuk “Islamik”. Sistem bureaukratik yang menjaminkan nilai dan identiti keislaman bagi umat Islam juga menyumbang kepada kesedaran identiti keislaman ini.

    Kesedaran akan identiti yang lebih Islamik ini juga bermaksud bahawa permintaan untuk produk-produk yang dilabel halal semakin meningkat, dan justeru produk-produk Islamik menjadi sebuah strategi pemasaran yang berkesan. Dengan itu, label Islam atau status halal menjadi sebuah jenama.

    Pada masa yang sama, pemikiran dan bahasa keagamaan juga dimuatkan ke dalam kerangka kapitalis, seperti “melabuh pahala untuk meraih saham akhirat”, serta penekanan kepada semangat keusahawanan Nabi Muhammad dan isterinya Siti Khadijah untuk menggalakkan umat Islam untuk membangun dari segi kewangan dan keusahawanan.

    Pada dasarnya, meskipun dari segi identiti, umat Islam semakin memaparkan ketrampilan yang moden dan Islamik, namun pada tahap pemikiran dan orientasi keagamaan, ramai yang masih berpandukan pemikiran keagamaan yang bersifat ritualistik dan konservatif.

    Sebagai contoh, bisnes Valet Doa yang berasaskan kepercayaan bahawa berdoa di hadapan Kaabah itu lebih mustajab (sedangkan kita digalakkan untuk berdoa di mana-mana sahaja), atau kelas-kelas mengaji di pesawat, yang sememangnya tidak berbeza daripada kelas-kelas mengaji biasa, di mana penekanannya adalah terhadap mengaji tanpa mendalami isi kandungan al-Quran.

    KURANG SEMANGAT INTELEKTUALISME

    Kurangnya penekanan pada semangat intelektualisme dalam pemikiran keagamaan masyarakat kita juga jelas diperlihatkan dalam wacana-wacana yang agak dangkal dan simplistik.

    Pemikiran dominan tentang agama masih lagi menumpukan pada isu-isu halal dan haram, sama ada sesuatu perkara halal atau haram untuk dilakukan atau dikonsumsi.
    Apa yang diutamakan adalah status atau jenama halal itu, bukan proses produksi dan pelabelan halal di sebaliknya yang memerlukan renungan yang lebih bernuansa.

    Sama juga dengan penekanan terhadap amalan-amalan ritual, di mana apa yang lebih diutamakan adalah melakukan ritual tersebut, seperti menahan lapar dan dahaga ketika berpuasa, tanpa mengira pembaziran yang berlaku sewaktu berbuka di hotel-hotel atau restoran-restoran mewah.

    Pemikiran umat Islam di sini tidak mengarah kepada perkembangan progresif yang membangunkan wacana dan semangat keadilan sosial yang mengkritik sistem kapitalis yang banyak mendatangkan ketidakadilan.

    Ini justeru tidak menghairankan mengapa golongan usahawan, termasuk yang kecil-kecilan, sekadar mampu menghubungkan idea-idea bisnes mereka dengan pemahaman agama yang dangkal. Dalam hal itu, mereka hanya mengambil kesempatan atas idea-idea dan amalan-amalan keagamaan yang sudah ada dalam masyarakat.

    (Gambar hiasan: AFP/TENGKU BAHAR)

    KESANNYA TERHADAP MASYARAKAT

    Satu kesan yang ketara daripada fenomena ini adalah kurangnya kesedaran terhadap ketidakadilan struktural dalam masyarakat. Sekiranya pemikiran keagamaan masih banyak menumpukan pada pelakuan ritual dan amalan-amalan zahir, kita kurang peka terhadap kondisi-kondisi masyarakat yang tidak adil, seperti kemiskinan.

    Sementara golongan yang bermampu dapat melakukan umrah dan haji berkali-kali atau menghadiri forum-forum perdana di hotel mewah, ada pula dalam masyarakat yang masih bertungkus-lumus untuk memberikan keperluan asas untuk keluarga mereka.

    Masyarakat pula dilalaikan dengan produk-produk yang berlabel Islamik, tanpa menyedari akan masalah pembaziran dan konsumsi yang melampau, sedangkan pembaziran itu amat dihina di sisi Islam.

    Pemikiran keagamaan yang dangkal dan tidak berkembang juga terus berleluasa, sekiranya kita mendasari kehidupan beragama dengan budaya konsumeris yang meluas. Masalahnya adalah apabila penjelasan keagamaan digunakan untuk membenarkan budaya konsumeris, bukannya mengkritik budaya tersebut.

