Sikap Sambil Lewa Musnahkan Kerjaya Aliff Aziz, Mahu Bangkit Kembali

KUALA LUMPUR: Pengalaman lalu mendewasakan bagi penyanyi kelahiran Singapura, Aliff Aziz.

Membuka mulut tentang perjalanan seninya yang sering dilanda kontroversi sebelum ini, Aliff, 25 tahun, mengaku tidak berfikir panjang sehingga sentiasa membawa padah kepada diri sendiri.

Pada usia begitu muda, Aliff yang juga bergelar pelakon berkata dia sering berfikiran negatif sehingga kerap terpalit cerita sensasi, lapor laman Berita Harian Malaysia.

“Dulu saya berasa seperti boleh melangkah jauh dalam bidang seni, tetapi kerana sikap sambil lewa terhadap kerjaya dan hidup, semua itu musnah sekelip mata,” kata Aliff.

Beliau bagaimanapun bersyukur kerana pengalaman-pengalaman dilanda kontroversi sebelum ini mendewasakan diri dan mengambil peluang untuk belajar daripadanya.

“Saya bagaimanapun bersyukur semua itu menjadi ruang untuk saya memperbaiki diri dan seterusnya menjadi insan lebih matang. Sebagai manusia biasa, saya tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan. Saya tak dengar nasihat orang yang menyayangi diri saya ini.

“Saya anggap semua itu bayaran yang perlu saya terima akibat kesilapan diri sendiri. Di sebalik segala-gala yang terjadi, saya masih diberi peluang untuk bangkit kembali,” luah Aliff kepada Berita Harian Malaysia.

Ini terbukti apabila anak muda berbakat itu diberi peluang oleh syarikat rakamannya untuk menghasilkan album baru.

“Syarikat rakaman Sony Music juga masih percayakan bakat saya dan menghadiahkan album berjudul Rebirth. Judul album itu sendiri, seperti saya pernah katakan, umpama kelahiran semula saya di arena seni,” katanya.

Aliff kini turut sibuk dengan drama terbaru Meh Sandarkan Padaku, terbitan Zeel Productions.

Menerusi drama itu, Aliff buat pertama kali bergandingan dengan pelakon wanita yang sedang meningkat naik namanya, Mira Filzah dan dijangka menghiasi kaca televisyen pada bulan Februari tahun depan, lapor BHM lagi.

“Saya percaya, bukan semua orang akan diberikan peluang seperti itu. Jadi, saya akan ambil peluang berkenaan dengan keazaman untuk tidak lagi menimbulkan isu mahupun kontroversi,” kata Aliff.

Source: http://berita.mediacorp.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *