Tag: Agama

  • Kalimah Nama Allah Tertulis Pada Selipar

    Kalimah Nama Allah Tertulis Pada Selipar

    Lembaga Pengawalan Dan Pelesenan Pencetakan Teks Al-Quran, Kementerian Dalam Negeri Malaysia (KDN) mengesahkan aduan orang ramai berhubung penjualan selipar yang didakwa tertulis kalimah nama Allah iaitu Ya Hayyu Ya Qayyum, adalah benar.

    Pengerusinya Tan Sri Dr Harussani Zakaria berkata lembaga itu sudah meneliti selipar berkenaan dan mendapati adalah benar tertulis kalimah Ya Hayyu Ya Qayyum yang mempunyai kalimah suci daripada Asma’ al-Husna (Himpunan 99 Nama Allah).

    “Sehubungan dengan itu, rampasan sudahpun dibuat dan tindakan lanjut sedang dilakukan oleh pihak Kementerian Dalam Negeri melalui Akta Pencetakan Teks al-Quran 1986,” katanya dalam satu kenyataan hari ini (29 Mac).

    Lembaga Pengawalan Dan Pelesenan Pencetakan Teks Al-Quran juga menasihatkan orang ramai yang membeli selipar berkenaan supaya menyerahkannya kepada KDN atau Jabatan Agama Islam Negeri untuk tujuan pelupusan, katanya.

    Dalam kenyataan berasingan, Dr Harussani berkata semakan dan penelitian Lembaga Pengawalan Dan Pelesenan Pencetakan Teks Al-Quran mendapati tulisan pada tapak kasut jenama Bata yang tular di media sosial tidak menyerupai kalimah Allah.

    “Lembaga Pengawalan Dan Pelesenan Pencetakan Teks Al-Quran merakamkan jutaan terima kasih atas keprihatinan rakyat Malaysia yang beragama Islam yang terlebih dahulu merujuk perkara ini kepada kami,” katanya.

    Source: BeritaMediacorp

  • Kenapa Dalam Islam Ada 4 Mazhab?

    Kenapa Dalam Islam Ada 4 Mazhab?

    Pernahkah anda terfikir kenapa dalam Islam ada 4 mazhab? Apa yang dimaksudkan dengan mazhab? Kita mazhab apa? Apa beza setiap mazhab ini?

    Mari baca ulasan dibawah ini.

    Sejak kecil, kanak-kanak di Malaysia telah dididik dengan hukum-hakam agama seperti yang telah tertulis di dalam PAFA. Jika masih ingat, semua hukum yang kita belajar, adalah Mazhab Syafi’e kan?

    Seperti yang diketahui, Islam ada 4 mazhab, Syafi’e, Hanbali, Maliki dan Hanafi. Siapa cakap Syiah tu mazhab ke-5, boleh pakai baju melayu putih, sampin hijau, dan pergi masuk sekolah agama balik. Kesemua 4 mazhab kita ada 5 rukun Islam, tiada tambah-tambah, ada dua hari raya, tiada tambah-tambah.

    Sudah pasti ramai tertanya-tanya kenapa Islam kena ada 4 mazhab? Kenapa tidak satu sahaja? Sampaikan ada yang kata tak payah ikut mazhab, ikut Nabi dah cukup! Ustaz cakap, siapa cakap macam tu, dia bukan suruh ikut Nabi, sebenarnya dia suruh ikut diri dia sendiri!

    Mazhab sebenarnya berbeza dari segi Feqah sahaja, bukan dari segi Aqidah. Feqah bermakna cara kita melakukan sesuatu Ibadat. Bagaimana hendak sembahyang, nak ambil wudhu’ dan sebagainya. Tapi jenis Ibadatnya semua sama. Keempat-empat mazhab ada 5 waktu sembahyang. Aqidah semua sama. Satu Tuhan. Satu Rasul.

    Mungkin juga ramai sudah tahu, mazhab ini mengikut tempat. Sebagai contoh, Mazhab Syafi’e diamalkan di Malaysia. Manakala mazhab Hanafi, diamalkan di tempat seperti Iraq. Mengenai perkara inilah (perbezaan geografi) ternyata bergunanya mazhab.

    Contoh yang paling jelas, mengikut Mazhab Syafi’e, di dalam sembahyang kita tidak boleh bergerak 3 kali secara berturut-turut. Manakala mazhab yang lain boleh.

