Kalimah Nama Allah Tertulis Pada Selipar

Lembaga Pengawalan Dan Pelesenan Pencetakan Teks Al-Quran, Kementerian Dalam Negeri Malaysia (KDN) mengesahkan aduan orang ramai berhubung penjualan selipar yang didakwa tertulis kalimah nama Allah iaitu Ya Hayyu Ya Qayyum, adalah benar.

Pengerusinya Tan Sri Dr Harussani Zakaria berkata lembaga itu sudah meneliti selipar berkenaan dan mendapati adalah benar tertulis kalimah Ya Hayyu Ya Qayyum yang mempunyai kalimah suci daripada Asma’ al-Husna (Himpunan 99 Nama Allah).

“Sehubungan dengan itu, rampasan sudahpun dibuat dan tindakan lanjut sedang dilakukan oleh pihak Kementerian Dalam Negeri melalui Akta Pencetakan Teks al-Quran 1986,” katanya dalam satu kenyataan hari ini (29 Mac).

Lembaga Pengawalan Dan Pelesenan Pencetakan Teks Al-Quran juga menasihatkan orang ramai yang membeli selipar berkenaan supaya menyerahkannya kepada KDN atau Jabatan Agama Islam Negeri untuk tujuan pelupusan, katanya.

Dalam kenyataan berasingan, Dr Harussani berkata semakan dan penelitian Lembaga Pengawalan Dan Pelesenan Pencetakan Teks Al-Quran mendapati tulisan pada tapak kasut jenama Bata yang tular di media sosial tidak menyerupai kalimah Allah.

“Lembaga Pengawalan Dan Pelesenan Pencetakan Teks Al-Quran merakamkan jutaan terima kasih atas keprihatinan rakyat Malaysia yang beragama Islam yang terlebih dahulu merujuk perkara ini kepada kami,” katanya.

Source: BeritaMediacorp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *