Tag: Aisyah Aziz

  • Aisyah Aziz Terima 9 Pencalonan – Tertinggi Bagi APM 2017

    Aisyah Aziz Terima 9 Pencalonan – Tertinggi Bagi APM 2017

    Anugerah Planet Muzik (APM) membuka tirainya tahun ini, dengan Aisyah Aziz menerima pencalonan tertinggi, iaitu sembilan daripada 19 kategori yang dipertandingkan.

    Ini adalah kali pertama Aisyah menerima pencalonan paling banyak dalam sesebuah acara anugerah muzik sejak beliau menceburi industri muzik empat tahun lalu.

    Aisyah memberitahu BERITAMediacorp, beliau langsung tidak menyangka akan dicalonkan dalam sembilan kategori.

    “Saya tidak tahu pun. Bila ibu hubungi saya dan maklumkan tentang pencalonan itu, saya terkejut. Alhamdulillah! Wow!”

    “Saya rasa kita boleh hasilkan lagu yang bagus tetapi tanpa sokongan ramai orang kadang-kala lagu itu mungkin tidak ke mana. Jadi saya begitu berterima kasih,” kata penyanyi tinggi lampai berusia 23 tahun itu.

    Aisyah Aziz terima 9 pencalonan bagi APM 2017. (Gambar: Aisyah Aziz/Instagram)

    Tambah manis lagi, lagu Senyum Saja, iaitu lagu pertama ciptaan Aisyah sendiri menerima dua pencalonan.

    Aisyah memberitahu BERITAMediacorp ia juga kali pertama dicalonkan dalam satu-satu acara anugerah.

    “Ini bermakna saya boleh menulis lebih banyak lagu dengan yakin dan juga mahu mengucapkan tahniah kepada Haikal Ali,” kata Aisyah merujuk kepada pemenang Penyanyi Terbaik Singapura pada APM tahun lalu.

    Selain itu lagu hasil idea bersama pihak pengurusan dan penerbit, Tanda Tanya, yang merupakan lagu pertama beliau yang berentak lebih rancak, menerima empat pencalonan.

    Berikut adalah kategori di mana Aisyah dicalonkan:

    – Duo/Kumpulan Terbaik bagi Senyum Saja – bersama Haikal Ali

    – Kolaborasi Terbaik bagi lagu Tanda Tanya

    – Artis Terbaik (Wanita) bagi lagu Tanda Tanya

    – Lagu Terbaik (Singapura) bagi lagu Senyum Saja bersama Haikal Ali

    – Ikon Media Sosial

    – Artis Paling Popular (Singapura)

    – Lagu Paling Popular (Singapura) bagi lagu Tanda Tanya

    – Lagu Paling Popular APM bagi lagu Tanda Tanya

    – Artis Paling Popular APM

    Tahun ini, APM menonjolkan bakat-bakat generasi baru yang kebanyakannya dikesan melalui media sosial.

    (dari kiri) Dr Edmund Lam Ketua Pegawai Eksekutif & Pengarah, COMPASS, Zakiah Halim Ketua, Penyiaran Melayu Mediacorp dan Hassan Salleh Pengarah Rancangan Kanan, Warna 94.2FM & Ria 89.7FM, Mediacorp. (Gambar: Mediacorp Suria)

    “Anugerah Planet Muzik terus mengiktiraf dan meraikan yang terbaik dalam industri muzik rantau ini,” menurut Ketua Penyiaran Melayu Mediacorp, Cik Zakiah Halim.

    “Apa yang menarik pada tahun ini, kami akan menyaksikan kebangkitan artis-artis generasi baru yang semakin menonjol, dengan peminat yang begitu ramai di wadah-wadah digital dan media sosial. Kami berharap APM akan berkembang seiring dengan perubahan muzik mengikut peredaran masa,” kata beliau semasa sidang media bagi mengumumkan senarai calon petang tadi (22 Ogos).

    (Gambar: Mediacorp Suria)

    Senarai penuh calon di pautan ini.

    Para penonton juga boleh menjangkakan persembahan-persembahan menarik daripada Ayda Jebat, Aisyah Aziz, Isyana Sarasvati, Virgoun, Gloria Jessica, Aiman Tino, Hael Husaini dan ramai lagi.

    Acara anugerah yang mengiktiraf dan menyatukan artis-artis dan karyawan industri muzik serantau itu bakal berlangsung di MES Theatre di Mediacorp pada 14 Oktober 2017.

    Tiket-tiket boleh dibeli dari semua cawangan SISTIC atau online mulai hari ini (22 Ogos).

    Ia juga akan disiarkan secara langsung di saluran Suria, stesen radio Ria 89.7FM, Warna 94.2FM dan online di Toggle.

     

    Source: http://berita.mediacorp.sg

  • Sikap Sambil Lewa Musnahkan Kerjaya Aliff Aziz, Mahu Bangkit Kembali

    Sikap Sambil Lewa Musnahkan Kerjaya Aliff Aziz, Mahu Bangkit Kembali

    KUALA LUMPUR: Pengalaman lalu mendewasakan bagi penyanyi kelahiran Singapura, Aliff Aziz.

    Membuka mulut tentang perjalanan seninya yang sering dilanda kontroversi sebelum ini, Aliff, 25 tahun, mengaku tidak berfikir panjang sehingga sentiasa membawa padah kepada diri sendiri.

    Pada usia begitu muda, Aliff yang juga bergelar pelakon berkata dia sering berfikiran negatif sehingga kerap terpalit cerita sensasi, lapor laman Berita Harian Malaysia.

    “Dulu saya berasa seperti boleh melangkah jauh dalam bidang seni, tetapi kerana sikap sambil lewa terhadap kerjaya dan hidup, semua itu musnah sekelip mata,” kata Aliff.

    Beliau bagaimanapun bersyukur kerana pengalaman-pengalaman dilanda kontroversi sebelum ini mendewasakan diri dan mengambil peluang untuk belajar daripadanya.

    “Saya bagaimanapun bersyukur semua itu menjadi ruang untuk saya memperbaiki diri dan seterusnya menjadi insan lebih matang. Sebagai manusia biasa, saya tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan. Saya tak dengar nasihat orang yang menyayangi diri saya ini.

    “Saya anggap semua itu bayaran yang perlu saya terima akibat kesilapan diri sendiri. Di sebalik segala-gala yang terjadi, saya masih diberi peluang untuk bangkit kembali,” luah Aliff kepada Berita Harian Malaysia.

    Ini terbukti apabila anak muda berbakat itu diberi peluang oleh syarikat rakamannya untuk menghasilkan album baru.

    “Syarikat rakaman Sony Music juga masih percayakan bakat saya dan menghadiahkan album berjudul Rebirth. Judul album itu sendiri, seperti saya pernah katakan, umpama kelahiran semula saya di arena seni,” katanya.

    Aliff kini turut sibuk dengan drama terbaru Meh Sandarkan Padaku, terbitan Zeel Productions.

    Menerusi drama itu, Aliff buat pertama kali bergandingan dengan pelakon wanita yang sedang meningkat naik namanya, Mira Filzah dan dijangka menghiasi kaca televisyen pada bulan Februari tahun depan, lapor BHM lagi.

    “Saya percaya, bukan semua orang akan diberikan peluang seperti itu. Jadi, saya akan ambil peluang berkenaan dengan keazaman untuk tidak lagi menimbulkan isu mahupun kontroversi,” kata Aliff.

    Source: http://berita.mediacorp.sg