    Di Mekah, mereka tidak mengamalkan mazhab Syafi’e. Cuba bayangkan, di Kaabah yang begitu ramai, tak boleh bergerak 3 kali, boleh ke?

    Kita tengah baca Fatihah, tiba ada Pak Arab melintas di depan, kita terpaksa gerak sikit, lepas tu ada lagi, kita kena gerak lagi.

    Kalau pergerakan kaki kita melebihi 3 kali, sembahyang batal. Habis tu sampai Subuh besok kita kena ulang sembahyang, sebab sembahyang kita asyik batal.

    Cuba bayangkan dalam dunia ini ada satu mazhab sahaja. Nanti di depan Kaabah tiada siapa dapat habiskan sembahyangnya!

    Mazhab ini bukannya pecahan Agama. Tapi lebih dari perbezaan pendapat yang sesuai dengan tempat-tempat tertentu.

    Cuba bayangkan, kalau kerajaan wajibkan semua pelajar pergi sekolah naik bas sahaja. Tak boleh ibu-bapa hantar, tak boleh naik basikal. Kononnya tiada keseragaman. Gila kan?

    Semua orang ada cara masing-masing. Yang penting pergi sekolah, tiada kesah naik bas ke kereta ke permaidani ajaib ke.

    Hal ini, bukan sahaja boleh diaplikasikan kepada mazhab sahaja. Tetapi juga boleh dikaitkan dengan hukum-hukum ijma’. Contoh paling terdekat, hukum mengucapkan Selamat Hari Natal.

    Apa yang susah sangat? Ada ulama’ kata haram tak boleh. Al-Qaradhawi kata boleh. Bukannya semua ulama’ kata Haram Mutlak. Seperti biasa khilaf (perbezaan pendapat) ini berguna mengikut tempat. Agak-agak kalau anda duduk di Arab Saudi, jiran kau 100% Muslim, takkan tiba-tiba nak bagi pengumuman, “Hey Assalamualaikum. Merry Christmas“?

    Tapi takkanlah kalau kau duduk kat Malaysia, ada 30 kawan Kristian. Kau terserempak dengan mereka. Kau nak diam je? Pastu “hehe sorry agama saya tak bagi wish Krismas hehe“.

    Cuba kau fikir macam mana persepsi penganut agama lain kalau mereka nampak kita macam ni? Kalau kita ini, mereka wish Hari Raya, kita suka kan?

    Jadi, dengan keadaan yang kita bercampur-baur bangsa dan agama di sini, kita kena hormat pegangan orang lain. Bukan setakat hormat orang Kristian, tapi lagi penting hormat orang Islam sendiri yang berpendapat lain daripada kita.

    Agak-agak kalau kita ni jenis tak bercampur dengan bangsa lain, semua kawan melayu, diam-diamlah tak payah wish Krismas.

    Ini, bila ada member kita yang jenis bercampur dengan masyarakat, dia berpendapat seperti Al-Qaradhawi dan wish kawan-kawan dia yang beragama Kristian, boleh pergi wall post dia haram this haram that. Bodohnya?

    Maka, timbul juga persoalan-persoalan seperti bolehkah kita mengamalkan mazhab lain. Contohnya, kita yang mazhab Syafi’e ni nak amalkan mazhab Maliki pulak.

    Hal ini dinamakan talkin (mencampurkan mazhab). Ustaz saya kata, hal ini tak boleh sama sekali, kecuali: a) Kita sudah belajar sepenuhnya keempat-empat mazhab. b) Kita pergi ke tempat yang mengamalkan mazhab lain.

    Walaupun jika seseorang itu sudah belajar kesemua mazhab, adalah dinasihatkan supaya konsisten dengan satu mazhab sahaja. Seperti Imam Al-Ghazali, walaupun beliau ‘alim dengan semua mazhab, tapi beliau hanya mengamalkan mazhab Syafi’e sahaja.

    Ingatlah, mazhab itu bukan perbezaan agama. Tapi ia adalah medium untuk memudahkan kita semua untuk menjalankan ibadah seharian agar mendekatkan diri kita dengan-Nya.

    Wallahu a’lam.

     

    Source: Didakwah

  • Komentar: Tidak Perlu Menghina Pengunaan Sesuatu Bahasa dan Para Penggunanya

    Komentar: Tidak Perlu Menghina Pengunaan Sesuatu Bahasa dan Para Penggunanya

    Isu Bahasa & Agama: Tidak Perlu Menghina Pengunaan Sesuatu Bahasa dan Para Penggunanya

    Baru-baru ini ada tengkarah mengenai penggunaan bahasa yang digunakan dalam kelas-kelas agama yang dijalankan di sebuah Masjid.

