Tag: Al-Quran

  • 11 September: #QuranHour – Baca Quran Serentak Sedunia

    11 September: #QuranHour – Baca Quran Serentak Sedunia

    SHAH ALAM: Buat julung kalinya, program bacaan al-Quran secara serentak selama satu jam di seluruh dunia dikenali sebagai World #QuranHour bertemakan Cinta dan Syukur akan diadakan pada 11 September bermula 9 pagi.

    Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf di Malaysia, Hussamuddin Yaacub berkata program yang menyasarkan penyertaan daripada seluruh umat Islam serata dunia itu merupakan kesinambungan kepada kejayaan kempen #MalaysiaNgaji yang dianjurkan sejak tahun 2013.

    Beliau berkata, World #QuranHour merupakan satu inisiatif dalam memupuk ummah yang berpegang teguh kepada ajaran al-Quran serta diharap menjadi satu platform solidariti umat Islam seiring meraikan kitab suci itu pada peringkat tertinggi.

    117 NEGARA MAHU SERTA

    “Setakat ini 117 buah negara dan ratusan persatuan serta gabungan Muslim daripada Badan Bukan Kerajaan (NGO) telah memberi maklum balas positif untuk menyertai program ini selain turut menjangkakan penyertaan daripada kesemua 57 negara anggota OIC (Pertubuhan Muktamar Islam).

    “Di India sahaja kita dimaklumkan seramai lapan juta rakyat negara itu akan sama-sama membaca al-Quran dalam tempoh berkenaan,” katanya dalam sidang media selepas sesi perbincangan bersama perwakilan agensi media lain berkaitan penganjuran World #QuranHour.

    Encik Hussamuddin berkata, semua agensi media di Malaysia juga bersetuju untuk memberi kerjasama dalam membuat liputan dan hebahan seterusnya memastikan kejayaan penganjuran program bertaraf global itu.

    Sementara itu, Pengerusi agensi berita Bernama, Azman Ujang berkata Bernama akan membantu mempromosikan World #QuranHour bagi menarik seramai mungkin penyertaan umat Islam dari dalam dan luar negara.

    Katanya, Bernama akan menggunakan segala platform media dimiliki seperti Bernama Radio, Bernama News Channel, laman sosial serta hubungan baik dengan pelbagai agensi lain untuk melakukan hebahan dan liputan terbaik.

    “Pertama kali dalam sejarah di negara ini kita dapat menyaksikan kesatuan
    dan kerjasama yang cukup erat melibatkan semua media dari pelbagai cabang, ia semestinya satu perkembangan yang baik dalam menjayakan program ini nanti.

    “Sekalung tahniah dan ucapan penghargaan saya ucapkan kepada Hussamuddin yang begitu komited dan bekerja keras dalam memastikan aktiviti seumpama ini dapat dilaksanakan dengan momentum yang cukup positif,” katanya.

    PELBAGAI AGENSI MEDIA M’SIA TAMPIL MEMBANTU

    Selain Bernama, pelbagai agensi media tempatan lain juga bersetuju dan menyatakan komitmen mereka untuk kempen program World #QuranHour termasuk Astro, Kumpulan Media Prima, Radio Televisyen Malaysia (RTM), TV Al Hijrah, Kumpulan Utusan, NSTP Group dan Kumpulan Media Karangkraf.

    Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas yang juga penganjur #MalaysiaNgaji, Marhaini Yusoff berkata edisi sulung World #QuranHour akan melibatkan beberapa lokasi “hotspot” untuk bacaan al-Quran berkumpulan.

    Beliau berkata, di negara ini program itu akan diadakan di lokasi utama
    iaitu Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia di Gombak, dengan kesemua 14 negeri lain turut menganjurkannya di lokasi tertentu melibatkan gabungan pelbagai pihak termasuk perseorangan dan berkumpulan.

    “Tarikh 11 September merupakan musim menunaikan ibadat haji dan di dalam kalendar Islam ia jatuh pada 9 Zulhijjah jadi semestinya Padang Arafah di Makkah merupakan lokasi tumpuan bagi jemaah haji Malaysia dan negara lain bergabung menyertai kempen ini di peringkat antarabangsa.

    “Beberapa selebriti termasuk penyanyi yang terkenal dengan lagu berkonsep ketuhanan iaitu Maher Zain juga akan terlibat dalam program ini nanti,” katanya.