    Pandangan bahawa umat Islam semakin moden, malah mahu mengekalkan identiti keislaman amat kekurangan sekiranya apa yang dimaksudkan sebagai identiti keislaman itu hanya dipaparkan secara luaran, tetapi tidak merangkumi suatu visi kemasyarakatan yang mengangkat nilai-nilai universal seperti keadilan dan kepekaan terhadap alam sekitar.

    APA YANG DAPAT DILAKUKAN?

    Apa yang sangat diperlukan adalah pemikiran kritikal di kalangan masyarakat kita, agar tidak terjebak, malah mampu mengkritik fenomena ini dengan rasional. Masyarakat juga perlu memahami keadaan-keadaan struktural, politik dan ideologi yang menyumbang kepada fenomena ini.

    Dengan itu, kita perlu mengkritik trajektori proses Islamisasi yang semakin berkembang dalam masyarakat Melayu. Adakah ia sebuah perkembangan yang bermanfaat buat masyarakat, dan apakah kekurangan atau kesan-kesan negatif yang timbul daripada perkembangan ini?

    Masyarakat juga seharusnya bergerak dari sekadar menggunakan wacana teologi yang simplistik, terutama di kalangan asatizah dan elit agama. Ini bermaksud bahawa kritikan terhadap fenomena ini tidak seharusnya terhad kepada mengatakan bahawa perbuatan “menjual-beli agama” itu salah, atau bahawa kita boleh berdoa di mana-mana sahaja.

    Kurangnya analisis dari segi sosiologi serta fahaman Islam yang lebih intelektual dan progresif akan hanya mendatangkan respons-respons yang berjangka pendek dan tidak akan menyelesaikan masalah ini.

    PEMAHAMAN SISTEM DAN STRUKTUR

    Lebih daripada hanya mempersalahkan individu-individu tertentu dengan menuduh mereka sebagai “penjual agama” atau mengharamkan mereka, apa yang lebih diperlukan, pada pandangan saya, adalah pemahaman tentang sistem atau struktur masyarakat yang melahirkan bisnes-bisnes dan program-program sedemikian. Seperti yang telah dikatakan, fenomena pengkomersilan agama itu sudah berleluasa dan menjadi lumrah dalam masyarakat kita hari ini.

    Dengan itu, wacana agama juga harus berkembang, dengan memupukkan lebih kesedaran sosial dan semangat bertanggungjawab terhadap masyarakat umum dan alam sekitar. Penekanan terhadap perangkulan pahala dan kehidupan beragama yang mementingkan diri sendiri juga seharusnya dikritik.

    Kita juga perlu membangunkan budaya konsumsi yang lebih beretika dan berlandaskan nilai-nilai Islamik yang universal, bukan sahaja berpandukan pada label halal. Ini bermaksud membangunkan budaya yang lebih peka terhadap alam sekitar, terhadap isu-isu pembaziran dan eksploitasi para pekerja, terutama di negara-negara membangun. Sebagai contoh, kita dapat menggalakkan amalan kitar-semula secara lebih meluas, tidak kerap membeli barangan baru dan sebagainya.

    Kesedaran agama itu seharusnya berkembang dengan kesedaran terhadap nilai-nilai kemanusiaan universal. Dengan itu, barulah umat Islam dapat menyumbang kepada dunia moden secara bermakna.

    MENGENAI PENULIS:

    Nurul Fadiah Johari, pelajar pos-siswazah peringkat Sarjana di Jabatan Pengajian Melayu Universiti Nasional Singapura (NUS) dan aktivis wanita AWARE bagi projek kesetaraan jantina Gender Equality is Our Culture (GEC).

    Source: BeritaMediacorp

  • Mengapa Masih Wujud Fahaman Sempit Terhadap Kaum Wanita?

    Mengapa Masih Wujud Fahaman Sempit Terhadap Kaum Wanita?

    Peranan kaum Hawa sering kali tidak diberikan pengiktirafan dan penghargaan yang sewajarnya. Ini meskipun bilangan wanita yang menyandang jawatan berprofil tinggi semakin meningkat. Mengapa pemikiran dan tanggapan yang mempersoalkan keupayaan dan kewibawaan kaum Hawa terus membelenggu minda masyarakat? Muhammed Shahril Shaik Abdullah, Pustakawan Bersekutu di Lembaga Perpustakaan Negara yang juga anggota The Reading Group mengongsi beberapa sebab yang mungkin menyebabkan pemikiran sedemikian menyempitkan persepsi terhadap kaum Hawa.