    Si ayah mengatakan yang beliau rasa “ditipu” kerana anaknya hadir dalam kelas madrasah sambilan yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan bukan bahasa Inggeris, sebagaimana yang dikatakan ayah tersebut. Kata-kata yang diluahkan ayah tersebut telah mengundang reaksi yang pelbagai.

    Satu bentuk reaksi adalah kehampaan terhadap ayah tersebut yang telah mencemuh pihak Masjid dan juga para pengguna bahasa Melayu.

    Sekiranya benar bagai dikata oleh ayah tersebut, maka seharusnya pihak Masjid terbabit pastikan yang kelas-kelas madrasahnya menggunakan bahasa Inggeris dan bukan bahasa lain. Dan pihak Masjid sudahpun berikan respons yang cepat untuk tangani maklumbalas tersebut dengan segera, sambil memohon maaf.

    Namun, pada masa yang sama juga, isu ini sebenarnya dapat ditangani dengan cara yang lebih bijak. Sekiranya nak bawa juga isu ini ke tengah melalui media sosial, pendekatan yang lebih merendahkan diri akan lebih meraih simpati dan sokongan ramai. Dan setentunya, terdapat pilihan lain untuk tangani isu secara bersemuka – bertemu dengan pihak Masjid terbabit dan dapatkan penjelasan secara terus-menerus tanpa melalui hiruk-pikuk media sosial sebagai perantaraan.

    Satu perkara yang susah untuk dilepaskan atau dibiarkan begitu sahaja adalah sikap yang tertonjol jelas melalui episod ini.

    Apakah yang sikap tersebut?

    Iaitu sikap negatif terhadap penggunaan bahasa Melayu dalam pengajaran Agama. Episod ini, tidak secara langsung, mempamerkan betapa bahasa Melayu dan para penggunanya dipandang begitu rendah sekali oleh sesetengah golongan yang kelihatannya seperti berbangsa Melayu. Dan pandangan negatif itu menjadi lebih negatif apabila ianya dibawa ke dalam konteks pengajaran Agama.

    Mengapakah sampai begitu negatif sekali tanggapan sesetengah pihak terhadap penggunaan Bahasa Melayu dan para penggunanya, apatah lagi dalam konteks pengajaran Agama?

    Dan di sini juga, bukanlah berniat untuk mempertikaikan penggunaan Bahasa Inggeris dan penggunaan dalam pengajaran Agama.

    BUKAN.

    Nak pakai Bahasa Inggeris, pakailah. Silakan.

    Isunya adalah, apakah perlu memperlekehkan Bahasa Melayu dan para penggunanya dalam kontek mempertikaikan apa yang dikatakan dijanjikan oleh pihak Masjid terbabit berbanding apa yang disajikan dalam kelas?

    Tidak ada sesiapapun akan mempertikaikan hak seseorang untuk mendapatkan apa yang dijanjikan oleh pihak lain. Dan sekiranya didapati betul akan tuntutan hak tersebut, pihak yang menjanjikan memang seharusnya memenuhi janji tersebut dan memohon maaf sekiranya tidak melaksanakan janji tersebut.

    Namun, dalam menuntut hak tersebut, tidak perlu untuk melakukannya dengan cara menghina sesuatu bahasa dan para penggunanya.

     

    Source: Mohd Khair

  • 8 Produk ‘Islamik’ Ini Bukti Orang Kita Berniaga Sambil Tunggang Agama. Memalukan!

    8 Produk ‘Islamik’ Ini Bukti Orang Kita Berniaga Sambil Tunggang Agama. Memalukan!

     

    1. Valet doa

     

     

     

     

    Seperti yang kami ceritakan sebentar tadi, valet doa ini adalah satu servis di mana anda boleh mengupah seseorang untuk membacakan doa secara terus di Masjidil Haram, Mekah. Servis ini dicipta khas untuk mereka yang tidak berkemampuan ke Mekah tetapi mempunyai beberapa hajat yang ingin dikabulkan.

    Valet Doa diasaskan oleh Nasrin Harin, 40, atau lebih dikenali dengan nama Haji Arin yang mana servis ini telah ditubuhkan pada 31 Januari 2017 yang lalu.