    Source: http://berita.mediacorp.sg

  • Mufti Perak: Tindakan Mengoyak, Membuang Al Quran Satu Tindakan Keji

    Mufti Perak: Tindakan Mengoyak, Membuang Al Quran Satu Tindakan Keji

    PERAK: Tindakan mengoyak al-Quran dan melemparkan kitab suci itu di atas jalan adalah perbuatan yang tidak wajar dan dianggap keji, kata Mufti Perak Tan Sri Dr Harussani Zakaria.

    Beliau berkata setiap orang sewajarnya menghormati al-Quran, kitab suci orang Islam.

    “Mana-mana agama perlu menghormati kitab suci agama masing-masing termasuk
    Bible dan dalam Islam, kita tidak menghina mana-mana agama lain.

    “Perbuatan mengoyak al-Quran itu berlaku kerana emosi dan tidak tentu arah… ia mungkin satu provokasi dan kita tak tahu siapa yang melakukanya,” katanya.

    Dr Harussani mengulas kejadian al-Quran dikoyak dan dilemparkan di atas jalan di hadapan cawangan Maybank di Labis, Johor yang menjadi viral di Facebook baru-baru ini.

    Cebisan al-Quran tersebut ditemui bertaburan di jalan raya dan dikutip oleh orang ramai termasuk pelajar.

    Dr Harussani mengulas tentang hal itu dalam sidang media selepas majlis penyampaian bantuan Aidilfitri kepada 300 fakir miskin dan sumbangan kepada Majlis Agama

    Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) oleh Yayasan Muhibbah Fng Ah Seng hari ini (24 Jun).

    Source: http://berita.mediacorp.sg

  • Pemuda Indonesia Pijak Quran, Harus Dihukum Berat

    Pemuda Indonesia Pijak Quran, Harus Dihukum Berat

    INDONESIA: Seorang lelaki berusia 20 tahun, Kapry Nanda, disoal siasat Polis Pasaman Barat, Sumatera Barat berhubung gambar beliau memijak Al-Quran, yang dimuat naik ke laman Facebook.

    Dalam pada itu, angota Dewan Perwakilan Rakyat (DPRD) Kota Padang, Muharlion, mendesak polis mengenakan hukuman berat terhadap Kapry.

    “Pemuda itu harus dihukum berat serta dikenakan hukuman adat wilayah Minang,” kata Encik Muharlion kepada agensi berita Antara pada Selasa lalu (14 Jun).

    Beliau menegaskan, hukuman berat itu diperlukan kerana ia merupakan perkara serius bagi umat Islam, iaitu menghina kitab suci orang Islam.

    Encik Muharlion berkata individu seperti Kapry tidak boleh dibiarkan begitu sahaja dan harus dikenakan hukuman seberat-beratnya kerana memandang rendah kepada Al-Quran.

    Sebelum itu, polis Pasaman Barat menyiasat Kapry dan seorang rakannya, yang memuat naik gambar beliau memijak Al-Quran ke laman Facebook milik Andri, 21 tahun.

    Gambar Kapry memijak Al-Quran yang diletakkan di atas sejadah di ruang yang kelihatan seperti surau atau masjid, dimuat naik dengan kapsyen “Jangan tiru adegan ini, bro.”

    ADAKAN PERTEMUAN BINCANG TINDAKAN SETERUSNYA

    Pada pagi Rabu lalu, satu pertemuan di pejabat ketua kampung Sungai Air antara Kapry, polis dan ketua-ketua masyarakat turut diadakan untuk membincangkan tindakan seterusnya lebih-lebih perbuatan Kapry dijangka mencetuskan kemarahan ramai.

    “Benar kami melakukan pertemuan dengan pelaku untuk mendengarkan keterangannya,” kata ketua kampung, Erwin Lubis.

    Beliau berkata Kapry selama ini dikenali di kampung tidak pernah melakukan sebarang masalah. Namun, beliau berubah kerana terpengaruh dengan rakan-rakan.

    Selepas pertemuan di pejabat ketua kampung, Kapry dibawa ke polis untuk disiasat lebih lanjut.

    Belum ada maklumat lanjut sama ada Kapry ditahan oleh polis.