    Jika dibandingkan zaman sekarang dengan zaman dahulu, boleh dikatakan kaum wanita pada zaman sekarang ini menikmati taraf kehidupan yang lebih tinggi. Ini dapat dilihat dari jumlah wanita yang kian ramai memegang jawatan-jawatan yang suatu ketika hanya dikhaskan buat kaum lelaki, baik di bidang pekerjaan mahupun di arena politik.

    Namun, sejauh manakah perubahan sosial sedemikian mencerminkan arus perubahan yang sehaluan dari segi sikap serta tanggapan sesebuah masyarakat terhadap kaum wanita? Walaupun peluang pekerjaan serta pendidikan buat kaum wanita pada masa kini jauh lebih luas berbanding beberapa dekad yang lalu, tanggapan terhadap wanita masih lagi berdasarkan fahaman sempit yang nyata menghambat kemajuan ke arah masyarakat yang bersifat adil.

    Barangkali ramai di antara kaum suami dan bapa dalam masyarakat kita yang bersifat penyayang terhadap keluarga masing-masing. Kita tidak berada di dalam sebuah masyarakat yang sadis di mana kaum lelaki sewenang-wenang memukul bantai isteri dan anak-anak.

    Namun di sebalik sifat penyayang tersebut, tersembunyi satu ketidaksadaran (subconsciousness) yang terpendam kian dalam di lubuk hati dan sanubari si penyayang. Ketidaksadaran tersebut, yang dibentuk dan didorong oleh pengaruh luaran seperti struktur serta kondisi sosial, lingkungan hidup dan juga penyebaran pengetahuan dalam segala bentuk informasi dari pelbagai sumber termasuk akhbar, filem serta media sosial, tidak akan dapat dikesan di tingkatan sadar (conscious level) dari segi perbualan mahupun perbuatan. Malah, apa yang diucap dan diperlakukan di tingkatan sadar seringkali bertentangan dengan apa yang terpendam di peringkat tidak sedar (subconscious level).

    Sebagai contoh, sebuah negara yang dikuasai oleh pemerintahan yang berasaskan prinsip patriarki akan membentuk serta menjalankan dasar-dasar negara yang mendiskriminasi dan menindas kaum wanita. Dasar-dasar tersebut, jika tidak dipersoalkan, pada gilirannya akan meresapi akar pemikiran masyarakat lantas membuahkan warga-warga negara yang berfikiran patriarkis, meskipun hadir di tingkatan tidaksadar. Barangsiapa yang menentang atau mempersoalkan fahaman tersebut akan dianggap pengkhianat atau pemberontak lantas disingkir sebagai seorang yang tidak sehaluan dengan masyarakat.

    Apabila norma sosial sesebuah masyarakat berlandaskan pemahaman yang tidak mempedulikan kesucian kehidupan malah cenderung terhadap kebinasaan, akibatnya akan ada pengorbanan jiwa-jiwa yang tidak bersalah. Di dalam buku beliau The Great Theft, Khaled Abou El Fadl menceritakan tentang kejadian di Arab Saudi, yang berlaku pada pertengahan bulan Mac 2002, di mana sekumpulan murid perempuan di sebuah sekolah awam terbunuh sewaktu terperangkap di dalam bangunan sekolah yang sedang dijilat api kebakaran.

    Apa yang lebih menyedihkan ialah, menurut Abou El Fadl, pintu-pintu sekolah tersebut telah dikunci dari luar oleh sekumpulan polis agama Saudi yang menghalang dengan kekerasan segala upaya untuk menyelamatkan murid-murid berkenaan. Penjelasan yang diberi atas perbuatan mereka ialah disebabkan murid-murid perempuan tersebut tidak menutup aurat – bermaksud mereka tidak mengenakan hijab serta niqab mereka pada waktu itu – dan juga buat mengelakkan sentuhan fizikal di antara pasukan penyelamat dengan murid-murid perempuan terlibat.