    Pakej bermula dari RM250 sehingga RM5,000 bergantung kepada lokasi doa dibuat dan jumlah doa yang dipohon. Semakin banyak doa, semakin tinggi caj yang dikenakan.

    Jadi agak-agak kalau kita bayar untuk 5 doa, berapa doa yang akan dikabulkan? Hmm…

     

    2. Sapuan Sunnah

     

     

     

    Geleng kepala pun ada kami dibuatnya tatkala melihat iklan sebegini. Produk yang dijual adalah produk seks dan model yang digunakan pula adalah ‘ala-ala’ perempuan berniqab dari timur tengah.

    Kami sendiri pun tak faham ‘Sapuan Sunnah’ apa yang dimaksudkan. Tapi yang penting pendekatan dan bahasa yang digunakan amat memalukan.

     

    3. Milo + Air Zam Zam

     

     

     

    Seperti kita tahu, air zam zam memang banyak khasiatnya. Ia merupakan air dari telaga yang terletak di kawasan Masjidil Haram, sebelah tenggara Kabah, berkedalaman 42 meter. Disebabkan air ini hanya boleh diperolehi di tanah suci Mekah, jadi untuk menarik pembeli, satu gerai yang menjual air milo telah menjual air minuman tersebut yang dicampurkan bersama air zam-zam. Gambar ini telah tersebar luas di laman sosial sejak tahun lepas lagi.

     

    4. Baju Melayu Sunnah

     

     

     

    Bukan saja ‘Sapuan Sunnah’, Baju Melayu pun ada yang dijual dalam versi sunnah. Berdasarkan gambar di atas, katanya tukang jahit pernah bermimpi berjumpa nabi. Jadi agaknya setelah bermimpi, tukang jahit terus mendapat ilham menghasilkan Baju Melayu ini.

    Hmm… tapi musykil juga bagaimana pula ia boleh dipanggil sunnah? Mungkin ada yang kurang jelas, sunnah dalam Islam bermaksud sikap, tindakan, ucapan dan cara Rasulullah SAW menjalani kehidupan sehariannya. Contohnya, memakan kurma sewaktu bersahur dan berbuka di bulan Ramadan. Jadi bagaimana pula Baju Melayu ini boleh dilabelkan sebagai sesuatu yang ‘sunnah’?

     

    5. Telur Halal

     

     

    7b4d Image via SAYS

     

    Yang ini pula telur yang dijual dengan cop ‘Halal’. Pening kepala pun ada tatkala membaca penerangan dan info mengenai telur ini. Katanya ayam-ayam yang menghasilkan telur ini telah diperhatikan pergaulannya agar tidak terlibat dengan pergaulan dan seks bebas.

    “Kami menjamin setiap penjantan hanya boleh membuahi 4 indukan sesuai syari’ah.”

    Hmmm sungguh musykil bagaimana pula telur ini diklasifikasikan sebagai halal. Jadi, ayam kampung kat kampung kita tu boleh makan ke tidak?

    Tapi ramai yang kata, ini troll sahaja.

     

    6. Ayam terapi Al-Quran

     

     

     

    Bukan sekadar telur, ayam juga kini dijual setelah diterapikan dengan ayat suci Al-Quran. Katanya, ayam-ayam dibela dalam gelombang Al-Quran. Wow agak rare dan power, tapi bagaimana mereka lakukannya?

    Ayam ini juga dikatakan boleh membuat minda kita jadi lebih tajam kalau kita makan. Bukan itu sahaja, kesihatan kita pun akan bertambah baik dengan memakan ayam-ayam terapi ini.

    Menurut sumber, selepas semua ayam ini siap disembelih dan dibersihkan, peniaga akan simpan dalam bilik sejuk beku dan ketika itu, ayam berkenaan akan melalui proses terapi dengan alunan bacaan ayat Al-Quran dan Ruqyah.

    Berbeza dengan harga ayam biasa, ayam-ayam yang digelombangkan dengan bacaan Al-Quran ini dijual pada harga RM14 sekilo. Dua kali ganda daripada harga ayam biasa.

     

    7. Air terapi gelombang azan

     

     

     

    Kalau ayam pun dah digelombangkan dengan Azan, tak kan air pun kita tak nak gelombangkan? Katanya air ini sangat bagus diminum dan diedarkan oleh Furqan Network Marketing.