    Source: http://berita.mediacorp.sg

  • Raihan Barbershop Ramadan Offer: Bayar Dengan Ayat Al Quran, Bukan Wang

    Raihan Barbershop Ramadan Offer: Bayar Dengan Ayat Al Quran, Bukan Wang

    MERDEKA.COM: Sebuah kedai gunting rambut di Indonesia hanya meminta ‘bayaran’ berupa mengaji Al-Quran untuk khidmatnya.

    Promosi unik itu ditawarkan kedai gunting rambut Raihan Barbershop, yang terletak di Jalan RTM, Depok di Jawa Barat, sepanjang Ramadan ini.

    Tujuannya ialah, selain untuk menjalankan amal ibadah, pemilik kedai gunting itu juga ingin beramal jariah pada bulan suci ini.

    Namun, promosi tersebut hanya ditawarkan dari 7.00 hingga 9.00 pagi setiap hari. Pemilik Raihan Barbershop, Asep Irawan Hidayat, 42 tahun, mempunyai sebab tersendiri mengapa promosi itu dihadkan pada tempoh tersebut.

    “Membaca Al-Quran pada pagi hari, Insya Allah, dapat memperlancar rezeki dan juga menambah pahala,” kata Encik Asep hari ini (12 Jun).

    Beliau berkata, terpulang kepada pelanggan, ayat-ayat suci Al-Quran yang mana satu mereka ingin bacakan. Bahkan Encik Asep akan tetap menerimanya sebagai ‘bayaran’ sekiranya pelanggan hanya mampu membaca sepotong ayat Al-Quran.

    Beliau juga tidak mahu memaksa pelanggan supaya mengaji Al-Quran, dan yang penting baginya ialah, pelanggan membacanya dengan ikhlas.

    “Ini kan bulan yang baik, jadi saya ingin bersedekah dan mencari pahala juga,” kata Encik Asep.

    Menurut Encik Asep, ia adalah kali pertama beliau menerapkan konsep tersebut di kedai gunting rambutnya.

    Bagaimanapun, beliau menawarkan khidmat gunting rambut secara percuma tanpa bayaran wang atau mengaji Al-Quran kepada para pelajar pesantren Baitul Quran.

    Beliau menyasarkan untuk menawarkan khidmat percuma itu kepada 200 pelajar pesantren itu. “Mereka biasanya ke sini pada petang hari, anak-anak ini memang terbiasa baca Al-Quran,” katanya.

    Encik Asep berharap lebih ramai orang akan mengaji di kedainya, justeru dapat membawa berkat ke tempat perniagaannya itu.

    Katanya, untuk pelanggan yang tidak mahu mengaji, mereka boleh membuat bayaran wang.

    “Terserah kepada pelanggan, kalau ada yang mahu baca Al-Quran, silakan, tapi jika tidak mahu, ya tidak mengapa,” ujarnya.

    Encik Tendi, salah seorang pelanggan yang ke kedai itu, berkata beliau datang untuk mencuba promosi tersebut. Beliau memilih untuk membaca surah yang pendek sebelum rambutnya digunting.

    “Biasanya pakai wang, tapi ini pakai mengaji. Unik juga,” katanya.

    Semalam (11 Jun), Merdeka.com melaporkan sebuah warung soto, yang juga terletak di Depok, turut menawarkan promosi unik sepanjang bulan suci ini.

    Di warung Soto Kauman Express, pelanggan hanya perlu menulis doa mengikut kemahuan mereka pada sekeping kertas, dan mereka boleh mendapatkan hidangan soto dan jus secara percuma.

    Source: http://berita.mediacorp.sg

  • Selepas 8 Tahun Naib Juara, Nurul ‘Izzah Muncul Johan Musabaqah Tilawah Al Quran Kali Ini

    Selepas 8 Tahun Naib Juara, Nurul ‘Izzah Muncul Johan Musabaqah Tilawah Al Quran Kali Ini

    Mencuba terus mencuba tanpa berputus asa.

    Setelah lapan tahun berturut-turut menjadi Naib Johan, Cik Nurul ‘Izzah Khamsani akhirnya berjaya menjadi Johan Qariah Musabaqah Tilawah Al Quran peringkat Kebangsaan tahun ini.

    Johan Qari, Encik Ahmad Daniyal Mohd Rizal, juga merupakan pemenang kali pertama setelah tiga kali menjadi Naib Johan.