    Dari peristiwa di atas, kita dapat melihat masalah yang timbul, malah yang menjurus kepada pembunuhan, apabila manusia bertindak atas dasar dan pengaruh fahaman yang parokial. Di dalam benak pasukan polis agama Saudi tersebut, hanya satu kekhuatiran yang harus difikirkan, iaitu muka dan rambut murid-murid perempuan terlibat – yang terperangkap di dalam bangunan yang sedang dijilat api – tidak seharusnya kelihatan di tempat awam. Pada mereka, penutupan aurat itu lebih penting dari menyelamatkan nyawa yang sedang dalam bahaya. Demikian akibatnya apabila fikiran dikuasai oleh ketidaksadaran yang sentiasa berlegar di lubuk hati.

    Pengaruh luaran seperti media sosial juga memainkan peranan yang amat penting dalam membentuk ketidaksadaran sedemikian, selain membentuk minda serta pemikiran seseorang malahan sebuah masyarakat. Tidak boleh dinafikan pentingnya peranan media dalam menyampaikan berita serta informasi buat membina pengetahuan terhadap segala perihal di sekeliling kita. Namun, ini tidak bererti segala apa yang dilapor atau dikongsi harus diterima secara membabi-buta tanpa kritikal.

    Sikap yang kritikal akan membolehkan kita mengesan ideologi di sebalik penulisan yang bersifat cauvinis mahupun patriarkis. Jika disoal, kemungkinan besar si penulis tidak akan bersetuju malah akan menafikan dirinya sebagai seorang yang cauvinis. Malah tidak akan ada seorang lelaki yang akan mengaku dirinya sedemikian. Ramai yang akan mengatakan kaum wanita harus dihormati, disanjungi dan disayangi.

    Namun pernyataan-pernyataan tersebut barangkali hanya hadir di tingkatan sadar. Pada tingkatan tidaksadar, masih ramai yang menganggap serta mempercirikan kaum wanita sebagai satu kaum yang lemah dan serba kekurangan, yang harus patuh dan tunduk pada supremasi kaum lelaki. Amat sukar untuk seseorang yang didorong oleh ketidaksadaran sedemikian mengakui serta menganggap kaum wanita sebagai kaum yang mampu berdikari.

    Seorang isteri harus disayangi, dibelai, dihormati – pada masa yang sama beliau juga wajib patuh dan taat pada suami. Bahkan apa yang diajarkan di merata kelas-kelas agama, di setiap ceramah dan syarahan, dan juga di kaca televisyen melalui drama dan filem, ialah syurga isteri itu terletak di kaki suami. Maka apabila isteri menderhakai suami, beliau tidak akan dapat mencium pun bau syurga.

    Ajaran dan pesanan yang bermasalah sebegini jarang dipersoalkan, oleh kerana kepercayaan mutlak terhadap yang berbicara sebagai pakar dalam bidang yang dibicarakan. Di sini juga kita dapat melihat peranan asatizah serta penulis dan penerbit media dalam membentuk dan mempengaruhi pemikiran masyarakat.

    Sebagai contoh, di dalam filem Suami Aku Ustaz yang ditayangkan pada tahun 2015, kita akan dapat mengesan idea-idea yang amat bermasalah apabila ditontoni dari lensa yang kritikal. Misalnya, ibu bapa yang melihat anak perempuan mereka sebagai sebuah objek yang boleh diperlakukan sekehendak hati tanpa menghiraukan hak si anak sebagai seorang manusia; pendewaan guru-guru agama yang menjurus kepada ketaksuban serta perhambaan diri pada golongan tersebut hingga sanggup melepaskan diri dari tanggungjawab dengan berserah dan mengikut membabi-buta segala apa yang diajarkan sang ustaz, walaupun bercanggah dengan nilai-nilai kemanusiaan; pandangan hidup patriarkis yang menetapkan kaum lelaki sebagai golongan yang dianugerahi Tuhan darjat yang lebih tinggi justeru lebih layak menentukan apa yang baik dan buruk buat kaum wanita.

    Dari filem ini, kita dapat melihat bagaimana industri budaya yang dikuasai golongan inteligensia yang tidak berfungsi, akan mencipta karya-karya yang sarat dengan idea-idea yang bermasalah, yang berasaskan pemikiran feudal dan cauvinis, lantas meluas dan menyerap masuk ke minda masyarakat.

    Kenyataan yang dibuat penerbit filem tersebut sewaktu diwawancara, bahawa cinta serta kepatuhan isteri kepada suami merupakan nilai yang penting dalam rumah tangga, menjadi bukti kepada pemikiran patriarkis beliau. Rumahtangga yang penuh dengan kasih dan sayang bermula dari perasaan saling hormat menghormati serta faham memahami, bukan berasaskan kepatuhan yang bersifat perhambaan dan pengabdian. Tidak akan wujud sifat kasih dan sayang, bahkan tidak akan ada rasa cinta, apabila seseorang menuntut supaya dipatuhi dan ditaati oleh pihak yang lain.