    Cuma kami tertanya-tanya bagaimana air ni dibuat ?

    Di azan kan setiap botol?
    Di azan kan dalam tangki air?
    Di azan kan dalam kolah air?
    Di azan kan dalam kolam?
    Di azan kan di sungai?

    Kalau begitu, bagaimana pula dengan air kolam masjid yang hari-hari terima gelombang azan? Itu belum lagi dengan gelombang surah Al-fatihah yang imam bacakan setiap kali solat. Mesti lebih mahal kan?

     

    8. Air terapi Al-Khodafi

     

     

    Image via SAYS

     

    Jika anda fikir air terapi azan tak cukup bagus, anda boleh dapatkan air Al-Khodafi ini. Katanya air ini boleh merawat saka, sihir, santau dan gangguan mental kerana keistimewaannya. Air ini dirawat dengan kaedah Nano Hydronium serta mengandungi pelbagai bahan baik seperti sarang anai-anai (yang sudah makan 22 juzuk ayat Al-Quran) dan air hujan malam Jumaat 10 Muharam. WOW!

    Yang kami pelik, kalau malam Jumaat 10 Muharam tu tak hujan, macam mana pulak diorang nak dapatkan?

     

    Source: Says.com

  • 9 Cara Mengatasi Putus Asa Untuk Berdoa Kepada Allah

    9 Cara Mengatasi Putus Asa Untuk Berdoa Kepada Allah

    Ketika kita ada masalah, atau sedang diuji apa yang akan diharapkan oleh seorang hamba adalah meminta pertolongan Allah. Antaranya dengan berdoa, menunaikan solat Taubat, bangun malam, berzikir dan sebagainya.

    Namun, hati semakin sempit apabila semakin lama berdoa, semakin rasa doa kita tidak didengar dan tidak dimakbulkan Allah SWT. Hati rasa semakin tawar hati dan menghampiri perasaan putus asa.

    Walau hakikatnya, sebagai umat Islam kita tidak boleh berputus asa, namun hati yang sempit dan tidak bertuhankan Allah ini mudah benar berasa putus asa. Firman Allah, “….dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yg kafir.” Surah Yusuf, ayat 12

    Walau dihampar dengan 101 petikan ayat Al Quran dan hadis supaya jangan berputus asa, hati yang sempit itu tidak mampu menghadamnya yang membuat hati berasa tenang dan terus berharap untuk berdoa.
    Baca 5 cara ini. Moga ia menjadi pembangkit semangat untuk kita terus berharap dan meminta pertolongan Allah untuk hadir dalam masalah kita.

    1. Allah ya Sami’ (Yang Maha Mendengar) sentiasa dengar rintihan kita

    Sedarilah Allah tidak pekak. Allah ya Sami’ adalah salah satu daripada 99 nama-nama Allah. Andai kita ada sahabat yang merupakan pendengar yang baik, Allah adalah pendengar yang lebih baik daripada mereka.

    Sentiasa sedar, Allah sentiasa mendengar rintihan kita walaupun kita hanya berbisik di dalam hati. Untuk memulakan rintihan, mulakanlah dengan menyeru ya Allah ya Sami’. Kemudian mulakan rintihan.

    2. Allah ya Basir (Yang Maha Melihat) memandang usaha untuk dekat dengan Dia

    Bukan Allah tidak nampak apa yang sedang kita lalui – menangis teresak-esak, merayu, merintih, hanya untuk mendapatkan pertolongan-Nya. Allah nampak itu semua.

    Kuasa Allah, andai Dia menyatakan Kun Faya Kun, hilang semua masalah kita. Cuma adakalanya, Allah menangguhkan masalah itu selesai supaya kita dekat dengan Dia.

    3. Allah ya Qobidh (Yang Maha Menyempitkan) yang sempitkan kita

    Sesungguhnya Allah ya Qobidh yang menyempitkan kita – yang membuat kita rasa sangat terhimpit dengan masalah. Dia juga ya Basit (Yang Maha Melapangkan) yang boleh melapangkan kita.

    Dengan mengenali-Nya melalui 99 nama-nama Allah, insya-Allah kita akan dapat sedari sebuah kod kehidupan yang membuat kita akan sentiasa bersangka baik dengan Allah.

    4. Bersabar dan jangan tergesa-gesa

    Kata Prof. Madya Dr. Wan Maseri Wan Mohd. iaitu individu yang menyebarkan Teknik Asmaul Husna, “Doa adalah penyerahan bukan tuntutan”. Doa adalah perintah Allah terhadap hamba-Nya.