    PERJUANGAN DAN DUGAAN DIHADAPI NURUL IZZAH KHAMSANI

    Mendengarkan alunan suara bacaan beliau secara bertarannum, siapa sangka Cik Nurul ‘Izzah yang berusia 30 tahun, sebenarnya mengalami dugaan besar sejak beberapa minggu lalu.

    Suara serak sejak tiga minggu yang lalu, dan beliau mengaku terasa bahawa tiada harapan untuk suara itu kembali bagi tilawah tersebut, semasa bacaan peringkat akhir dari 23-24 April.

    Berkat semangat tidak berputus asa dan penggunaan kaedah yang bijak, Cik Nurul ‘Izzah yang bertugas selaku seorang Pegawai Agama di sebuah masjid tempatan, berjaya mengatasi kegenjotan tersebut.

    “Alhamdulillah pertama sekali saya kembalikan kepada Allah sebab beliau yang mengembalikan suara saya setelah serak tiga minggu. Dan saya gunakan teknik tahsin al sawud, di mana saya tidak gunakan suara dari tekak tapi saya pakai fungsi suara. Jadi saya lepasi tekak saya. Dia ada caralah, tapi maksudnya di situ di mana ilmu mencantikkan suara itu memainkan peranan,” Cik Nurul ‘Izzah memberitahu BERITAMediacorp.

    Akhirnya, Cik Nurul ‘Izzah, muncul juara, dan nikmat yang beliau rasakan begitu bermakna dan jelas terpancar menerusi kata-kata beliau.

    “Setelah lapan tahun saya menunggu sebagai Naib Johan, lapan tahun berturut-turut, ini adalah kejayaan yang manis bagi saya,” kata beliau penuh gembira.

    AHMAD DANIYAL SAHUT CABARAN ANTARABANGSA

    Johan bahagian Qari juga mempunyai ciri-ciri yang sama.

    Encik Ahmad Daniyal sebelum ini sudah empat atau lima kali mencuba dalam Tilawah Al Quran.

    Beliau juga berjaya menjadi Naib Johan sebanyak dua tiga kali sejauh ini.

    Namun tahun 2016 menjadi tahun tuah baginya kerana dinobatkan sebagai Johan Qari Kebangsaan, yang diadakan untuk kali ke 49 tahun ini.

    “Saya selalu mengikuti rancangan TV untuk Tilawah Al Quran Antarabangsa, dan saya dapati qari-qari di sana lebih hebat, jadi saya perlu lebih kreatif, lebih inovatif, lebih bersemangat dan lebih berani untuk mencuba sesuatu yang baru di sana,” kata pelajar berusia 23 tahun itu kepada BERITAMediacorp.

    Kedua-dua johan menerima piala kemenangan daripada Speaker Parlimen Halimah Yacob.

    Mereka akan mewakili Singapura dalam tilawah peringkat antarabangsa di Malaysia bulan depan, dan berazam membuat persembahan terbaik demi mengharumkan nama negara.

    Bagi Cik Nurul ‘Izzah, beliau akan terus melakukan pelbagai usaha untuk memastikan kondisi fizikalnya baik bagi menghadapi para pesaing antarabangsa nanti:

    “Yang pertama sekali ialah persiapan latihan secara intensif. Hari-hari saya cuba luangkan masa. Contohnya kalau di pejabat itu saya sempat juga dengarkan Al Quran sambil saya buat kerja – ‘multi-tasking’. Keduanya persiapan dari segi fizikal. Alhamdulillah saya pergi berenang. jadi itu membantu dari sudut pernafasan dan stamina.”

    PESERTA MUDA BAWAH 25 TAHUN SEMAKIN BERTAMBAH

    Dalam pada itu, pihak penganjur menyatakan, tilawah tahun ini juga menyaksikan perkembangan baik.

    Iaitu peningkatan dalam penyertaan peserta muda.

    Daripada purata 30 peserta di bawah 25 tahun dalam tahun 2000, bilangannya kini melonjak kepada purata 60 peserta sedemikian setiap tahun.

    MUIS menyatakan, peningkatan ini membuktikan wujudnya sokongan masyarakat untuk menggalakkan golongan muda mempelajari dan menghayati bacaan Al Quran

    Source: Berita Mediacorp