    Lebih bermasalah lagi apabila agama dijadikan sandaran bagi pendirian yang patriarkis. Misalnya menggunakan hadis-hadis daif yang menuntut agar wanita harus patuh dan tunduk pada supremasi kaum lelaki. Nabi telah diutuskan Tuhan untuk membebaskan masyarakat di kota Makkah dari segala bentuk penindasan dan ketidakadilan dengan membasmikan segala praktik jahiliyah Arab yang tidak berperikemanusiaan, seperti menanam hidup-hidup bayi perempuan yang baru dilahirkan.

    Perbuatan jahil sedemikian tiada bezanya dengan pemikiran jahil yang sedang tersebar luas pada hari ini melalui agensi-agensi luaran yang telah disebutkan di atas. Nabi telah berhasil membasmi praktik jahiliyah pembunuhan bayi perempuan. Oleh itu amat penting untuk kita memastikan supaya kita pula tidak terjebak dengan pembunuhan jiwa kaum wanita serta anak-anak dalam masyarakat kita.

    Sebagai permulaan, kita perlu mendidik dan menanamkan dalam diri anak-anak kita sikap adil serta sifat saling hormat-menghormati di antara lelaki dan perempuan, dengan menghindari sebarang perkataan atau perbualan yang bersifat patriarkis. Misalnya, usahlah kita berkata kepada mereka “Jangan nangis seperti perempuan” atau “Kalau nak jadi lelaki, mesti kuat. Tidak boleh lemah seperti perempuan.” dan sebagainya.

    Pendidikan awal akan menentukan cara pemikiran serta pemahaman yang akan mereka terap apabila dewasa kelak. Maka perlunya kita membantu mereka dalam proses tersebut dengan harapan membasmi ideologi-ideologi yang merosak seperti patriarkalisme.

    MENGENAI PENGARANG:
    Muhammed Shahril Shaik Abdullah ialah Pustakawan Bersekutu di Lembaga Perpustakaan Negara

  • Amos Yee Allegedly In Solitary Confinement In The US For Insulting Muslims In Jail

    Amos Yee Allegedly In Solitary Confinement In The US For Insulting Muslims In Jail

    According to a Facebook post which has since been deleted, teen blogger Amos Yee is currently in solitary confinement for criticising Muslims and Islam during their Muslim Studies in jail; and that he is feeling terrible about it.

    According to Nina Palay who set up the relocation fund appeal for Yee, this is what happened.

    “He attended a Muslim Studies class, in order to “disagree”. There was a “Muslim pastor” from outside (not a prisoner) and about 18 Muslim prisoners in attendance. Amos called Allah a “sky wizard”. He said that if the religion is 5,000 years old then it’s “complete fucking garbage”. (He said “fuck” a lot). He said that the Quran has passages instructing the devout to kill non-Muslims; the pastor handed him the Quran and challenged him to show such passages, and when Amos said “Ok, I will”, the pastor took the Quran back.

    The pastor claimed “The Quran was the most respected and popular book in the U.S.”

    The pastor said Amos was disturbing the peace or something and got Sergeant R.Henson to sign a form putting him in solitary. Amos is certain that he is in solitary for punitive reasons, not for his own protection.

    He has been in solitary for 3 days. He doesn’t know how long he will be there. They don’t let him write, don’t give him paper. They let him out for one hour per day.

    Amos was “kicking, screaming, and banging the door yelling “LET ME OUT”, other prisoners heard him, the “police” came, opened his door, took a look, and left.

    Amos wants us to “tell his story” on Facebook, share with the global secular human rights movement, get on CNN and the Rubin Report. He wants the Rubin Report to interview me and Melissa to tell Amos’s story. “These people don’t know what they’re messing with. We gotta destroy them.” “MAKE IT BIG”. “This is a free speech issue and everyone will be on my side”.

    ++++

    My main concern right now is for Amos’s mental health. Solitary must be making it much worse.”

     

    Source: www.theindependent.sg

  • Commentary: I Want To Save Water For My Future Generation

    Commentary: I Want To Save Water For My Future Generation

    I’m trying to see this from a positive light. Water is scarcity in Singapore, as land is.