    Walaupun begitu, Allah tidak wajib memakbulkan doa kita. Berdoa adalah salah satu cara seorang hamba melaksanakan perintah-Nya. “Doa kalian akan dikabulkan selama tidak tergesa-gesa. Dia mengatakan, ‘Saya telah lama berdoa, tetapi tidak kunjung dikabulkan.” Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim

    5. Jadikan sabar dan solat sebagai penolong

    “Hai orang-orang yang beriman, jadikan sabar dan solat sebagai penolongmu, sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.” Surah Al Baqarah, ayat 153

    Ini mungkin nasihat cliche, tetapi itulah antara formulanya supaya kita sentiasa rasa bertuhankan Allah. Kenapa nama Allah ya Sabur di akhir sekali dalam susunan 99 Nama-nama Allah?

    Kerana Allah mahu kita bersabar dengan tiap aturan-Nya daripada sifatnya yang adakalanya menjatuhkan kita, memudaratkan kita. Baca dan fahami maksud tiap nama-nama Allah, anda akan faham maksud saya.

    6. Sibukkan diri

    Elakkan bersendirian. Sibukkan diri dengan menyertai apa-apa program kebajikan atau majlis ilmu agama, supaya kita tiada masa untuk fikir tentang masalah.
    Adakalanya apabila kita bersendirian, kita akan lebih kerap fikir tentang masalah sehingga buat kita selalu tertekan. Saya pernah dapat Private Message (PM) di Facebook yang dia berputus asa untuk berdoa kepada Allah.

    Dia tertekan kerana terlalu memikirkan masalahnya malah, membuat dia menghidap penyakit mental dan tekanan yang tinggi. Saya berikan solusi dengan zikir Penyucian Hati Dengan #TeknikAsmaulHusna.

    Alhamdulillah beberapa minggu selepas itu, dia mengatakan dia sudah semakin pulih daripada tekanannya.

    7. Teruskan mendekatkan diri dengan Allah

    Jangan ambil jalan pesong atau jalan yang Allah tidak suka. Ketika kita diuji, hati yang sempit kebiasaannya akan nampak yang negatif sahaja tentang Allah. Kita jadi seorang pesimis – selalu bersangka buruk.

    Akhirnya membuat kita tertekan dengan diri sendiri. Terus dekatkan diri dengan Allah seperti terus menunaikan solat 5 waktu, baca Al Quran.
    Walau sukar, berusaha untuk buat walau sedikit. Asalkan jangan tinggal semua. Paling malas, pasang ayat Al Quran, biarkan telinga kita dengar perkara-perkara yang baik untuk makanan rohani.

    8. Ketahui 3 cara Allah makbulkan doa kita

    i. Dimakbulkan serta merta
    Kita dapat sesuatu secara terus pada ketika kita berdoa untuknya.

    ii. Allah menunda doa kita sehingga sampai waktu yang sesuai
    Bukan Allah tidak memakbulkan doa kita cuma Allah tangguhkan ke suatu masa yang sesuai dalam pengetahuan-Nya.

    iii. Menundanya di akhirat
    Kita berdoa di dunia tetapi Allah beri ketika di akhirat. Sesungguhnya Allah lebih tahu masa yang tepat untuk memakbulkan doa kita lebih daripada kita mengetahuinya.

    9. Cari bahan ilmiah untuk mengatasi perasaan putus asa

    Boleh guna pak cik Google untuk mencari bahan ilmiah. Antara yang saya sarankan,
    i. Apa Yang Telah Diberi vs. Dengan Apa Yang Dipinta
    ii. Apabila Digerakkan Hati Untuk Berdoa
    iii. Kenalilah Tuhan Yang Mengujimu
    v. Video Jangan Berputus Asa: Kita Masih Punya Allah

    Secara tidak langsung dengan membaca dan menonton bahan ilmiah akan membuat kita bermuhasabah untuk tidak berputus asa sebaliknya, teruskan berdoa dan berharap hanya kepada Allah SWT.

    Insya-Allah apabila mempraktikkan 9 perkara ini ketika kita hampir berputus asa untuk terus berdoa untuk memohon pertolongan Allah, kita akan dapat semangat baru yang membina harap berterusan supaya sentiasa bersangka baik dengan Allah dan berdoa kepada-Nya.

    Source: binusrah