    We depend on Malaysia for our water and our 4 taps may not be able to support everyone in the long run. Water conservation is indeed important and the only way to make us save, instead of water rationing which can be troublesome, is to increase the price of water so that we don’t waste water.

    Have you seen how we use our water? Reflect on the amount of water you use for wudhu’. Rasulullah saw only used a bowl of water. And us? We waste it. We’re wasting A LOT of commodities these days. Just like food. If Rasulullah saw was still alive, I am very sure he would disapprove of all the wastage.

    So this move, I approve. By making us feel the pinch financially and force us to save water, I think in the long run, it will help. I definitely want to save water for my future generation.

     

    Reader’s Contribution

    Ummul Ammatullah

  • Kami Sentiasa Terhutang Budi Dengan Israel, Kata Singapura

    Kami Sentiasa Terhutang Budi Dengan Israel, Kata Singapura

    Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong semalam meraikan ketibaan rakan sejawatnya dari Israel, Benjamin Netanyahu, dengan menyifatkan Singapura dan Israel “sahabat lama”, sambil merujuk usaha Israel membantu menubuhkan Angkatan Tentera Singapura selepas berpisah daripada Malaysia pada 1965.

    “Ia memastikan kelangsungan kami ketika ketidaktentuan dan kelemahan,” kata Lee dalam komen yang dipetik akhbar Israel, Jerusalem Post.

    “Kami akan sentiasa terhutang budi. Sejak itu, hubungan kami berkembang melampaui bidang pertahanan dan keselamatan.”

    Netanyahu tiba di Singapura semalam dalam lawatan rasmi pertamanya ke Singapura, yang mempunyai hubungan diplomatik dengan regim tersebut.

    Netanyahu dalam jawapannya berkata beliau kagum dengan apa yang dilihatnya.

    “Walaupun selalu mendengar mengenai kejayaan Singapura, untuk melihatnya dengan mata kasar buat pertama kali adalah sesuatu yang berlainan. Ia menunjukkan kuasa rakyat, kuasa idea, dan potensi kuasa,” katanya berucap di sebuah pusat keagamaan Yahudi di pusat bandar raya Singapura.

    Netanyahu juga menyifatkan Singapura dan Israel sebagai “adik beradik” dan berkata kedua-dua negara adalah “negara inovasi”.

    Lee dalam komennya turut mengingatkan Israel tentang sensitiviti umat Islam di rantau ini terhadap perkembangan di Timur Tengah.

    “Di seluruh dunia, orang terkesan dengan isu Israel-Palestin,” Lee dipetik Jerusalem Post sebagai berkata, selepas pertemuan dengan Netanyahu.

    “Kami juga mempunyai penduduk Islam yang tidak kurang ramai, yang merupakan bahagian penting masyarakat berbilang kaum kami yang harmoni,” kata Lee.

    Komen Lee dipercayai ditujukan terhadap minoriti Islam di Singapura di samping 2 negara jirannya, Indonesia dan Malaysia yang tidak mengiktiraf negara Israel.

    Jerusalem Post memetik seorang diplomat sebagai berkata Singapura amat cermat dalam keputusannya mengundang Netanyahu ke Singapura, supaya tidak menyakiti hati negara jiran.

    Lee mengakui situasi di Timur Tengah amat rumit, dan berharap proses rundingan damai boleh dimulakan kembali.

    “Kami secara konsisten berpegang kepada penyelesaian 2-negara untuk masalah Israel dan Palestine. Betapa sukar sekalipun, ia satu-satunya jalan ke arah keamanan dan keselamatan untuk kedua-dua penduduk,” katanya.

    Menurut Jerusalem Post, Lee tidak membaca beberapa bahagian dalam teks ucapannya, termasuk ayat yang menyeru kedua-dua pihak tidak mengambil pendekatan unilateral.

    Israel baru-baru ini dikecam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berikutan keengganannya menghentikan pembinaan penempatan haram di tanah penduduk Palestin. Resolusi PBB pada Disember lalu itu juga mencatat sejarah apabila sekutu kuatnya Washington juga tidak mengenakan kuasa veto untuk menghalang kecaman tersebut.

    Lawatan Netanyahu merupakan pertama kali pemimpin tertinggi Israel melawat Singapura sejak lawatan Presiden Chaim Herzog pada 1986, yang mencetuskan protes di Malaysia.

     

    Source: FreeMalaysiaToday